fb fb fb fb fb

Usahawan dari rumah: Hendak seribu daya

Foto hiasan/Arkib Bernama

SAUDARA PENGARANG

Dunia keusahawanan terus berkembang seiring dengan perubahan zaman. Pandemik COVID-19 telah mengubah landskap ekonomi dan gaya hidup masyarakat secara signifikan. Ramai individu kehilangan pekerjaan dan terpaksa mencari alternatif bagi menjana pendapatan.

Rentetan daripada situasi ini, lahirlah ramai usahawan dari rumah yang gigih mencari rezeki berbekalkan bakat dan kemahiran yang dimiliki. Mereka menghasilkan pelbagai produk seperti jahitan, kuih-muih, pastri, kerepek dan lain-lain dari kediaman masing-masing.

Usaha ini bukan sahaja bertujuan menjana pendapatan, tetapi juga merealisasikan impian untuk berdikari tanpa bergantung kepada bantuan atau simpati.

Definisi usahawan dari rumah

Usahawan dari rumah merujuk kepada individu yang menjalankan perniagaan atau aktiviti ekonomi dari kediaman mereka tanpa perlu menyewa premis perniagaan.

Mereka memanfaatkan sumber yang ada di rumah seperti dapur, bilik khas atau ruang kerja untuk menghasilkan produk atau menawarkan perkhidmatan seperti menjahit, membuat kuih-muih atau menyediakan perkhidmatan secara digital.

Perbezaan yang ketara boleh dilihat di antara usahawan dari rumah dan usahawan mikro walaupun mereka berkongsi ciri-ciri seperti berskala kecil, bermodal rendah dan mempunyai bilangan pekerja yang sedikit (kurang daripada lima orang).

Namun usahawan mikro berbeza kerana mereka boleh beroperasi dari rumah atau premis kecil seperti gerai atau kedai, manakala usahawan dari rumah hanya beroperasi sepenuhnya dari kediaman mereka.

Usahawan dari rumah pasca-PKP

Selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai menyedari bahawa bekerja dari rumah bukan lagi sesuatu yang mustahil. Dengan modal yang kecil, ramai individu mengambil peluang menceburi bidang perniagaan dari rumah.

Media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok menjadi medium pemasaran yang sangat efektif, membolehkan produk mereka menembusi pasaran yang lebih luas tanpa memerlukan kos pemasaran yang tinggi.

Ramai usahawan rumah memulakan perniagaan atas pelbagai sebab. Ada ibu yang ingin menjaga anak kecil tanpa perlu menghantar mereka ke pusat jagaan. Ada isteri yang ingin membantu suami menambah pendapatan keluarga tanpa perlu keluar dari rumah.

Tidak kurang juga mereka yang kehilangan pekerjaan dan terpaksa mencuba sesuatu yang baharu. Keadaan yang mencabar ini melahirkan semangat juang yang luar biasa dalam diri mereka.

Namun, perniagaan dari rumah bukanlah sesuatu yang mudah. Antara cabaran utama ialah kesukaran menguruskan masa antara perniagaan dan tanggungjawab rumah tangga.

Kekurangan modal dan latihan turut menjadi halangan kerana tidak semua usahawan dari rumah mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk mengembangkan perniagaan mereka. Tanpa strategi pemasaran yang berkesan, sukar untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Walaupun begitu, perniagaan dari rumah menawarkan pelbagai kelebihan. Kos operasi dapat dijimatkan kerana tidak perlu menyewa premis. Usahawan juga boleh menguruskan jadual kerja mereka sendiri tanpa terikat dengan waktu kerja yang tetap. Selain itu, lebih banyak masa dapat diluangkan bersama keluarga sambil menjana pendapatan.

Namun, terdapat beberapa risiko yang perlu diberi perhatian. Keselamatan anak-anak perlu diutamakan apabila rumah menjadi tempat bekerja. Peralatan seperti mesin jahit, ketuhar panas dan bahan kimia terlarang perlu dikawal penggunaannya agar tidak membahayakan.

Selain itu, tekanan juga boleh timbul apabila perlu menguruskan pelbagai perkara secara serentak. Rumah yang dahulunya menjadi tempat rehat sepenuhnya kini tiada lagi privasi apabila turut berfungsi sebagai tempat bekerja.

Tip berjaya sebagai usahawan dari rumah

Untuk berjaya sebagai usahawan dari rumah, pengurusan masa yang baik adalah penting. Menetapkan jadual kerja yang jelas dapat membantu mengekalkan keseimbangan antara perniagaan dan keluarga. Platform digital seperti media sosial, e-dagang dan aplikasi penghantaran digital boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan jualan.

Usahawan juga digalakkan mengikuti kursus jangka pendek berkaitan keusahawanan bagi menambah ilmu dan kemahiran perniagaan. Selain itu, menyediakan ruang kerja yang tersusun di rumah dapat meningkatkan produktiviti serta mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Usahawan dari rumah bukan sekadar mencari rezeki, tetapi juga menjadi inspirasi kepada masyarakat. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, mereka tetap berusaha keras untuk memastikan perniagaan mereka berjaya.

Kisah-kisah mereka membuktikan bahawa dengan usaha, kesungguhan dan strategi yang betul, impian untuk berjaya dalam perniagaan dari rumah bukanlah sesuatu yang mustahil.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NORZIAH OTHMAN
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Kuantitatif
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.

HAZELENA DEWI FATAHUL ARIFFIN
Hazelena Dewi Fatahul Ariffin
Pensyarah, Jabatan Pengurusan & Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.

MAT YUNUS BIN SABRI