SAUDARA PENGARANG
‘Tempoh bertenang’ sangat diperlukan bagi kebanyakan orang apabila ditimpa sesuatu kesusahan, kesedihan mahupun sebarang bentuk bencana. ‘Tempoh bertenang’ ini pula mempunyai istilah khusus bagi setiap situasi berbeza.
Istilah ‘berkabung’ mungkin lebih difahami maksudnya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Ia menjelaskan situasi yang getir bagi seseorang yang kematian ahli keluarga terdekat, atau kematian pemimpin negara yang disantuni dalam suasana sedih dan berdukacita oleh kebanyakan masyarakat secara umum.
Dalam konteks Islam, istilah Ihdad mungkin masih kurang difahami oleh masyarakat masa kini termasuk dalam kalangan masyarakat Islam. Ihdad merupakan suatu perintah yang diwajibkan kepada wanita Islam yang kematian suami.
4 bulan 10 hari
Iddah merupakan tempoh menunggu yang diwajibkan ke atas seorang wanita selepas berlakunya perceraian atau kematian suami sebelum dia dibenarkan berkahwin semula. Wanita Islam kematian suami akan melalui tempoh iddah seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah, ayat 234 yang bermaksud:
“Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber’iddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis ‘iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat”.
‘Tempoh bertenang’ yang diberikan adalah masa peralihan untuk membolehkan wanita tersebut menjalani perubahan dalam kehidupannya serta mematuhi larangan tertentu yang ditetapkan oleh syarak.
Larangan Tempoh Iddah
Wanita yang sedang menjalani tempoh iddah perlu menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Terdapat beberapa larangan dikenakan kepada wanita beriddah seperti yang telah disepakati oleh para ulama. Lima larangan utama yang digariskan adalah
- Larangan untuk menerima pinangan lelaki ajnabi
- Larangan berkahwin dengan lelaki ajnabi
- Larangan menghias diri
- Larangan berpindah atau tinggal di rumah lain, bukan menjadi kebiasaannya Ketika masih dalam ikatan perkahwinan
- Larangan keluar rumah kecuali sekiranya terdapat bahaya atau kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.
Wanita yang kematian suami juga tidak dibenarkan untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja; iaitu untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan atau membeli barang-barang keperluan asas.
Pengecualian atau kelonggaran ini dibenarkan sekiranya tiada ahli keluarga atau orang lain yang boleh melakukannya, dan untuk mendapatkan keperluan lain yang penting dan mendesak. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang sahaja.
Hikmah Ihdad
Bagi wanita yang kematian suami, mereka wajib melaksanakan ihdad dalam tempoh 4 bulan 10 hari tersebut sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat Islam. Tempoh ini disyariatkan sebagai menghormati perkahwinan terdahulu dan sebagai tanda menjaga hak suami serta menzahirkan kesetiaan dan penghormatan isteri kepada suaminya.
Ihdad bukan sekadar bentuk kepatuhan kepada perintah Allah S.W.T tetapi juga memberi hikmah mendalam yang melibatkan kesejahteraan emosi, sosial dan spiritual wanita Islam. Dalam tempoh ini, wanita diberikan ruang untuk menenangkan diri, mengenang kebaikan-kebaikan dan mendoakan suami, mendekatkan diri kepada Allah S.W.T serta menyesuaikan diri dengan perubahan besar dalam kehidupan mereka terutama tanpa seorang suami atau bapa kepada anak-anaknya.
Cabaran Pelaksanaan Ihdad
Tanpa meminggirkan keperluan-keperluan semasa dalam masyarakat moden hari ini khususnya dalam kalangan wanita Islam yang bekerja, pelaksanaan ihdad sering kali menjadi cabaran malah timbul fitnah apabila ada yang melihat Islam sebagai agama yang mengongkong.
Tuntutan kerjaya dan tanggungjawab peribadi boleh menimbulkan dilema bagi wanita Islam bekerja yang ingin mematuhi kewajipan agama. Kekurangan sokongan yang bersifat holistik daripada majikan dan persekitaran kerja boleh menyebabkan wanita menghadapi tekanan semasa tempoh ihdad.
Sokongan Buat Wanita Berihdad
Sokongan daripada keluarga, baik dari ibu bapa sendiri mahupun mertua, sangat penting bagi wanita yang kehilangan suami. Dalam tempoh yang penuh emosi ini, mereka bukan sahaja memerlukan bahu untuk bersandar, tetapi juga dorongan untuk terus kuat menghadapi perubahan dalam hidup. Sokongan ini bukan sahaja memberi kekuatan mental dan emosi, tetapi juga memastikan kesejahteraan keluarganya terus terpelihara.
Sokongan emosi seperti sesi terapi dan aktiviti kerohanian adalah penting bagi membantu wanita yang berihdad menghadapi tekanan emosi dan mental semasa tempoh sukar ini. Manakala sokongan kewangan berupa bantuan tunai atau skim pembayaran gaji yang fleksibel juga dapat membantu meringankan beban kewangan yang mungkin dihadapi oleh wanita berihdad, terutamanya jika mereka kehilangan sumber pendapatan utama selepas kematian suami.
Selain itu, sokongan sosial yang melibatkan hubungan baik antara pekerja dan majikan serta rakan sekerja boleh membantu mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong wanita bekerja kematian suami di tempat kerja.
Majikan boleh menyediakan polisi khusus berkaitan ihdad agar wanita yang berihdad mengetahui hak-hak serta sokongan yang boleh mereka perolehi semasa tempoh ini. Polisi ini bukan sahaja membantu pekerja wanita untuk proses-proses tertentu yang terkait dengan pekerjaan mereka tetapi juga memastikan majikan dapat memenuhi tanggungjawab sosial dalam menyokong kakitangan mereka yang berada dalam situasi sukar ini.
Sistem sokongan yang baik adalah penting bagi memelihara kesejahteraan wanita serta dapat menghindari stigma masyarakat. Dengan adanya sokongan yang mencukupi, wanita berihdad boleh menyeimbangkan antara kewajiban agama dengan tanggungjawab kerjaya dan keluarga dengan lebih baik sekaligus mengekalkan produktiviti dan kesetiaan pekerja kepada organisasi tempat mereka bekerja.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Norita Kamaruddin
Pensyarah Jabatan Syariah
Fakulti Syariah dan Undang-undang
Universiti Islam Selangor
Norazla Abdul Wahab
Pensyarah Jabatan Undang-undang
Fakulti Syariah & Undang-undang
Universiti Islam Selangor