(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Program Grand Finale Jelajah
Kita Selangor di Hulu Kelang pada 10/8/2023/Foto FB Anwar Ibrahim)
ULASAN BERITA
Tepat pukul 12:00 tengah malam ini (11 Ogos 2023), tamatlah tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-15 melibatkan enam negeri; Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Turut diadakan serentak, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu. PRK ini adalah yang pertama sejak PRU ke-15 tahun lalu. Ia menyaksikan pertandingan satu lawan satu.
Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada Perikatan Nasional dicabar calon Pakatan Harapan, Azan Ismail.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad. Pihak mahkamah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh berkempen.
Seperti PRU ke-15, media sosial sekali lagi menjadi platform paling popular sepanjang 14 hari tempoh berkempen kali ini.
Baik dalam kalangan calon bertanding mahupun pihak berkepentingan yang tidak bertanding. Malahan ada ceramah, jumlah audiensnya lebih ramai dalam talian berbanding hadir di lapangan.
Ini sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Dalam kempen kali ini, jumlah sokongan sebenar lebih sukar dijangka.
Walaupun kelihatan ramai, jumlah yang hadir di lapangan bagi satu pihak, belum tentu lebih tinggi daripada penyokong dalam talian pihak yang lain.
Selain mengelak kesesakan di sekitar lokasi ceramah, kaedah ini memberi peluang pengundi yang tinggal di luar kawasan untuk turut sama mengikuti mesej disampaikan.
Bercakap mengenai kempen dalam talian, tahukah anda syarikat penyedia platform media sosial turut memainkan peranan sepanjang tempoh berkempen? Jangan salah faham pula.
Penyedia perkhidmatan seperti TikTok dan Meta yang sebelum ini dikenali sebagai Facebook Inc, tidak berpihak kepada mana-mana parti atau calon bertanding. Mereka neutral.
Peranan mereka ialah memadam kandungan yang menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R).
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching walaupun peringatan telah berulang kali diberi mengenai larangan menyentuh isu 3R, masih ada aduan diterima.
Dalam hal ini, kebanyakan syarikat penyedia platform media sosial memberi kerjasama sepenuhnya. Namun ada juga yang tidak begitu responsif, entah kenapa.
Mungkin masih kurang kesedaran mengenai tanggungjawab sosial memelihara keharmonian masyarakat. Itu cerita dalam talian.
(Program Grand Finale Jelajah Kita Selangor di Hulu Kelang
pada 10/8/2023/Foto FB Anwar Ibrahim)
Bagaimana pula kisah luar talian?
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, PDRM tidak menerima sebarang laporan membabitkan isu 3R sepanjang tempoh berkempen.
Beliau berpuas hati dengan kerjasama ahli politik dan penyokong mereka yang menunjukkan kematangan berpolitik. Sikap positif itu diharap diteruskan biarpun selepas musim pilihan raya.
Mudah-mudahan begitulah. Yang baik-baik saja untuk negara tercinta. Baik lagi kalau tahap disiplin dalam talian orang kita dapat diseimbangkan dengan rekod luar talian.
Kepada calon yang bertanding, manfaatkan sepenuhnya tempoh berkempen yang masih berbaki. Jelaskan sejelas-jelasnya aspirasi yang diperjuangkan dan pelaksanaan yang dirancang. Terutama dalam mengatasi masalah penduduk setempat serta meningkatkan kemampuan pengundi menampung kos sara hidup dan menjamin rezeki keluarga.
Tidak perlu janjikan bulan dan bintang yang jelas di luar jangkauan. Ketengahkan tawaran realistik dan memberi kesan langsung.
Setiap pengundi pastinya ada kayu pengukur masing-masing dalam membuat penilaian. Kepada orang ramai yang akan pulang ke kampung atau lokasi pengundian, rancang perjalanan anda.
Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dijangka menghadapi tempoh perjalanan lebih panjang pada hari ini dan esok, berbanding hari-hari biasa.
Menurut PLUS, peningkatan trafik dijangka mencecah sehingga 1.9 juta kenderaan sehari. Pengguna lebuh raya digalakkan berhenti rehat di RnR setiap dua jam pemanduan.
Semoga selamat sampai ke destinasi bagi menunaikan tanggungjawab kepada negeri dan negara. Seperti yang kita sedia maklulm, setiap undi amat berharga. Ini peluang kita membuat perubahan jika perlu. Demi masa depan kita dan generasi seterusnya.
Pilihlah pemimpin yang betul. Sebelum mengundi, ada beberapa perkara yang sewajarnya dipertimbangkan.
Yang mana pilihan anda? Rekod prestasi atau sekadar janji.
Penyelesaian segera isu tertangguh atau terus buntu. Perancangan yang dilaksanakan, atau alasan tak berkesudahan. Pilihlah kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Untuk itu kita perlukan kerjasama baik antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat. Malaysia negara demokrasi, kita mampu mengubahnya.
Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.