fb fb fb fb fb

1,200 projek perumahan swasta terbengkalai, diselamatkan

Keadaan sebuah rumah siap terbiar dan dipenuhi pohon liar yang dikhuatiri boleh mengundang pelbagai haiwan berbisa /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Sebanyak 1,200 projek perumahan swasta yang terbengkalai atau berstatus sakit berjaya diselamatkan. Jumlah itu melibatkan 163,000 pembeli rumah termasuk projek Residensi Hektar di Gombak.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, ia hasil daripada pelbagai usaha yang dilaksana antaranya penubuhan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST).

“Setakat pagi ini, KPKT telah berjaya menyelamatkan 1,200 projek melibatkan 163,000 pembeli rumah, termasuk projek Residensi Hektar di Gombak. Ini hasil menerusi pengenalpastian,penyelesaian, pencegahan dan cadangan model kehadapan,” katanya.

Tambahnya lagi, kejayaan itu turut dicapai hasil usaha KPKT memperkukuh kawalan terhadap pelaksanaan projek melalui prosedur sedia ada bawah Akaun Pemajuan Perumahan (HDA)yang wajib dibuka oleh setiap pemaju perumahan swasta berlesen di Semenanjung.

"Setiap pemaju diwajibkan membayar deposit tiga peratus daripada jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) ke dalam akaun HDA."

"Sebagai contoh, jika GDV bernilai satu bilion ringgit, pemaju perlu mendepositkan sebanyak 30 juta ringgit ke dalam akaun tersebut bagi memastikan mereka mempunyai aliran tunai mencukupi untuk melaksanakan projek,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong berhubung langkah terbaik KPKT bagi melindungi kepentingan pembeli rumah serta memastikan keseimbangan antara pembeli dan pemaju di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Nga turut memaklumkan bahawa KPKT akan memperkenalkan lima langkah reformasi baharu bagi menangani isu projek perumahan terbengkalai pada 20 November ini.

Menurut beliau, langkah reformasi tersebut akan diumumkan sebagai sebahagian daripada usaha KPKT untuk memastikan tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang tahun 2030.

SITI NOORAIN ABDULLAH