fb fb fb fb fb

Budaya vape ancaman negara

Gambar hiasan

SAUDARA PENGARANG

Isu penggunaan vape yang semakin berleluasa dan membimbangkan dalam kalangan golongan muda wajar diberikan perhatian khusus pada masa kini. Penggunaan vape dalam kalangan remaja dan dewasa muda, tidak kira lelaki atau perempuan, sering disalah anggap sebagai satu alternatif yang lebih sihat berbanding merokok.

Selain itu, ia juga dianggap sebagai sebahagian daripada gaya hidup yang lebih cool dan santai. Ramai remaja dan dewasa muda terjebak dalam penggunaan vape tanpa menyedari kesan mudaratnya terhadap kesihatan diri, kesejahteraan mental, dan kos ekonomi.

Walaupun diketahui bahawa penggunaan vape membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, baru-baru ini, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri memaklumkan bahawa sukar bagi kerajaan untuk mengharamkan vape.

Namun, tumpuan dan penekanan akan diberikan terhadap kawalan penjualan cecair vape atau e-juice yang dicampur dengan bahan terlarang seperti dadah, bukannya pengharaman penjualan vape secara langsung.

Di sebalik isu kawalan ini, terdapat kesan psikologi—meliputi pemikiran, emosi, tingkah laku, dan fisiologi—serta kemudaratan kesihatan yang perlu ditangani dengan serius. Justeru, wujud keperluan untuk mempertimbangkan pengharaman vape.

Golongan muda, terutamanya remaja, sering kali melalui pelbagai cabaran dalam transisi antara dunia kanak-kanak dan alam dewasa. Pada fasa ini, mereka mencari keseronokan serta identiti diri dan cenderung untuk dikaitkan dengan kumpulan sosial tertentu.

Mengikut Teori Tingkah Laku Sosial , remaja mudah meniru tingkah laku individu yang rapat dengan mereka, seperti ibu bapa, ahli keluarga, dan rakan-rakan. Remaja akan mula memerhati ( attention ) tingkah laku orang dewasa, rakan sebaya, atau pempengaruh ( influencer ).

Jika mereka sering terdedah kepada individu yang menghisap vape, mereka cenderung menganggap perbuatan itu sebagai perkara biasa yang boleh diterima ( retention ).

Situasi ini membimbangkan kerana remaja yang mula menghisap vape akan mudah mempengaruhi rakan sebaya untuk mencuba, seterusnya menjadikannya sebagai satu tabiat. Lebih memburukkan keadaan, penggunaan vape dilihat sebagai satu cara untuk kelihatan lebih cool dan diterima dalam kumpulan sosial.

Jika tidak dikawal atau diharamkan, lebih ramai anak muda akan mencuba vape, yang akhirnya boleh membawa kepada ketagihan berpanjangan. Kesan psikologi ini amat membimbangkan kerana ia hanya memerlukan pemerhatian sebelum seseorang terdorong untuk mencuba. Jika dibiarkan berterusan, ketagihan ini akan menjadi semakin sukar untuk dikawal.

Dari sudut psikologi dan kaunseling, penyalahgunaan vape juga boleh membawa kepada perubahan tingkah laku yang negatif. Sebagai contoh, golongan muda mungkin berasa lebih tenang dan lega selepas menghisap vape kerana mereka percaya ia memberikan ketenangan sementara.

Walau bagaimanapun, penggunaan vape yang berulang boleh membawa kepada ketagihan terhadap nikotin.

Nikotin yang terdapat dalam vape akan merangsang rembesan dopamin, iaitu hormon keseronokan dalam otak, tetapi kesannya hanya bersifat sementara. Lama-kelamaan, individu akan menjadi bergantung sepenuhnya kepada nikotin.

Jika mereka tidak mendapatkan dos nikotin yang mencukupi, mereka boleh mengalami simptom penarikan ( withdrawal ), seperti keresahan, kemurungan, mudah marah, emosi tidak stabil, dan kesukaran menumpukan perhatian.

Ketagihan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, pemikiran, emosi, dan tingkah laku, tetapi juga memberi tekanan kepada hubungan sosial dengan orang lain.

Dari sudut kesihatan, penggunaan vape dalam jangka panjang boleh menyebabkan masalah kesihatan serius, termasuk EVALI ( E-cigarette or Vaping Use-Associated Lung Injury ). EVALI adalah keadaan perubatan yang serius di mana paru-paru seseorang mengalami kerosakan akibat bahan kimia yang terkandung dalam e-rokok dan produk vape.

Selain itu, kesihatan mental juga boleh terjejas akibat ketagihan yang berpunca daripada penggunaan bahan kimia, termasuk nikotin dalam e-juice.

Cabaran utama dalam menangani isu ini adalah keperluan untuk mengharamkan penjualan vape, kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal tetapi juga mempengaruhi kesihatan mental, emosi, dan tingkah laku individu.

Lebih membimbangkan, penggunaan vape sering dikaitkan dengan penggunaan dadah. Jika dibiarkan tanpa kawalan, kesannya terhadap generasi muda pada masa hadapan tidak dapat dibayangkan.

Golongan muda hari ini adalah aset negara dan bakal pemimpin masa depan. Apakah implikasi jangka panjang kepada negara jika masalah ini tidak ditangani?

Jika Malaysia boleh melaungkan kempen Perangi Dadah dengan slogan "Dadah adalah Musuh Negara" , mengapa tidak melancarkan kempen yang sama terhadap vape dan rokok, yang jelas membawa kemudaratan besar kepada rakyat?

Dari segi ekonomi, kos faedah terhadap masyarakat akibat penggunaan vape perlu dinilai semula. Apakah hala tuju negara dalam isu ini? Jangan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Semua pihak—kerajaan, masyarakat, dan individu—perlu memainkan peranan masing-masing untuk menangani isu vape dengan lebih serius, tanpa mencari alasan untuk tidak bertindak.


 Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor
Timbalan Dekan Ijazah Dasar,
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
Ahli Lembaga Kaunselor Malaysia,
dan Kaunselor Berdaftar, Lembaga Kaunselor Malaysia.



Nik Rafhan Al Faaizin
Kaunselor Pelatih di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling,
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN