fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 capai pelbagai kejayaan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat/RTM

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dipengerusikan Malaysia berjaya mencapai pelbagai kejayaan besar sepanjang tempoh penganjurannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan antara kejayaan tersebut adalah kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11, Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai antara Thailand dengan Kemboja serta pengurangan ketegangan konflik di Myanmar.

“Alhamdulillah kejayaan besar adalah menerima Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11, anggota sepenuhnya dan sambutan dari rakyat Timor-Leste itu luar biasa.

Keduanya memeterai perjanjian yang lebih muktamad antara Kemboja-Thailand yang dikenali sebagai KL Peace accord. Kehadiran presiden Trump memberikan gambaran dan liputan meluas seluruh dunia. Tetapi keputusan kita tidak mahu campur tangan ketenteraan luar sama ada Amerika dan China. Mereka bantu hanya logistik tetapi yang berlaku itu atas bantuan dan kerjasama,” kata beliau dalam persidangan Dewan Rakyat.

Mengenai konflik di Myanmar, Datuk Seri Anwar menegaskan meskipun konflik di negara itu tidak dapat diselesaikan sepenuhnya namun sekurang-kurangnya pembunuhan di kawasan-kawasan minoriti khususnya di Rakhine dapat dihentikan.

“Dalam dua pertemuan dengan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, Perdana Menteri dan juga dengan Thailand kemudian disusuli di Beijing. Sekurang-kurangnya pembunuhan dan serangan di kawasan-kawasan minoriti terutama di Rakhine berkurangan. Antaranya hasil daripada usaha diplomatik,” beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di sini hari ini.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ