fb fb fb fb fb

1,200 pil yaba berjaya dirampas polis Kelantan

KOTA BHARU, 20 Januari- Polis Kelantan berjaya merampas sepucuk pistol dan 1,200 pil yaba dalam satu operasi di sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu, Kota Bharu, pada Khamis.

Dalam serbuan jam 12.40 tengah malam itu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai pengedar dadah dan juga dua liter air ketum.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan di dalam rumah terbabit, pihaknya menjumpai dua bungkusan plastik cerah berisi cecair keperangan disyaki ketum di dalam sebuah peti sejuk.

Beliau berkata, pihaknya juga menjumpai tiga paket plastik biru disyaki pil yaba yang dibalut dengan kertas putih di dalam papan pemuka sebuah kereta jenis Perodua Viva.

Katanya, pihaknya juga turut menemukan sepucuk pistol bersama kelopak peluru berisi 34 butir peluru.

"Kita telah membuat pemeriksaan di sebuah kenderaan dan berjaya merampas 1,200 biji pil di dalam papan pemuka selain kereta yang digunakan itu," katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 Januari, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media Baharu