fb fb fb fb fb

Media sosial medium utama sosialisasi ilmu politik anak muda

(Foto Hiasan/AFP)

SAUDARA PENGARANG

Perkembangan teknologi yang semakin pesat telah menjadikan media sosial sebagai salah satu tempat rujukan informasi utama.

Malah, kecanggihan dalam penggunaan teknologi masa kini bukan hanya dijadikan medium penting komunikasi, bahkan mempunyai peranan penting dalam pembentukan sebuah peradaban manusia yang baharu dan inovatif secara tidak langsung.

Pembentukan fahaman dan kecenderungan individu masa kini terutamanya golongan muda banyak dipengaruhi oleh sumber yang diguna pakai secara meluas di alam maya. Hal ini termasuklah sebagai medium penyampaian maklumat ataupun bagi memenuhi agenda kepentingan diri sendiri.

Dalam konteks ini, pempengaruh politik sedikit sebanyak menggunakan kecanggihan teknologi secara maksimum. Buktinya, kupasan mereka tentang sesuatu isu secara meluas di media sosial menyebabkan golongan muda lebih mudah memahami dan menyakini kelompok pilihan politik masing-masing.

Malahan lagi, golongan muda juga lebih cenderung untuk mendengar dan membaca isu-isu politik yang lebih ringkas tetapi padat melalui kandungan digital seperti podcast, infografik, video pendek dan lain-lain yang boleh didapati di hujung jari pada bila-bila masa sahaja.

Ada juga dalam golongan ini gemar menangkap layar dan berkongsi di halaman media sosial masing-masing, sekaligus membuka ruang untuk perbincangan. Maka, media sosial seperti Twitter, Instagram, Tik Tok dan Facebook secara tidak langsung menjadi nadi kepada penyebaran ilmu politik terutamanya dalam kalangan belia.

Kecanggihan media sosial mempengaruhi entiti utama politik negara

Pengaruh teknologi sebagai hub informasi sangat kuat sehingga merambah ke dalam arena politik global. Jika kita amati, semua doktrin dan kefahaman politik selama ini dilakukan secara terbatas melalui media seperti televisyen yang dikawal serta ditapis.

Oleh kerana itu, pemahaman tentang hal-hal politik pada masa lalu tidak merata, disebabkan hanya sejumlah kecil masyarakat yang memiliki akses terhadap kemudahan tersebut.

Kini, landskap politik negara banyak dipengaruhi oleh paparan media sosial. Hal ini disebabkan oleh segala isu yang dikupas telah menarik minat golongan muda untuk memberi perhatian kepada agenda politik yang dibawa, sekali gus memberi ruang untuk mereka memilih dan membuat keputusan semasa pilihan raya.

Malah, agenda utama dan kontroversi diperbahaskan secara konklusif dan dikongsi di media sosial.  Perbincangan formula politik juga disebarkan secara meluas dan memberi idea untuk pengundi memilih parti pemerintah di peringkat persekutuan mahupun negeri dan sekali gus membentuk politik negara.

Kuasa internet dan media sosial

Pengaruh dan kuasa internet serta media sosial sebenarnya mempunyai impak signifikan dan diluar jangkauan dalam konteks politik di negara ini. Secara umum, terlihat bahawa kelompok yang paling terlibat dalam berinteraksi dengan media sosial adalah individu yang termasuk dalam kelompok belia atau golongan muda.

Golongan muda secara umumnya adalah mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun. Bagaimanapun, sepertimana yang ditakrifkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mereka adalah individu yang berumur antara 18 hingga 25 tahun bersesuaian dengan program-program yang boleh diikuti oleh golongan ini secara aktif.

Tidak hairanlah internet telah menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi keyakinan dan pemahaman mereka tentang pemerintahan negara dan politik secara umum. Fenomena ini dapat dipandang sebagai hasil daripada generasi saat ini yang lahir di tengah-tengah kemajuan teknologi yang terus berkembang dengan cepat.

Tambahan lagi, informasi yang diperolehi melalui media saat ini begitu cepat dan memiliki pengaruh signifikan kepada masyarakat, terutama generasi muda yang merupakan kelompok paling aktif dan akrab dengan teknologi maklumat. Oleh itu, antara informasi politik mudah akses yang boleh diceburi golongan celik internet ini adalah seperti blog, Youtube, Twitter, Facebook, Tiktok, dan artikel dalam talian berkaitan.

Suara-suara reformasi yang dibawa oleh golongan muda lebih meluas dikongsi dan dibincangkan di media sosial berbanding di televisyen, radio dan sebagainya. Isu-isu kontemporari lebih mudah dibincangkan dan pengaruh siber berjaya menarik kepercayaan umum untuk memahami maklumat disebarkan. Kepercayaan ini akan menjadi asas terutamanya untuk golongan muda membuat pilihan dan keputusan.


(Foto hiasan/BERNAMA)

Golongan muda penentu masa depan negara

Dasar Undi-18 tahun telah membuka ruang lebih luas untuk golongan muda melibatkan diri dalam bidang politik negara. Oleh yang demikian, penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun sebenarnya amat baik untuk dilaksanakan.

Pelaksanaan Dasar Undi-18 tahun menjadi salah satu peringatan kepada parti-parti politik untuk lebih berhati-hati dan peka terhadap isu-isu yang relevan dengan masyarakat, baik di peringkat akar umbi parti mahu pun di peringkat nasional. Hal ini memandangkan golongan muda ini merupakan antara penyumbang terbesar jumlah pengundi dalam pilihan raya.

Sungguhpun terdapat segelintir pendapat yang mengatakan golongan muda masih mentah dalam membuat keputusan, apatah lagi menguruskan diri juga masih belum pasti, namun suara dan pandangan mereka boleh menjadi penentu masa depan negara.

Oleh yang demikian, apakah sebenarnya yang mungkin boleh mempengaruhi minda mereka dalam membuat undian? Hal ini perlu difikirkan banyak pihak terutamanya parti-parti politik yang ingin membentuk kerajaan.

Parti-parti politik juga perlu melaksanakan mekanisme terbaik untuk menarik perhatian pengundi muda terutamanya dalam isu perwakilan muka-muka baharu dalam tampuk kepimpinan dan perjuangan parti. Isu ini wajar diberi perhatian dan perlu tindakan selanjutnya untuk meraih undi golongan muda selain isu-isu pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang sentiasa dititik beratkan.

Pengenalan muka-muka baru yang segar dalam parti dan penyebaran maklumat di media sosial mampu mengubah pola politik. Untuk memastikan bahawa kuasa siber dapat membantu golongan muda pada hari ini membuat keputusan, parti politik haruslah menggunakan platform media alternatif untuk menyediakan input terbaik terutamanya pempengaruh muda untuk membantu golongan ini memahami isu-isu yang diperjuangkan oleh parti. Ini juga dapat mengurangkan jurang pemahaman idea dalam kalangan golongan muda.

Media sosial menjadi acuan informasi generasi muda

Trend semasa menunjukkan segala informasi yang disajikan melalui media sosial akan menjadi acuan bagi generasi muda dalam memahami dan menilai apa yang terbaik bagi diri mereka untuk masa hadapan.

Sekiranya para pemimpin dan ahli politik sedia ada terus hanyut dengan pola aturan politik yang konservatif, mereka mungkin akan melepaskan peluang untuk membentuk daya tarikan dan pengaruh mereka dalam dunia maya. Hal ini disebabkan media sosial menjadi saluran penting bagi mereka untuk menyebarkan agenda dan mendapatkan kepercayaan masyarakat, terutama generasi muda di seluruh negara.

Perkara ini terbukti ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU ke-15). Semasa PRU ke-15 pada November 2022 lalu, peratusan pengundi muda telah meningkat sebanyak 2.4 juta berbanding semasa PRU ke-14. Hal ini menunjukkan bahawa golongan muda pada masa kini kian cakna untuk melibatkan diri dan menyertai politik negara. Malah, hal ini terbukti apabila kempen-kempen pilihan raya ketika itu, kebanyakannya dilakukan melalui platform media sosial.

Kemampuan media sosial tidak perlu dipersoalkan. Malah, platform ini mampu dijadikan ruang berkomunikasi di samping berkongsi fahaman politik terutamanya bagi generasi mendatang secara tidak langsung. Justeru, mengoptimalkan hal politik dalam media sosial untuk menyebarkan maklumat dan pesanan haruslah diguna sebaiknya supaya dapat memberikan input kepada semua terutamanya golongan muda.

Suara demokrasi dalam usaha membina masyarakat yang berinformasi harus diberi ruang dengan menggunakan media sosial agar masyarakat dapat memahami rentak dan rencah yang diusahakan oleh parti politik dan seterusnya membentuk lapisan masyarakat.

Pendidikan sebagai agen sosialisasi formal

Pendidikan di Malaysia bukan sahaja berperanan untuk memberi pelajaran, tetapi ia adalah satu cara untuk menyampaikan mesej perpaduan dan nilai-nilai murni kepada rakyat yang berbilang kaum. Melalui pendidikan juga, wadah perjuangan untuk membina negara bangsa yang unggul dapat diatur dan dilaksana oleh pemerintah.

Dalam konteks ini, sistem pendidikan formal yang diamalkan di Malaysia mampu mendidik golongan muda mengenai perihal perjuangan parti politik terdahulu dan semasa. Ini dapat memberikan mereka gambaran bagaimana sebuah masyarakat dinamik dapat dibangunkan di Malaysia.

Pendidikan formal juga telah menjadi kaedah untuk membantu dan memenuhi matlamat dalam memupuk golongan muda mempelajari daripada pengalaman lama, di samping membina sebuah negara sehingga menjadi sebuah negara multiracial terbilang pada masa kini.

Oleh itu, secara hakikatnya, agen sosialisasi formal utama adalah melalui pendidikan sama ada di peringkat sekolah mahupun pendidikan tinggi. Bagaimanapun, ilmu literasi politik juga boleh dihidupkan melalui institusi kekeluargaan, pengaruh rakan sebaya, media dan para pemerintah.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan sosialisasi? Proses sosialisasi bermaksud penerapan budaya politik termasuklah norma, sikap, dan tingkah laku yang diterima dalam sistem politik. Oleh itu, proses sosialisasi politik berperanan penting dalam membentuk dan mengembangkan sikap, nilai-nilai, serta kepercayaan terhadap sistem politik dan pemerintahan yang ada. Hal ini turut signifikan dalam memperkukuhkan taat setia masyarakat terhadap pemimpin dan pemerintah yang berkuasa.

Makanya, pendedahan terhadap politik kepada generasi muda sangat penting untuk memastikan bahawa mereka ambil peduli dan sedar akan hal-hal yang terjadi di dalam negara, bahkan merekalah yang akan menjadi pemimpin dan bakal mentadbir negara pada masa hadapan.

Justeru, proses sosialisasi politik melalui penggunaan teknologi juga merupakan usaha yang turut diberi perhatian oleh media dalam negara untuk memupuk pendidikan politik bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terutamanya golongan muda tentang sistem demokrasi, sistem pemerintahan negara, dan proses pilihan raya yang dilaksanakan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

                                                                                                                                             
Dr. Marfunizah binti Ma'dan

Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Kerajaan, UUM

Izyan Izzati Zainuddin

Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM

Dr. Siti Nazuar Sailin

Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Pendidikan, UUM

Media Baharu