SAUDARA PENGARANG
Kelestarian bermaksud kita memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka. Ia berkait dengan usaha menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan sosial.
Amalan lestari termasuklah mengurangkan sisa bahaya, memelihara sumber alam, dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Kerajaan, perniagaan, dan individu memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian. Mengamalkan kelestarian membantu memerangi perubahan iklim, memelihara biodiversiti, dan mewujudkan planet yang lebih sihat.
Kelestarian adalah faktor yang menyumbang kepada kejayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Dengan mengamalkan amalan mesra alam, perniagaan jenis ini dapat mengukuhkan reputasi jenama mereka kerana pengguna masa kini semakin menggemari produk lestari.
Mengamalkan kelestarian bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar tetapi juga mendorong inovasi, kesetiaan pelanggan, dan seterusnya keuntungan jangka panjang dalam pasaran yang berkembang.
PKS membentuk sebahagian besar ekonomi di kebanyakan negara, oleh itu, kesan kolektif mereka terhadap alam sekitar adalah signifikan. PKS di seluruh dunia sedang melaksanakan amalan kelestarian inovatif yang mendapat pengiktirafan dan penghargaan.
Di Amerika Syarikat, contohnya, Saint-Gobain Advanced Ceramics LLC telah mendapat penghargaan kerana mengintegrasikan bahan lestari dan proses yang cekap tenaga ke dalam operasi mereka. Begitu juga di Jepun, syarikat seperti Japan Elastomer Co. Ltd. telah diiktiraf atas prestasi alam sekitar yang cemerlang, menekankan penggunaan sumber yang cekap dan pengurangan sisa.
Di United Kingdom, PKS sedang mengamalkan strategi kelestarian yang komprehensif. Pendekatan yang disyorkan termasuk perniagaan perlu menilai impak perniagaan kepada alam sekitar, menetapkan sasaran lestari praktikal, melibatkan pekerja dalam inisiatif kelestarian, dan menilai amalan rantaian bekalan.
Dengan melaksanakan langkah-langkah sedemikian, PKS di UK bukan sahaja meningkatkan prestasi alam sekitar mereka tetapi juga pada masa yang sama meningkatkan kecekapan operasi.
Di Malaysia, sebilangan PKS juga hebat dalam inisiatif kelestarian inovatif mereka. The Green Factory, sebagai contoh, menawarkan produk kayu mesra alam dan juga menggunakan bahan mesra alam, reka bentuk hijau, bangunan hijau, dan menguruskan sisa industri secara lestari. Begitu juga dengan The Picha Project yang merupakan perusahaan sosial yang mengambil pelarian sebagai rakaniaga perkhidmatan catering.
Organisasi ini juga menggunakan pembungkusan biodegradasi untuk mengurangkan kesan alam sekitar. Inisiatif ini menunjukkan bagaimana amalan lestari boleh diintegrasikan ke dalam model perniagaan untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.
Contoh lain yang menonjol di negara ini ialah Batik Boutique. Perusahaan sosial ini menggajikan wanita daripada komuniti berpendapatan rendah untuk menghasilkan produk batik menggunakan pewarna semula jadi dan bahan kitar semula. Ini merupakan satu inisiatif yang menggabungkan pembangunan sosial dengan kesedaran alam sekitar.
PKS ini menunjukkan bahawa mengintegrasikan kelestarian dalam operasi utama dan produk bukan sahaja baik untuk alam sekitar tetapi juga boleh meningkatkan reputasi jenama. Tidak semua PKS mempunyai sumber kewangan atau kepakaran untuk melaksanakan amalan kelestarian yang beskala besar, namun begitu setiap perniagaan boleh melaksanakan beberapa amalan kelestarian yang mudah tetapi berkesan.
Penggunaan Tenaga Dengan Cekap
Salah satu cara paling mudah PKS boleh mengamalkan kelestarian ialah dengan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga. Tindakan mudah seperti beralih kepada lampu LED, menggunakan termostat pintar, dan melabur dalam mesin dan peralatan yang cekap tenaga boleh mengurangkan penggunaan elektrik dengan ketara.
Meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui, contohnya memasang panel solar dan janakuasa mini hidro, juga boleh memberikan penjimatan jangka panjang sambil memberi manfaat kepada alam sekitar.
Pengurangan Sisa Buangan
Mengurangkan sisa buangan juga adalah satu amalan kelestarian yang berkesan. PKS boleh melaksanakan program kitar semula, mengurangkan sisa pembungkusan, dan menggalakkan dokumentasi secara digital untuk mengurangkan penggunaan kertas. Selain itu, meminimumkan penggunaan plastik sekali guna dalam operasi juga boleh mengurangkan sisa pelupusan sampah dengan drastik.
Pembekalan Lestari
Perolehan bahan mentah secara bertanggungjawab adalah satu aspek penting dalam amalan perniagaan lestari. PKS boleh memilih pembekal yang mengutamakan penggunaan sumber boleh diperbaharui, amalan buruh yang beretika, dan rantaian bekalan rendah emisi. Pembekal yang mempunyai label fair trade and eco-friendly perlu diutamakan.
Penjimatan Air
Penjimatan air adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan dalam operasi lestari. PKS boleh melaksanakan langkah-langkah penjimatan air seperti memasang kelengkapan atau peralatan yang cekap air, dan menggunakan semula air jika boleh. Penggunaan air hujan, yang melibatkan mengumpul dan menyimpan air hujan untuk pengairan atau kegunaan lain, adalah juga kaedah yang berkesan untuk mengurangkan pergantungan kepada bekalan air konvensional.
Penglibatan Pekerja
Menggalakkan kakitangan mengamalkan kebiasaan mesra alam, menawarkan latihan kelestarian kepada mereka, dan memberi ganjaran kepada inisiatif hijau boleh mewujudkan budaya bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam organisasi. Pekerja yang terlibat dalam usaha kelestarian lebih cenderung untuk menyumbang idea-idea inovatif yang meningkatkan impak positif perniagaan kepada alam sekitar.
Kelestarian bukan lagi sekadar tren tetapi ia boleh dikatakan sebagai satu kewajipan kepada PKS. Walaupun sesetengah pihak mungkin menganggap bahawa amalan lestari adalah mahal, ia sebenarnya boleh mendatangkan faedah kewangan dalam jangka panjang. PKS mempunyai kedudukan unik untuk berinovasi dan mengamalkan amalan lestari dengan cepat berbanding dengan syarikat besar kerana saiz dan fleksibiliti mereka.
Dengan melaksanakan perubahan kecil tetapi bermakna, PKS boleh mengurangkan jejak alam sekitar mereka, menyumbang kepada bumi yang lebih sihat sambil meningkatkan daya saing dalam pasaran.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Mohammad Noor Hisham Osman
Pensyarah Kanan, Jabatan Perakaunan dan Kewangan
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Putra Malaysia
emel: