fb fb fb fb fb

RTM perkenal platform baharu guna teknologi Metaverse

Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkenalkan platform baharu menggunakan teknologi Metaverse bagi memperluaskan capaian kepada pendengar / Foto Hiasan

GEORGE TOWN, 12 Februari- Seiring dengan evolusi penyiaran, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkenalkan platform baharu menggunakan teknologi Metaverse atau disebut alam semesta digital; teknologi dunia maya yang saling berhubung bagi memperluaskan capaian kepada pendengar radio.

Melalui platform itu, 34 stesen radio RTM dihimpunkan dalam dunia maya yang membolehkan pendengar berinteraksi antara satu sama lain serta dengan persekitaran digital dalam bentuk avatar.

Menurut Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop, RTM terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan stesen radio kekal relevan dengan perkembangan teknologi.

"Kita perlu sentiasa bertransformasi. Evolusi ini akan menjadikan RTM sebagai peneraju penyiaran radio di Malaysia. Tahun ini, kita akan melaksanakan platform baharu menggunakan Metaverse bagi mendekatkan semua stesen RTM dengan pendengar. Pada masa hadapan, semua stesen radio RTM akan mempunyai keupayaan penerbitan dari mana sahaja," katanya selepas segmen Bicara Bisma di konti Mutiara FM di sini hari ini.

Metaverse yang dibangunkan oleh Radio RTM menggabungkan teknologi realiti maya (VR), realiti tambahan (AR), blockchain dan kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta pengalaman lebih interaktif dan imersif atau membolehkan pengguna merasai pengalaman sebenar dalam dunia maya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan radio RTM akan terus berperanan sebagai medium utama dalam menyebarkan maklumat, mendidik masyarakat, serta memberi inspirasi kepada pendengar untuk lebih prihatin terhadap isu perubahan iklim.

"Radio memainkan peranan signifikan dalam mendidik orang awam dan menyampaikan maklumat berkaitan perubahan iklim. Sebagai medium yang dipercayai, radio mampu meningkatkan kesedaran, berkongsi pengalaman serta memberi inspirasi kepada pendengar untuk bertindak dan bersedia menghadapi bencana pada bila-bila masa," katanya.

Sementara itu, Hari Radio Sedunia 2025 akan diraikan esok di Bukit Bendera, Pulau Pinang dengan RTM Pulau Pinang sebagai tuan rumah.

Bertemakan "Radio dan Perubahan Iklim", sambutan kali ini menekankan peranan radio dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu alam sekitar serta persediaan menghadapi bencana.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN