SERDANG, 13 September - Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan mengurniakan watikah tauliah kepada seramai 1,927 Pegawai Muda Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) terdiri daripada 20 universiti awam (UA) seluruh negara.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffa; serta Naib Canselor UPM Kolonel Kehormat Datuk Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Ketika bertitah pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA ke-43 itu, baginda menzahirkan harapan agar ilmu ketenteraan yang dipelajari dimanfaatkan dan diperkukuh oleh pegawai muda dalam pasukan simpanan.
"Ingatlah bahawa sumpah taat setia
yang di ikrarkan hari ini bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi janji suci kepada nusa dan bangsa.
"Beta ingin mengingatkan saudara dan saudari sekalian, supaya meneruskan sumbangan bakti di samping mempamerkan semangat patriotik kepada negara, di mana jua saudara dan saudari berada," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA ke-43, di sini.
Daripada jumlah itu, 1,098 ditauliahkan dalam Rejimen Askar Wataniah, 431 dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Udara Malaysia (TLDM), manakala 398 dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Malaysia (TUDM).
Terdahulu, baginda turut berkenan menyempurnakan pemeriksaan perbarisan serta menyaksikan perbarisan berjalan lalu perlahan dan cepat.
Istiadat itu turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Pedang Kehormat kepada 39 Pegawai Kadet Terbaik, sebelum diakhiri dengan bacaan Ikrar Taat Setia Perwira.