fb fb fb fb fb

1,080 TASKA dikenal pasti tidak berdaftar

(Datuk Seri Nancy Shukri menerima cenderahati pada majlis perasmian Konvensyen Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan 2023 (KPAKK 2023) di Putrajaya/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 9 Jun- Sebanyak 1,080 taman asuhan kanak-kanak (TASKA) dikenal pasti tidak berdaftar diseluruh negara sehingga Disember tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri berkata jumlah tersebut dilihat membimbangkan berikutan kesukaran untuk mengambil sebarang tindakan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Beliau berkata bagi menangani kekangan dan cabaran dalam mempercepatkan proses pendaftaran premis tersebut, satu perbincangan bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan diadakan kelak.


(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Datuk Nancy Shukri)

"Jika dikatakan hendak menyukarkan, saya rasa tidak adil kerana pihak pihak berkuasa tempatan (PBT) juga melihat dari sudut keselamatan.

"Kalau tempat itu tidak bersesuaian, maka PBT perlu menggunakan syarat-syarat itu supaya mereka juga dapat memenuhi keperluan dari segi keselamatan, kesihatan, kesejahteraan, itu lebih kepada kesihatan kita. Tetapi keselamatan, kalau berlaku apa-apa, jika berlaku kebakaran perlu keluar menyelamatkan diri", katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Konvensyen Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan 2023 di Putrajaya.

Menurut beliau, sesi libat urus turut akan diadakan mengikut zon di seluruh negara bagi membincangkan perkara berkenaan yang membabitkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, PBT dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Tambahnya, pangkalan data pusat pengasuhan juga akan diwujudkan sebagai rujukan kepada ibu bapa sebelum menghantar anak mereka ke sesebuah TASKA.

Media Baharu