SAUDARA PENGARANG
Malaysia dinobatkan negara ketiga di dunia paling malas berjalan menurut data yang diterbitkan Stanford University. Hal ini adalah selaras dengan hasil dapatan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, mendapati ramai orang dewasa di Malaysia hidup secara sedentari dan suka menghabiskan masa lebih dua jam sehari dengan aktiviti duduk, baring atau bersandar.
Dalam dunia moden yang pantas ini, teknologi sering membuatkan kita duduk terlalu lama. Keadaan begini menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.
Bidang Sains Senaman menawarkan warga Malaysia satu penyelesaian praktikal untuk menangani masalah kesihatan berkaitan dengan gaya hidup yang tidak aktif ini. Bagaimanakah aplikasi sains senaman dalam kehidupan dapat membantu rakyat Malaysia dalam semua peringkat umur untuk hidup lebih sihat dan aktif akan dikongsikan oleh penulis dalam artikel ini.
Sains senaman ialah satu bidang yang mengkaji bagaimanakah aktiviti fizikal mampu mempengaruhi tubuh seterusnya menyediakan penyelesaian praktikal untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kepada semua peringkat umur dan gaya hidup.
Pergerakan adalah penting untuk semua orang, tanpa mengira usia atau pekerjaan. Pergerakan merupakan asas kepada gaya hidup sihat.
Sains senaman menawarkan strategi praktikal berasaskan bukti bagi membantu orang ramai melakukan lebih banyak aktiviti fizikal ke dalam rutin harian, sama ada melalui senaman teratur atau perubahan tingkah laku kecil seperti menggunakan tangga atau ‘parking’ kerete lebih jauh daripada lokasi pejabat.
Golongan dewasa dicadang untuk mensasarkan aktiviti berjalan sekurang-kurangnya 10,000 langkah sehari. Ini adalah antara cara yang baik untuk terus kekal aktif dan sihat.
Bagi golongan kanak-kanak pula, sasaran meningkat kepada 12,500 langkah untuk menyokong pertumbuhan dan tahap tenaga mereka. Antara aktiviti yang boleh dilakukan berjalan, berbasikal atau bersukan.
Kanak-kanak memerlukan aktiviti fizikal yang kerap untuk pertumbuhan, perkembangan, dan membentuk tabiat sihat sejak awal usia. Menjadikan senaman menyeronokkan melalui aktiviti seperti latihan litar, bersukan dan permainan dapat menanam minat dan gaya hidup aktif yang pasti akan berkekalan sepanjang hayat.
Manakala bagi golongan warga emas, mengekalkan kemandirian dan kualiti hidup sangat penting untuk kekal aktif. Latihan kekuatan, aktiviti regangan, dan aktiviti berbentuk kardio seperti berjalan pantas atau berenang dapat mengurangkan risiko jatuh, patah tulang, dan penyakit kronik yang dapat membantu meningkatkan kualiti hidup mereka.
Golongan pekerja pejabat memang tidak dapat dinafikan sering menghabiskan masa duduk berjam-jam menghadap komputer. Keadaan ini boleh menyebabkan obesiti, masalah kardiovaskular dan kekakuan otot.
Strategi mudah seperti bangun untuk meregangkan badan setiap satu jam, berjalan-jalan singkat semasa rehat, atau menggunakan meja berkerja dalam posisi berdiri dapat meningkatkan peredaran darah dan kesihatan secara keseluruhan.
Pelajar, terutamanya mereka yang berada dalam pendidikan tinggi, sering duduk berjam-jam semasa kuliah atau menyiapkan sesuatu tugasan atau projek universiti. Kedudukan begini akan menyebabkan badan berasa keletihan dan postur yang lemah.
Pelajar boleh mengambil rehat singkat untuk meregangkan badan atau berjalan-jalan santai di antara sesi kuliah dapat meningkatkan tenaga, tumpuan, dan kesihatan jangka panjang.
Golongan suri rumah sering menguruskan pelbagai tanggungjawab seperti memasak, membersih rumah dan menjaga anak. Pekerjaan seharian begini merupakan bentuk aktiviti fizikal yang baik.
Aktiviti seperti menyapu, mengelap, dan memasak melibatkan pelbagai pergerakan yang membantu meningkatkan kekuatan, fleksibiliti, dan kesihatan kardiovaskular. Semua aktiviti begini menyumbang kepada kesejahteraan mereka.
Kesihatan dan kesejahteraan hidup adalah hak milik semua. Sains senaman bukan hanya khusus untuk atlet atau penggemar kecergasan malah sangat sesuai dan bertepatan diamalkan dalam cara hidup moden kini.
Masyarat Malaysia perlu ada ilmu untuk mengaplikasikan maklumat sains dalam senaman atau pergerakan ini dalam kehidupan harian mereka agar rutin sedenteri harian boleh dikurangkan.
Dengan memahami dan mengaplikasikan prinsipnya, kita dapat menangani cabaran unik, seperti membantu warga emas kekal berdikari atau mengurangkan risiko kesihatan bagi pekerja pejabat.
Pergerakan sememangnya kunci kepada masa depan yang lebih sihat dan bahagia, dan dengan memasukkan lebih banyak aktiviti pergerakan ke dalam rutin harian, semua rakyat Malaysia boleh mengambil langkah ke arah kesejahteraan yang lebih baik.
Marilah kita bersama-sama mengaplikasikan sains senaman dan menjadikannya sebahagian daripada rutin seharian demi memastikan masa depan yang lebih cerah dan aktif untuk semua.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof. Dr. Soh Kim Geok
Jabatan Pengajian Sukan
Fakulti Pengajian Pendidikan
HP: 019-3649715
Emel: