ULASAN BERITA
Genap seminggu Amerika Syarikat mengumumkan kenaikan tarif timbal balik terhadap import kepada lebih 75 negara rakan dagang. Washington kemudian menangguhkannya kepada 90 hari. Apa sebenarnya strategi mereka? Selepas memberi tekanan kepada negara terlibat.
Seperti diketahui, kembalinya Donald Trump ke White House memaksa dunia melakukan penyesuaian dengan label nasionalisme laungannya. Yang jelas menggabungkan perdagangan dengan diplomasi dan dominasi, Dengan idea-ideanya yang tidak dijangka.
Namun keputusan patah balik, umum penangguhan itu, Satu keputusan yang melegakan seluruh global. Selepas bursa saham masing-masing mencatat penurunan; sebaik Trump umum penangguhan, bursa serantau catat kenaikan, termasuk Bursa Malaysia, Indonesia dan Vietnam.
Tempoh penangguhan hampir tiga bulan, ibarat tempoh bertenang untuk semua negara. Masa, buat semua negara rancang sebaik-baiknya bagaimana untuk berunding dengan Amerika. Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim putuskan untuk tidak mengenakan semula tarif timbal balas terhadap Washington.
Bermakna, Malaysia memilih diplomasi berbanding konfrontasi. Tenang berbanding gelisah. Tindakan bijak itu membuktikan kematangan Kuala Lumpur meningkatkan keyakinan pelabur dan mempercepat transformasi ekonomi. Malaysia juga mengambil pendekatan berbincang.
ASEAN turut senada dengan Malaysia. Tiada tindak balas akan diambil terhadap tarif timbal balik dikenakan Amerika kepada semua negara di rantau itu. Sebaliknya, berhasrat mengadakan dialog terbuka dan membina dengan Amerika.
Negara perdagangan juga perlu menggunakan platform Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), bagi menyelesaikan sebarang isu dan masalah termasuk tarif. Seperti disarankan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi ASEAN bagi 2025, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akui ketidaktentuan itu mewujudkan cabaran besar terhadap ekonomi ASEAN.
Bagaimanapun, Kuala Lumpur perlu tempuhi perkara luar jangka. Ubah strategi ekonomi. Malaysia giat menilai implikasi daripada perubahan, dan kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN dalam mengurangkan gangguan, serta terus menjadi rakan perdagangan dan pelaburan terbuka kepada semua negara. Termasuk China dan Amerika.
Malaysia akan meneruskan strategi sedia ada untuk mempelbagaikan perdagangan dan meneroka pasaran baharu, serta memperdalam hubungan dengan pasaran sedia ada. Apa pun terjadi, Malaysia tetap perlu bersedia menghadapi impak besar yang mungkin menyusul.
Pendapat Pensyarah Kanan Perniagaan Antarabangsa & Keusahawanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hamizah Abd Hamid, meski tarif timbal balik ditangguhkan; Kuala Lumpur perlu bersedia. Syarikat tempatan digalak tingkat kapasiti pekerja dan teroka sektor baharu. Sementara kerajaan disaran bantu dari segi modal dan dasar sokongan.
Ya. !! Kewibawaan Datuk Seri Anwar sememangnya tidak perlu dipersoalkan. Beliau pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Dunia oleh EuroMoney pada 1993. Pernah juga diangkat Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh AsiaMoney pada 1996.
Jelas Perdana Menteri, ketika ini ekonomi negara kekal berdaya tahan. Malaysia tidak akan terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi. Tertarik dengan pandangan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee, Malaysia bukan sekadar negara perdagangan, tetapi kuasa besar pembuatan.
Sebuah negara berpendapatan sederhana yang berusaha memanjat rantaian nilai. Lebih 40% daripada eksport merupakan komponen elektronik dan elektrik. Ketahanan ekonomi perlu dibina. Perkukuh kemahiran rakyat, industri hijau dan ekonomi digital. Labur dalam kemahiran.
Tindakan proaktif bukan sahaja mampu meredakan impak jangka pendek, malah meletakkan asas kukuh bagi masa depan lebih berdaya saing dan berdikari.
Betul juga, tindakan awal Malaysia untuk menggangotai BRICS memberikan peluang ekonomi ketara. Pembukaan akses kepada perdagangan, pelaburan dan kerjasama dengan pasaran pesat membangun terbesar dunia, termasuk Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Memetik pandangan Koordinator Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia, UiTM, Dr Mohamad Idham Md Razak, keanggotaan BRICS menawarkan potensi besar kepada Malaysia, iaitu memperluas pasaran eksport dan mempelbagaikan perdagangan. Terutama dengan negara-negara dalam bloknya.
Jalan terbaik, kekal teguh, punyai prinsip dan sentiasa waspada. Main peranan bijak, raih manfaat bersama.
Ulasan berita ini disediakan oleh Mohd Khairie Khalid, editor Berita Radio RTM.