BACHOK, 14 Oktober - Syarikat tempatan berjaya menghasilkan 'Green Diesel', inovasi berasaskan konsep Plastic-to-Fuel (PTF) yang menukar sisa plastik kepada minyak diesel gred Euro5 (EN590) secara mesra alam.
Produk inovatif ini bukan sahaja menyelesaikan masalah pencemaran plastik, malah menawarkan alternatif bahan api rendah karbon dengan kecekapan enjin yang lebih baik berbanding diesel konvensional.
Ketua Pegawai Eksekutif Menselin Green Energy Sdn. Bhd., Ahmad Luqman Mohamad Adan berkata teknologi yang digunakan adalah berasaskan proses fractional de-polymerization, yang mampu menghasilkan sehingga 80 peratus minyak bahan api daripada setiap satu tan sisa plastik.
Ketika ini syarikat itu berjaya menghasilkan 300 liter diesel sehari.
Sasaran pengeluaran dijangka meningkat kepada 10,000 liter sehari dengan kerjasama Kementerian Ekonomi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
"Kami sedang melaksanakan penyelidikan dan pembanganun (R&D) untuk mendapatkan produk lain seperti bahan api jet dan nafta. Jika berjaya nafta boleh digunakan semula dalam proses penghasilan plastik, manakala bahan api jet boleh dimanfaatkan sektor penerbangan," katanya pada program MOSTI Tech Talks 2025 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini.
Terdahulu, perasmian program disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Dengan keupayaan menukar sisa plastik kepada bahan api berkualiti tinggi serta potensi besar untuk dikomersialkan secara global, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk menerajui inovasi tenaga hijau serantau.