KAYANG, 21 Jun - Bermodalkan geran kerajaan sebanyak RM95,000 menerusi inisiatif SejaTI MADANI, komuniti di Kampung Gunung Medan melakar kejayaan tersendiri menerusi projek tanaman cendawan tiram.
5,000 bongkah cendawan dapat disediakan dengan purata kutipan hasil mencecah RM11,000 diperoleh daripada 700 kilogram cendawan yang dipungut dan dijual setiap pusingan penanaman.
Menurut ketua projek cendawan tiram Kampung Gunung Medan, Hasnol Aman, bagi menjayakan projek perintis ini, seramai 10 peserta terlibat di kalangan komuniti setempat dalam pengoperasian pusat tanaman berkenaan.
Bukan sahaja dipasarkan secara segar, cendawan tiram ini dihasilkan sebagai produk hiliran menerusi pekasam cendawan tiram dan cendawan goreng yang mendapat permintaan tinggi.
''Kami perlukan bantuan dan sokongan khususnya daripada pihak FAMA untuk membantu dalam pemasaran. Setakat ini, stok yang ada tidak mencukupi berikutan permintaan yang tinggi.
Bagi memasarkan cendawan ini, kiosk dibuka di Seriab serta di Pusat Penanaman Cendawan Tiram. Kami kini dalam perancangan membuka satu lagi kiosk di kawasan eko pelancongan Gunung Medan,'' katanya.
Kejayaan projek cendawan tiram ini hasil bimbingan berterusan pasukan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang turun padang memantau pelaksanaan projek yang diusahakan komuniti.
Melihat kepada potensi cendawan tiram, komuniti Kampung Gunung Medan bakal memperluas projek berkenaan dari segi kualiti, kuantiti dan nilai tambah produk selain meneroka peluang pasaran baharu bersama agensi berkaitan.