fb fb fb fb fb

Lawatan Presiden Xi, simbol keakraban Malaysia-China

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping pada Majlis Menandatangani MoU sempena Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia/ BERNAMA

ULASAN BERITA

'Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit'.

Peribahasa Melayu ini dipetik Presiden China, Xi Jinping dalam ucapan beliau di Majlis Makan Malam yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, Rabu lalu.

Ia bagi menggambarkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China yang berkembang pesat, sejak mula dijalin pada 31 Mei 1974.

Presiden Xi menyifatkan 'hubungan yang dibina kukuh seperti batu dan akan terus menjadi teguh'.

Datuk Seri Anwar dalam ucapannya pula berharap persahabatan Malaysia-China terus mekar, 'sedalam lautan, seteguh bintang di langit' dan 'segemilang harapan yang menyingsing kemakmuran masa depan'.

Kedua-dua pemimpin menyuarakan harapan dan komitmen sama, iaitu memastikan hubungan akrab Malaysia-China terus utuh, selepas hubungan diplomatik memasuki era keemasan yang baharu.

Mengikut sejarah... hubungan Malaysia-China telah terjalin seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka dan mencapai kemuncak apabila kedua-dua negara meraikan ulang tahun Jubli Emas dalam hubungan diplomatik, tahun lepas.

Dalam tempoh separuh abad, banyak kemajuan dilakar dalam lembaran sejarah yang menyaksikan kedua-dua negara menikmati kerjasama yang saling menguntungkan, baik dari aspek politik, perdagangan, ekonomi dan pelaburan, mahupun pertukaran budaya dan pendidikan.

Bahkan, hubungan Malaysia-China juga telah dipertingkat ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif semasa kunjungan rasmi pertama Presiden Xi ke Malaysia pada 2013.

Pada tahun berikutnya, China meminjamkan Malaysia sepasang panda gergasi yang menjadi lambang republik itu bersempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Langkah meminjamkan 'Fu Wa' dan 'Feng Yi' yang dirujuk sebagai 'Diplomasi Panda' merupakan amalan kerajaan China sebagai tanda persahabatan dan simbol diplomatik.

Pada tahun yang sama juga, Majlis Pecah Tanah Taman Persahabatan Malaysia-China disempurnakan di Putrajaya yang merupakan mercu tanda hubungan diplomatik yang terjalin kukuh antara Kuala Lumpur-Beijing.

Dari segi perdagangan, China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, sejak 2009.

Kunjungan Presiden Xi ke Malaysia selama tiga hari yang berakhir semalam mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dan hubungan dagang yang sedia erat.

Pada lawatan rasmi kali kedua ini, sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai merangkumi pelbagai bidang kerjasama strategik.

Antaranya kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pelancongan dan pendidikan, serta pertanian dan keselamatan makanan.

Satu lagi perjanjian penting yang ditandatangani ialah pengecualian visa timbal balik untuk pemegang pasport biasa dan pasport urusan rasmi.

Apapun... lawatan Presiden Xi pada kali ini dianggap amat penting dan tepat pada masanya.

Selaras dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan juga penyelaras bagi Dialog Hubungan ASEAN-China.

Meskipun ada pihak berpandangan lawatan Presiden Xi mempunyai agenda tertentu kerana berlaku pada masa kritikal, tatkala China sedang berhadapan perang dagang dengan Amerika Syarikat.

Namun, menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, lawatan ini sudah dirancang lebih awal dan dilakukan atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Perdana Menteri pernah berkata, sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia juga mengamalkan keterbukaan dan hubungan seimbang dengan semua rakan antarabangsa, termasuk Amerika dan China.

China akan kekal sebagai rakan dagang paling penting bagi Malaysia.

Lebih-lebih lagi dalam kekalutan sistem perdagangan global ketika ini.

Inisiatif global China memberikan harapan kerana ia berlandaskan pendekatan minda terbuka dan bukan mementingkan diri sendiri.

Presiden Xi juga telah berjanji untuk berganding bahu dengan Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang lebih luas dalam menentang amalan unilateralisme dan perlindungan.

Diharapkan hubungan Malaysia-China akan terus mekar dan akrab dalam dekad-dekad mendatang.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita Radio RTM, Masniza Awang Kechik.

ROSLINA BINTI DIN