JOHOL, 13 April- Kira-kira 1,000 pengunjung hadir ke majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Balai Rasmi Undang Luak Johol di Johol, Negeri Sembilan.
Datuk Lembaga Tiang Balai Luak Johol, Datuk Raja Balang Hamzah Limin berkata, penganjuran rumah terbuka itu menzahirkan hasrat Ke Bawah Kaus Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Luak Johol untuk menghimpunkan masyarakat berbagai kaum di bawah naungan luak itu.
"Ke Bawah Kaus YTM Undang Luak Johol adalah semata mata-mata untuk meraikan pelbagai kaum di Luak Johol.
"Inilah konsep merapatkan kaum di Luak Johol, Melayu, Cina, India dan masyarakat orang asli," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Ke Bawah Kaus YTM Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah berkata rakyat yang berpeluang pulang ke kampung, yang dikurniakan rezeki lebih diminta untuk cakna dengan kebajikan saudara terapat dalam usaha memastikan kelestarian kehidupan masyarakat harmoni.
"Kami sekeluarga mengucapkan selamat menyambut Hari Raya tahun ini dan pesan kami kepada rakyat Malaysia supaya berhati-hati di jalan raya.
"Periksalah kenderaan sebelum balik ke kampung dan kepada warga yang tinggal di kota yang akan balik ke kampung utamakanlah keselamatan jalan raya.
"Saya berharap sambutan hari raya tahun ni dapat disambut secara sederhana kerana rata-rata masyarakat hari ini, harga barang yang agak meningkat kita sambutlah dengan cara sederhana.
"Pada mereka yang mempunyai kelebihan apabila balik di kampung perhatilah masyarakat sekeliling, kalau boleh infaklah kepada saudara mara, anak buah supaya mereka yang kurang bernasib baik merasa Hari Raya ini sebagai hari yang disambut semua lapisan masyarakat," kata Muhammad.
Sementara itu, orang ramai yang hadir turut gembira kerana dapat berkumpul bersama-sama meraikan perayaan Aidilfitri.
"Saya memang suka bergaul dengan pelbagai bangsa. Saya sangat gembira, sebab itu saya sanggup datang dari Pulau Pinang," kata pengunjung, Khor Hooi Huat.
"Saya berasa bangga, sebab rakyat Malaysia ini, semua satu kaum. Jadi saya ada jemputan daripada anak saya datang ke sini, jadi saya datang ke sini. Saya nak ucap, selamat Hari Raya," kata pengunjung, Superamaniam Ramasamy.