fb fb fb fb fb

1,210 unit rumah akan dibina di kawasan pentadbiran bandar baharu Kuala Nerus

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Kerajaan negeri akan melaksanakan projek pembinaan 1,210 unit kediaman melalui pembangunan perumahan secara penswastaan di kawasan pentadbiran bandar baharu, Kuala Nerus akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak berkata kerajaan negeri hanya menyediakan tapak seluas kira-kira 18.8 hektar untuk melaksanakan projek perumahan di kawasan itu.

Katanya, kos projek dengan peruntukan RM315.85 juta itu akan menyediakan sebanyak 276 unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) jenis A, 360 unit jenis B, 108 pangsapuri jenis C1, 192 jenis C2 dan 259 unit rumah teres dua tingkat, enam unit kedai dua tingkat serta dua unit kedai tingkat tingkat ditanggung sepenuhnya pemaju.

(Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar,
Dr Alias Razak (tengah))

"InsyaAllah, mungkin rumah jenis A dan B itu akan siap lebih awallah, rumah dasar itu akan dibuat dahulu, bila siap kita serah dahulu, kerana hasrat kita supaya bandar baru Kuala Nerus ini tidak jadi sunyi khususnya diwaktu malam, siang pun sunyi sekarang ini, malam lagi tiada penduduk di situ.,

"Kita pun sudah ada Balai Islam, mungkin bila ada qariah cukup, akan naik taraf jadi masjid yang boleh kita dirikan solat Jumaat," katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Cadangan Pembangunan Perumahan secara swasta di Wisma Darul Iman, di sini.

Tambah Dr Alias, semua jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit dengan pelaksanaan projek perumahan di negeri ini diminta memainkan peranan sebagai pemudahcara.

"Kita sudah mengarahkan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan memainkan peranan sebagai pemudahcara bagi memastikan pelaksanaan projek lancar tanpa sebarang halangan yang boleh melewatkan kerja pembinaan," katanya.

Media Baharu