(Foto FB Fahmi Fadzil)
ULASAN BERITA
Perpaduan merupakan suatu nikmat yang amat berharga dan aset penting buat Malaysia. Ia perlu terus dipupuk dan dipelihara agar kemerdekaan negara terus dipertahankan. Sejarah membuktikan keagungan sesuatu empayar itu bukan hanya terletak kepada kepimpinan yang bijak semata-mata. Sebaliknya, semangat jati diri dan permuafakatan rakyat.
Menyedari hakikat itu, agenda perpaduan nasional, terus diusahakan dengan gigih oleh kerajaan sejak merdeka pada tahun 1957 dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Kesungguhan kerajaan menekankan nilai saling menghormati dan mementingkan keadilan itu, dapat dilihat dalam usaha membangunkan Malaysia MADANI. Konsep tersebut menjadi kunci menyatukan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama agar lebih menghargai keamanan serta kebebasan yang dikecapi selama ini. Selain itu, memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan serta kemodenan. Atas faktor itu, 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan', diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan ke-66 dan Hari Malaysia 2023.
Ia mendasari tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu-padu serta menjalani kehidupan yang aman dan sejahtera. Ini berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan.
Pemilihan tema itu, bertepatan dengan landskap sosiopolitik negara, pada masa ini. Ia menyampaikan maksud cukup bermakna untuk dihayati segenap lapisan rakyat agar mengukuhkan semangat perpaduan dalam menghadapi pelbagai cabaran. Ini termasuk ketidaktentuan ekonomi global. Mesejnya jelas -- betapa pentingnya perpaduan dalam memacu pembangunan ekonomi negara serta mengangkat martabat rakyat ke tahap lebih tinggi.
Idealisme yang dibawa melalui tema dipilih, dapat membina identiti negara bangsa seperti yang diidamkan sejak kemerdekaan. Sekali gus, menunjukkan ketegasan kerajaan dalam meningkatkan perpaduan dengan menitikberatkan sikap saling memahami dan bertoleransi antara kaum serta memperbaiki kelemahan yang wujud dalam kalangan masyarakat.
(Majlis Pelancaran logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM)
2023 di KLCC pada Mei lalu/Foto FB Fahmi Fadzil)
Seperti dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, usaha untuk memupuk perpaduan, semakin diperlukan kini. Ia untuk menangkis suara-suara yang cenderung mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa dan agama. Suara-suara bernada permusuhan itu, jika tidak segera dibendung, boleh meracuni pemikiran rakyat sehingga mencetuskan pertelingkahan, perselisihan dan perpecahan.
Setelah hampir 66 tahun mencapai kemerdekaan, rakyat tidak seharusnya, hanyut dengan suara-suara bernada permusuhan yang boleh mencetuskan persengketaan, perselisihan dan perpecahan.
Perlu diingat, kemajuan ekonomi hanya boleh dicapai, jika negara kekal, stabil. Ini boleh dicapai menerusi rakyat yang bersatu padu dan saling membantu. Perpecahan dan pertelingkahan, hanya akan mengakibatkan negara mundur dan hancur. Dalam hal ini, rakyat perlu menjadikan Perlembagaan dan Rukun Negara, sebagai pegangan tidak kira dalam apa jua keadaan. Ini supaya negara kekal aman.
Kita percaya masyarakat Malaysia kini semakin rasional dan komited untuk menyemai benih perpaduan yang positif dalam institusi kekeluargaan, agama, pendidikan dan politik. Hanya perpaduan yang utuh, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang disegani di persada antarabangsa -- seterusnya menarik pelaburan asing.
Justeru, jadilah jiwa yang merdeka, terus berjuang untuk menikmati kemerdekaan yang belum dikecapi dan jadilah anak watan yang mempunyai jati diri yang tinggi. Kemerdekaan tidak ternilai harganya. Ia membolehkan rakyat menikmati pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan.
Ulasan berita ini disediakan oleh Haslinda Hassan, Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.