fb fb fb fb fb

Tiada ‘tangan ghaib’, pelantikan KPN & hakim ikut prosedur

Foto hiasan/RTM

ULASAN BERITA

Isu mengenai pelantikan Ketua Polis Negara (KPN) dan Ketua Hakim Negara sekali lagi menjadi tumpuan, termasuk dalam kalangan rakyat biasa.

Sudah tentu, dua jawatan penting ini sangat dekat di hati rakyat Malaysia atau membuktikan kadar celik digital bagi golongan itu tinggi. Mereka tidak ketinggalan untuk membicarakan isu-isu kritikal dan semasa seperti ini.

Itu petanda baik. Masyarakat sudah cakna. Tidak lagi mudah dimomok-momokkan, tetapi jangan pula sekadar baca tajuk dan melepas geram di media sosial.

Kembali kepada pelantikan KPN dan hakim.

Siapa KPN yang baharu, sudah terjawab. Ia diumumkan 20 Jun lepas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang bersara setelah tamat kontrak.

Namun begitu, ibarat ‘rumah siap, pahat masih berbunyi’. Suara-suara tidak puas hati dan mempertikaikan kewibawaan Datuk Seri Mohd Khalid tetap ada.

Bagaimanapun, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, keputusan melantik Datuk Seri Mohd Khalid secara kontrak hingga 22 Jun 2027 dibuat berdasarkan kompetensi dan pengalaman luas beliau dalam bidang kepolisan.

Tidak seperti naratif dangkal yang melaju di media sosial, kononnya potong ‘queue’. Tidak sama sekali!

Mengapa? Kerana pelantikan secara kontrak selama dua tahun itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, juga atas nasihat Perdana Menteri serta perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Begitu juga dengan pelantikan hakim, khususnya Ketua Hakim Negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan dalam urusan institusi kehakiman, termasuk soal pelantikan hakim, mahupun sebarang keputusan mahkamah. Beliau tidak pernah mencampurinya. Jauh sekali ada ‘amalan berpilih’!.

Di sini kena faham, proses pelantikan hakim melibatkan beberapa peringkat, termasuk cadangan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, penilaian Perdana Menteri, perkenan Yang di-Pertuan Agong, dan pembentangan kepada Majlis Raja-Raja, seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, terdapat cadangan untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 dan perlembagaan untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim.

Cadangan itu diulas Pakar Perundangan dan Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr. Syamrahayu A. Aziz. Jelas beliau, penglibatan Perdana Menteri dalam proses pelantikan hakim bukan untuk mengawal kebebasan badan kehakiman, sebaliknya, bagi membolehkan kerajaan mengetahui perkembangan dalam badan kehakiman terbabit.

Jelas beliau, peranan Perdana Menteri memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dalam melantik hakim adalah suatu yang telah wujud dalam perkara 122B Perlembagaan Persekutuan sejak 1957 lagi.

Beliau juga percaya antara sebab peruntukkan itu dibuat adalah supaya ada penglibatan daripada pihak kerajaan dalam hal berkaitan dengan badan kehakiman. Jadi, tidak boleh tuduh ada campur tangan politik.

Tun Tengku Maimun Tuan Mat sendiri menyifatkan perkhidmatanya tidak dilanjut bukan satu isu, Malah beliau tidak pernah berasa kesal sepanjang memegang jawatan tertinggi kehakiman itu kerana telah melengkapkan perkhidmatan enam tahun sebagai Ketua Hakim Negara ke-16.

Tun Tengku Maimun secara rasmi menamatkan perkhidmatannya pada minggu ini kerana bersara wajib.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara, termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan sehingga jawatan itu diisi.

Tan Sri Hasnah yang telah bersara wajib pada usia 66 pada 15 Mei lepas disambung perkhidmatannya selama enam bulan hingga 14 November ini.

Biarpun ada pihak yang meluah rasa bimbang dengan kekosongan jawatan tersebut secara hakiki, namun ketokohan Tan Sri Hasnah usah dipertikai.

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang undang-undang pada 1983, wanita ketiga memegang jawatan Hakim Besar Malaya, selepas Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Selari matlamat kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam peringkat pembuat keputusan termasuk di sektor awam.

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Zamzuri Zawawi.

MAT YUNUS BIN SABRI