fb fb fb fb fb

Jalur Gemilang: Pasang dengan betul, peka dan hormat

Jalur Gemilang berkibar megah di sepanjang Jalan Pengkalan Weld, George Town sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat/BERNAMA

ULASAN BERITA

Sejak akhir-akhir ini, muncul semula isu bendera Malaysia dipasang terbalik. Sama ada dipasang sengaja atau tidak, si pelaku lebih mengetahuinya. Kalau sengaja, ada peruntukan boleh didakwa. Biar mahkamah putuskan sama ada tertuduh benar-benar sengaja atau tersilap.

Pelaku yang sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk penjara. Kalau siasatan menunjukkan ia satu kesilapan tidak sengaja, tangani secara baik. Seeloknya tak perlu ditularkan sana sini dan dijadikan seperti isu nasional.

Sebaliknya, nasihat elok-elok dan ajar cara pasang bendera dengan betul Pelaku pula kena akui kesilapan dan bertanggungjawab atas insiden berlaku. Dia wajar mohon maaf. Juga, berjanji akan lebih berhati-hati dalam pemasangan Jalur Gemilang selepas ini. Paling penting, jangan ulangi kesilapan sama.

Jika kesilapan masih berulang, itu bukan lagi silap tapi benak. Takkanlah bendera Malaysia sendiri pun tak kenal. Takkan tak tahu, mana atas mana bawah. Ini bukan bendera Thailand yang sama jalurnya.

Bendera Thailand tidak ada sebarang lambang, dipasang dari bawah boleh, dari atas pun boleh. Tetap nampak sama kedudukannya. Namun, Jalur Gemilang, lain reka bentuknya. Kita ada lambang bulan dan bintang, ada jalurnya. Kena hayati betul-betul sebelum pasang atau kibar.

Kalau silap pasang, boleh mendatangkan kekecewaan dan kemarahan awam. Boleh menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Si pelaku yang sengaja pasang atau kibar bendera terbalik, dia dianggap menghina simbol negara.

Nampak jelas sikap tidak bertanggungjawab dan langsung tiada rasa hormat. Ini tidak boleh diterima sama sekali. Terutama ketika kita sedang menyambut bulan Kebangsaan.

Perbuatan itu mencerminkan kurangnya kesedaran pelaku terhadap simbol kenegaraan. Malah, memperlihatkan kelemahan jati dirinya sebagai rakyat Malaysia.

Bendera Malaysia atau Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna. Sebaliknya, merupakan simbol kedaulatan dan semangat patriotisme. Ia lambang maruah negara. Lambang kesucian, keikhlasan dan keamanan. Juga, lambang kedaulatan Raja-Raja Melayu dan institusi Diraja. Ia simbol kebanggaan negara yang sangat dihormati.

Mengibar Jalur Gemilang adalah cara kita mengekspresikan penghargaan atas jasa pejuang kemerdekaan serta sejarah pembinaan negara bangsa yang berdaulat. Akan tetapi, jika ada individu sengaja mempermain-mainkan bendera Malaysia, ia seolah-olah merobohkan perpaduan bangsa.

Ini sesuatu hal yang tidak boleh dianggap remeh. Ia mesti ditangani dengan baik dan berkesan. Meskipun isu ini berlaku saban tahun, apa langkah konkrit untuk mengatasinya? Nasihat sudah, denda pun sudah. Jadi, harus bagaimana lagi?

Menurut Pakar Perundangan dan Perlembagaan Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz, ia soal kesedaran yang perlu diterapkan dalam jiwa dan sanubari. Katanya, kesedaran rakyat terhadap penggunaan Jalur Gemilang secara betul dan beretika perlu diperkasakan. Ini bagi memelihara maruah serta kedaulatan negara.

Generasi dewasa juga perlu menjadi teladan kepada anak muda dalam penggunaan bendera dengan betul kerana amalan itu akan menjadi contoh dan warisan untuk diikuti. Selain itu, pendidikan patriotik perlu diperkukuh sejak peringkat sekolah melalui pengajaran sejarah dan sivik.

Manakala media massa, program komuniti dan sambutan Bulan Kebangsaan dijadikan platform untuk menyemai kesedaran cinta pada negara. Tanpa kesedaran ini, bendera hanya akan dilihat sebagai sehelai kain. Bukan lagi simbol maruah, kebanggaan dan semangat perjuangan sesebuah negara merdeka.

Kepada semua pihak, ini peringatan PMX. Hati-hati dan jangan ambil mudah sebarang kesilapan melibatkan Jalur Gemilang. Jika ada insiden berlaku, ia perlu dijalankan mengikut proses undang-undang tanpa tekanan, tanpa tindakan berlebihan.

Oleh yang demikian, diharap isu ini tidak timbul lagi. Peka, didik dan hormat. Pasang dengan betul, pasang dengan cermat. Biarlah bendera berkibar, penuh rasa terhormat.

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Nik Hafizul Baharuddin.

MAT YUNUS BIN SABRI