fb fb fb fb fb

1,440 penduduk terjejas banjir di PPS lima negeri

(Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim melawat PPS Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada Selasa/FB Shahidan Kassim)

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Selangor mencatatkan angka tertinggi penduduk terjejas banjir iaitu seramai 1,020 orang daripada 1,440 orang membabitkan 408 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri.

Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) melaporkan sehingga jam 8 pagi tadi, daripada jumlah berkenaan 214 orang ditempatkan di PPS di Kuala Lumpur, 149 di Kelantan, 35 di Melaka dan 22 lagi di Negeri Sembilan.

Di Selangor, semua penduduk terjejas banjir membabitkan 270 keluarga ditempatkan di 10 PPS, dengan daerah Petaling merekodkan jumlah tertinggi iaitu 734 mangsa daripada 195 keluarga.

Mereka ditempatkan di empat PPS iaitu Dewan Camelia Putra Heights, Dewan Kenanga Seksyen 28 Shah Alam, Masjid Putra Heights dan Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah.

 

(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid melawat PPS Dewan Camelia Putra Heights pada Selasa/FB Mastura Mohd Yazid)


Sementara 138 mangsa ditempatkan di dua PPS di Gombak membabitkan Dewan MPS Kampung Melayu Sri Kundang dan Dewan Orang Ramai Sri Permata.

Manakala Hulu Langat membabitkan 12 orang di dua PPS iaitu Kampung Sungai Serai dan Kompleks Penghulu Mukim Cheras ,Batu 10.

Bagi PPS Sepang, menempatkan111 orang di SK Kota Warisan, manakala 25 orang lagi di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat.

Di Kuala Lumpur pula, NDCC memaklumkan 74 keluarga membabitkan jumlah seramai 214 orang ditempatkan di dua PPS iaitu di Dewan Kelab Sultan Sulaiman dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Saraswathy

Manakala di Kelantan, hanya satu PPS masih beroperasi iaitu di SK Tok Deh di Pasir Mas yang menempatkan 45 keluarga membabitkan jumlah 149 orang.

Di Melaka pula, PPS di SK Parit Penghulu menempatkan 35 mangsa daripada 10 keluarga bagi daerah Jasin.

Sementara Negeri Sembilan seramai 22 orang daripada sembilan keluarga penduduk terjejas banjir di daerah Jelebu ditempatkan di SK Simpang Durian.

Media Baharu