SAUDARA PENGARANG
Kemajuan pesat teknologi telah memberi impak besar dalam pendidikan. Ia melangkaui sempadan fizikal dan menyepadukan pengalaman digital yang menyeronokkan di luar bilik darjah. Konsep metaverse membuka ruang perkongsian secara maya yang merevolusikan landskap pendidikan dan kerjasama digital. Melalui metaverse, pengguna boleh berinteraksi menggunakan avatar dan alatan digital.
Dengan menggabungkan realiti tambahan (AR), realiti maya (VR), kecerdasan buatan (AI) dan teknologi rantaian blok, metaverse mengubah cara pelajar dan pendidik berinteraksi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penulisan ini meneroka bagaimana metaverse meningkatkan kerjasama maya serta menangani cabaran dan peluang dalam pendidikan digital.
Metaverse dan transformasi pembelajaran
Metaverse merujuk kepada alam semesta digital yang membolehkan pengguna berinteraksi, belajar dan bekerjasama dalam masa nyata. Tidak seperti ruang digital tradisional, metaverse menawarkan persekitaran 3D yang imersif, membolehkan pelajar mengalami pembelajaran secara interaktif.
Konsep pembelajaran maya bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah berkembang melalui pelbagai platform pembelajaran digital seperti Massive Open Online Courses (MOOCs) (contohnya Coursera dan edX), bilik darjah maya seperti Second Life, serta platform pendidikan gamifikasi seperti Minecraft Education Edition dan Roblox Education .
Platform ini meletakkan asas kepada pembelajaran lebih mendalam dan inovatif. Kemunculan Web 3.0, didorong oleh rantaian blok dan AI, mencipta ekosistem pendidikan digital lebih interaktif dan berpusatkan pelajar. Metaverse pula membawa pengalaman pembelajaran ke tahap seterusnya dengan menyediakan peluang pembelajaran lebih mendalam, diperibadikan, dan terdesentralisasi.
Metaverse membolehkan pelajar mengalami pembelajaran di luar bilik darjah. Sebagai contoh, Labster, sebuah makmal VR, membolehkan pelajar menjalankan eksperimen secara maya. Mereka boleh mensimulasikan tindak balas kimia dan proses biologi dalam persekitaran selamat dan terkawal.
Dalam bidang sejarah, pembinaan semula lokasi bersejarah dalam bentuk maya membolehkan pelajar ‘melawat’ Rom Purba, Piramid Mesir, atau medan perang Perang Dunia Kedua . Pendekatan ini memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang peristiwa sejarah.
Dalam bidang perubatan, simulasi latihan VR menawarkan persekitaran pembedahan maya. Pelajar perubatan boleh mengamalkan prosedur tanpa risiko sebelum berhadapan dengan pesakit sebenar. Selain itu, pembelajaran dalam metaverse juga merangkumi bilik darjah interaktif 3D, gamifikasi, dan pembantu pembelajaran AI.
Teknologi ini membolehkan guru holografik, papan putih maya, dan avatar digital digunakan dalam pengajaran. Kesannya, interaksi antara pelajar dan pendidik menjadi lebih dinamik serta dapat diperibadikan mengikut keperluan individu.
Metaverse menghapuskan halangan geografi dengan membolehkan pelajar dari pelbagai lokasi menghadiri kelas dalam ruang maya yang dikongsi. Teknologi pembelajaran adaptif AI boleh menyesuaikan kandungan mengikut gaya pembelajaran individu. Ini memastikan setiap pelajar menerima pendidikan yang sesuai dengan keperluan mereka.
Selain itu, pelajar kurang upaya turut mendapat manfaat daripada metaverse. Penyepaduan tutor AI dalam sistem pembelajaran menyediakan maklum balas segera, penggredan automatik, serta cadangan pembelajaran yang diperibadikan. Ini membantu memastikan setiap pelajar menerima sokongan yang diperlukan untuk berjaya.
ARTIKEL BERKAITAN
RTM perkenal platform baharu guna teknologi Metaverse
Kolaborasi dan masa depan pendidikan
Kerjasama dalam metaverse membawa pendidikan ke tahap yang lebih tinggi. Pelajar boleh bekerja secara maya dalam projek masa nyata, menjalankan eksperimen dalam makmal VR yang dikongsi, dan menyertai cabaran pengekodan dalam persekitaran digital.
Kampus maya menyediakan ruang pembelajaran yang menyeronokkan dan meniru tetapan akademik dunia sebenar. Institusi pendidikan harus memanfaatkan teknologi metaverse untuk membangunkan perpustakaan interaktif, makmal penyelidikan, dan hab rangkaian pelajar . Ini akan membantu memupuk semangat komuniti akademik walaupun berada di lokasi yang berbeza.
Selain itu, pendidik juga boleh menggunakan avatar dan hologram untuk menghidupkan sesi pembelajaran. Mereka juga boleh menjalankan seminar interaktif serta menggunakan papan putih digital dan model 3D untuk meningkatkan pemahaman pelajar.
Peralihan kepada kerjasama maya ini selari dengan evolusi pendidikan global. Ia menyediakan pelajar untuk menghadapi dunia pekerjaan digital, di mana komunikasi dan kerja berpasukan dalam ruang maya akan menjadi kemahiran penting pada masa hadapan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof Madya Ts. Dr. Siti Hajar Halili
Ketua Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
e-mel: