fb fb fb fb fb

Tiada kompromi terhadap penjawat awam terlibat penyelewengan

Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa

PUTRAJAYA, 30 Oktober - Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam salah guna kuasa atau penyelewengan selain mahu golongan itu berani mempertahankan kebenaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pengukuhan tadbir urus berasaskan integriti dan akauntabiliti mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI dalam pentadbiran awam selain menekankan peranan integriti.

"Pada pandangan saya, sistem sedia ada sebenarnya sudah mempunyai struktur yang baik dan boleh terus diperkukuh. Namun begitu, seperti yang saya nyatakan, kadangkala kita memerlukan keberanian untuk bertindak, khususnya dalam kalangan ketua jabatan.

"Ini kerana ada aduan yang diterima tanpa maklumat pengadu yang lengkap atau tanpa nama, dan keadaan itu sedikit sebanyak menyukarkan proses semakan semula. Bagaimanapun, sebagai ketua jabatan, kita tetap bertanggungjawab menyiasat setiap aduan yang diterima dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terbukti berlaku kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti Peringkat Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Tahun 2025 di sini.

Sambutan Hari Integriti Nasional 2025 bertemakan 'Integriti Teras Kesejahteraan Negara' itu mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan kejujuran, tanggungjawab serta kecekapan dalam pentadbiran awam.

Antara inisiatif utama diketengahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) termasuk pelaksanaan dasar 'No Gift Policy' bagi mengelakkan konflik kepentingan dan memperkukuh budaya kerja beretika dalam kalangan penjawat awam.

Pelaksanaan sistem digital dalam pengurusan perolehan dan kelulusan turut diberi perhatian bagi meningkatkan ketelusan, mengurangkan risiko penyelewengan serta memastikan tadbir urus lebih efisien dan berakauntabiliti.

Sambutan turut dimeriahkan dengan forum integriti dan pameran melibatkan enam agensi utama — Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Penjara Malaysia, Akademi Kenegaraan Malaysia (IIM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI