fb fb fb fb fb

Kes dera kanak-kanak meruncing, perlu penyelesaian menyeluruh

(Foto hiasan)

SAUDARA PENGARANG

Pengabaian dan penderaan kanak-kanak di Malaysia merupakan masalah yang semakin meruncing hari ini. Apa tidaknya hampir setiap hari ada sahaja kes-kes penderaan melibatkan golongan ini dilaporkan di media massa.

Dianggarkan lebih 5,000 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak direkodkan sehingga bulan Jun tahun ini. Angka tersebut sudah pasti menakutkan kita, lebih-lebih lagi dalam keadaan masyarakat terhimpit dengan pelbagai masalah sosioekonomi sehingga menyebabkan sesetengah individu hilang pendirian dan prinsip kendiri menyebabkan hal-hal sedemikian berlaku.

Walaupun angka itu masih rendah dan berkurangan jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, tetapi ia masih menunjukkan bahawa kes penderaan antara masalah sosial yang semakin kritikal selepas musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19.

Masalah itu boleh dianggap sebagai cabaran kepada kebertanggungjawaban kerajaan dan masyarakat untuk prihatin terhadap nasib masa depan kanak-kanak yang merupakan generasi masa hadapan di negara ini.

Kesanggupan kerajaan untuk membangunkan suasana kesejahteraan kepada kanak-kanak, tidak terbatas kepada memenuhi keperluan asas mereka sahaja, tetapi memastikan bahawa keselamatan kanak-kanak dapat dipelihara dengan sistematik dan berkesan.

Seharusnya dalam dekad yang menyaksikan kepantasan maklumat dan kemajuan pesat; bersandarkan sains dan teknologi, kes-kes penderaan terhadap kanak-kanak tidak seharusnya wujud.

Masyarakat, terutama ibu bapa dan penjaga sepatutnya sudah terdedah dengan pengawalseliaan kendiri pengurusan keluarga yang menekankan kepada aspek kerohanian, keintelektualan dan menghargai kasih sayang sesama anggota.

Status ibu bapa dan penjaga kanak-kanak dari segi masalah berkaitan keluarga yang membawa kepada ancaman kesihatan mental haruslah dielakkan, terkawal dan ditangani dengan baik tanpa mempengaruhi golongan ahli keluarga, terutamanya kanak-kanak.

Tambahan pula, sepanjang tempoh pasca PKP menyaksikan banyak keluarga terkesan disebabkan kehilangan mata pencarian, ketidakstabilan ekonomi keluarga sekali gus membawa kepada masalah kemurungan dan mental.

Tanpa bimbingan terpimpin dan berterusan, akhirnya golongan ini akan terjerumus dalam kancah jenayah penderaan, penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak. Mereka akhirnya menjadi mangsa keadaan dan terpaksa menghadapi pelbagai masalah tanpa diberi perlindungan sepatutnya sehingga mengakibatkan mereka juga dilanda tekanan jiwa dan mental.

Sementelahan pula, kanak-kanak yang seharusnya diangkat menjadi pewaris generasi masa hadapan, mudah menjadi lebih sensitif terhadap diri mereka, hilang keupayaan keyakinan diri dan akhirnya meminggirkan diri mereka daripada menghadapi persepsi masyarakat yang negatif terhadap mereka.

Sudah pasti dalam keadaan sebegini, pendidikan psikologi bermula dari peringkat prasekolah harus dilaksanakan dengan baik supaya kanak-kanak didedahkan dengan masalah-masalah penderaan yang pada fikiran mereka hanyalah suatu bentuk hukuman setiap kali mereka melakukan kesalahan semasa berada di rumah, sekolah atau pusat penjagaan kanak-kanak.

Dalam hal ini, semua anggota masyarakat termasuk media haruslah bersikap optimis terhadap kes-kes penderaan kanak-kanak. Kita harus menyedari bahawa jenayah pengabaian kanak-kanak di negara ini menjadi agenda serius dan wajib diambil perhatian sepenuhnya secara tegas mengikut keperluan perundangan yang melindungi golongan kanak-kanak dari semasa ke semasa.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk membasmi masalah penderaan atau kemurungan kalangan kanak-kanak adalah seperti berikut:-

  1. Memperkasakan khidmat kesihatan mental berkaitan dengan komuniti dan sekolah.
  2. Memperkasakan program berasaskan pendidikan.
  3. Kerajaan dan NGO harus bekerjasama memfokuskan program-program proaktif dan preventif jenayah; penderaan, eksploitasi, pemisahan atau pengabaian kanak-kanak.
  4. Pihak sekolah dan guru harus bersikap proaktif mengambil tahu dan prihatin terhadap masalah kegiatan mental dalam kalangan kanak-kanak sekolah menerusi sesi kaunseling sama ada secara dalam talian atau bersemuka; berkongsi pemikiran dan pandangan untuk membantu mengelakkkan kemurungan dalam kalangan kanak-kanak.
  5. Membangunkan suatu mekanisme penyaluran maklumat berkesan dalam kalangan komuniti bagi memastikan kes-kes penderaan kanak-kanak dapat ditangani dengan pantas dan berkesan.


(Foto hiasan)

Saya menyambut baik pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mewujudkan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bakal dibentangkan di parlimen sedikit masa lagi.

Suruhanjaya itu akan menjaga dan menilai pematuhan kebajikan kanak-kanak di negara ini, selaras keperluan negara untuk melihat generasi baharu terutamanya kanak-kanak memperoleh hak penjagaan dan pemeliharaan lebih adil. Perkara itu telah dilaksanakan di beberapa negara maju di Eropah seperti Sweden, Switzerland, Jerman dan lain-lain.

Kerangka pematuhan regulasi pemeliharaan kebajikan kanak-kanak yang dirangka dan bakal dilaksanakan itu nanti akan mewujudkan sistem sosial lebih adil, teratur dan berimbang.

Saya juga bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengemas kini peranan pegawai pelindung kanak-kanak yang diberikan kuasa untuk mengendalikan kes-kes berhubung kebajikan dan keselamatan kanak-kanak, termasuklah memberikan kefahaman menyeluruh kepada para penjaga kanak-kanak dan komuniti perihal kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Sememangnya perlu ada peningkatan jumlah pegawai pelindung kanak-kanak yang terlatih bagi memenuhi populasi penduduk yang semakin bertambah dan bebanan keprihatinan penjagaan perlindungan kanak-kanak.

Kepakaran pengendalian kebajikan dan perlindungan kanak-kanak amat diperlukan bagi meningkatkan penguatkuasaan sistem perlindungan kanak-kanak.

Selain itu, kerajaan juga harus proaktif meminda Akta Kanak-Kanak berhubung hukuman ke atas pendera kanak-kanak, mempertingkatkan kaedah pemulihan kanak-kanak sama ada mereka yang menjadi mangsa dera, jenayah, seksual dan membanteras pihak yang cuba menjadikan kanak-kanak sebagai pekerja murahan. Dengan kata lain, perlindungan terhadap kanak-kanak harus diberi keutamaan tinggi.

Justeru, strategi untuk memperhebatkan pendedahan pendidikan jenayah penderaan kanak-kanak di sekolah dan kalangan ibu bapa serta komuniti harus dilaksanakan secara menyeluruh, sistematik dan berterusan. Ini supaya kes-kes jenayah dapat dibendung dan mendapat perhatian sepenuhnya daripada komuniti.

PENULIS, TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF merupakan Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu