KUALA LUMPUR, 21 Jun – Inovasi pembelajaran kimia menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR) yang dibangunkan tiga pensyarah dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) berjaya meraih pingat perak di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2025 baru-baru ini.
Mereka adalah Dr. Syazreen Nadia Sulaiman, ChM. Wan Nurhidayah A. Karim, dan Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki.
Projek bertajuk ‘ARChem: Visualising Orbitals in Augmented Reality’ merupakan satu-satunya inovasi berasaskan AR yang mewakili Universiti Malaya (UM) dalam pameran berprestij itu, selari dengan tema ITEX 2025 iaitu “The Power of STEAM and AI”.
"Projek ini bukan sahaja mewakili PASUM, malah menjadi satu-satunya inovasi berasaskan AR yang diketengahkan oleh UM di ITEX 2025"
"Melalui pendekatan yang inovatif dan interaktif, ARChem membantu pelajar memahami konsep kimia secara visual dalam suasana pembelajaran yang lebih menarik dan efektif, membolehkan pelajar memahami konsep orbital secara mendalam tanpa bergantung kepada kaedah kuliah tradisional,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Pembangunan modul pembelajaran maya tersebut direka khusus untuk pelajar Asasi Sains UM.
Teknologi ARChem membolehkan pelajar meneroka konsep kimia dalam suasana pembelajaran imersif melalui fail modul interaktif, selari dengan minat generasi baharu yang lebih cenderung kepada penerokaan visual dan pembelajaran kendiri.
Menurut hasil kajian yang dijalankan, pelajar daripada aliran Sains Hayat dan Sains Fizikal yang menggunakan modul ARChem menunjukkan peningkatan ketara dalam ujian kefahaman berbanding kumpulan yang menerima pengajaran secara kuliah biasa.
“Ini membuktikan pendekatan berasaskan realiti terimbuh bukan sahaja boleh menyaingi, malah melengkapi kaedah pengajaran konvensional. Ia turut menjimatkan masa kuliah dan memberi ruang kepada pelajar untuk fokus kepada topik lebih kompleks,” tambah kenyataan itu.
Melangkaui pencapaian akademik, ARChem dilihat sebagai pencetus perubahan dalam pendekatan pendidikan tinggi di negara ini, seiring aspirasi negara ke arah pendigitalan pendidikan yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Kejayaan ARChem di ITEX 2025 mengukuhkan peranan teknologi AR sebagai pelengkap penting kepada kecerdasan buatan (AI) pada abad ke-21.