fb fb fb fb fb

Berita palsu “pengundi hantu” disalah guna, JPN tingkat perkhidmatan

(Foto hiasan)

SURAT PEMBACA

Dalam perkembangan arus teknologi digital yang semakin maju dewasa ini, segala maklumat boleh diperolehi dengan hanya satu klik sahaja sehingga longgokan maklumat boleh dipersoalkan kesahihannya, lebih-lebih lagi berita yang disalurkan menerusi media sosial.

Tidak terkecuali, isu kewarganegaraan yang disebarluaskan sehingga menjadi topik panas, lebih-lebih lagi ketika demam pilihan raya seperti sekarang.

Kita sedia maklum bahawa enam negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor, dan Negeri Sembilan bakal menghadapi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN ke-15) atau lazimnya disebut Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Nah! Tular di platform TikTok berkenaan ‘pengundi hantu’ mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bakal mempercepat proses permohonan kewarganegaraan berdasarkan keratan laporan akhbar-akhbar perdana.

Berita sensasi seperti ini sepatutnya dipastikan dahulu keabsahannya sama ada tarikh keluar laporan dan konteks sebenar berita. Hal ini demi mengelakkan salah faham dan syak wasangka masyarakat terhadap jabatan berkaitan seperti JPN.

Menurut media rasmi JPN, sebenarnya berita tersebut telah pun diterbitkan sebelum tarikh pilihan raya diumumkan lagi. Malah, konteks kandungan berita itu juga tiada kena mengena dengan pilihan raya sebaliknya memfokuskan usaha JPN untuk menambah baik perkhidmatannya kepada masyarakat.

Namun, disebabkan segelintir pihak yang laparkan populariti dan dahagakan perhatian di akaun media sosial, mereka sanggup mencari dan mengeluarkan semula keratan-keratan akhbar yang boleh menimbulkan kontroversi, bahkan perpecahan dalam masyarakat tanpa memikirkan implikasi jangka masa panjang.

Perkara yang lebih mengecewakan ialah, kebanyakan netizen hari ini lebih tertarik membaca tajuk utama sahaja berbanding keseluruhan berita, lalu terus berkongsi kepada orang lain.

Masyarakat sering diingatkan untuk merujuk kenyataan rasmi badan-badan kerajaan dan semak dahulu sumber berita sebelum menyebarkan kepada pihak lain bagi mengelakkan tersebarnya berita-berita palsu di mana-mana platform, sehinggakan pihak kerajaan juga turut memperkenalkan sebuah portal Sebenarnya.my bagi mengekang isu seperti ini.

Menelusuri sejarah kewarganegaraan

Sejarah rekod warganegara bermula sejak tahun 1948, tatkala sistem pendaftaran kebangsaan dan penggunaan kad pengenalan bawah peruntukan Undang-undang Darurat Persekutuan Tanah Melayu mula diperkenalkan bagi meredakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang semakin mengganas di seluruh negara pada masa itu.

Kad pengenalan tersebut juga dikenali sebagai ‘kad beras’ dan diberikan kepada semua penduduk Tanah Melayu yang berusia 12 tahun dan ke atas bagi membezakan warganegara dengan komunis.

Kad ini juga digunakan untuk mengambil beras ketika catuan makanan pada zaman darurat itu dilaksanakan. Hal ini kerana, hanya penduduk yang memiliki kad beras ini sahaja layak menerima beras. Malah, penggunaan kad pengenalan ini berkekalan hingga tahun 1960.

Sejajar dengan perkembangan masa, kad pengenalan ini terus menjadi identiti warganegara Malaysia, bahkan mengalami evolusi dan penambahbaikan hingga tahun 2012 dari segi bentuk, kualiti dan penggunaannya.

Pada hari ini, kad pengenalan bagi warganegara Malaysia dikenali sebagai MyKad dan memiliki fungsi pintar seperti Touch n Go yang membolehkan pemilik kad melakukan transaksi tanpa tunai.

Kewarganegaraan anugerah tertinggi kerajaan

Status kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan kepada seseorang individu yang bukan warganegara. Sehubungan itu, status warganegara bukanlah perkara yang boleh diberikan kepada sesiapa sahaja dengan mudah! Setiap bayi yang dilahirkan di Malaysia memang akan direkodkan, namun rekod tersebut tidak menjadikan bayi itu sebagai warganegara secara automatik.

Di Malaysia, setiap individu yang berhasrat untuk menjadi warganegara perlulah memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang merupakan agensi kerajaan bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pemohon perlulah mematuhi syarat-syarat diperuntukkan sebelum membuat permohonan warganegara. Status kewarganegaraan ini boleh diberikan kepada pemohon melalui tiga kaedah iaitu penguakuatkuasaan undang-undang, pendaftaran dan penaturalisasian yang diperuntukkan bawah Perlembagaan Persekutuan Bahagian III.

Setiap permohonan akan melalui tapisan yang sangat teliti dan keputusan permohonan adalah tertakluk kepada pertimbangan kerajaan secara total. Jadi, walaupun pemohon memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan, itu bukanlah jaminan kepada kelulusan permohonan.

Tetapi, jika permohonan seseorang itu ditolak, mereka masih boleh mengemukakan permohonan rayuan untuk dipertimbangkan semula oleh pendaftar.


(Anggota Polis bantuan dan pegawai JPN mengawal kemasukan orang ramai ke kaunter
akibat penyebaran berita palsu mengenai program pemberian taraf warganegara
kepada warga asing di Menara JPN pada 22 Julai 2016/Fail BERNAMA)

Tiga kaedah kewarganegaraan

JPN ditubuhkan untuk merekod segala peristiwa penting bagi setiap individu di Malaysia rentetan daripada peristiwa zaman darurat dahulu. Perkhidmatan utama yang ditawarkan dalam jabatan ini termasuklah pendaftaran kewarganegaraan, kelahiran, anak angkat, kematian, kad pengenalan, dan perkahwinan bagi pasangan bukan Islam.

Umum mengetahui, tiga kaedah untuk memperoleh kewarganegaraan di Malaysia adalah melalui penguatkuasaan undang-undang, pendaftaran dan penaturalisasian. Kaedah-kaedah ini adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Bahagian III bermula dari Perkara 14 hingga Perkara 19.

Secara ringkasnya, individu yang dilahirkan di Malaysia berdasarkan taraf kewarganegaraan ibu atau bapa adalah warganegara melalui penguatkuasaan undang-undang.

Selain itu, kewarganegaraan secara penguatkuasaan undang-undang ini juga terpakai kepada individu yang lahir di luar negara dengan mengikut status kewarganegaraan salah seorang ibu atau bapanya.

Bagi kewarganegaraan melalui kaedah pendaftaran pula, terdapat empat kategori pemohon yang layak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Kategori pertama ialah Perkara 15A, iaitu kanak-kanak di bawah umur 21 tahun dalam keadaan khas.

Kategori kedua pula ialah Perkara 15(1), iaitu permohonan isteri kepada warganegara dengan syarat perkahwinan tersebut masih berterusan dan telah didaftarkan mengikut undang-undang di Malaysia, pemohon telah pun bermastautin di Malaysia lebih dari dua tahun sebelum tarikh permohonan dan berniat untuk menjadi warganegara Malaysia serta berkelakuan baik.

Sementara itu, untuk kategori ketiga, Perkara 15(2) menjelaskan tentang permohonan kewarganegaraan bagi anak kepada salah seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia dan berumur di bawah 21 tahun,

Akhir sekali, bagi kategori keempat iaitu Perkara 16 adalah permohonan kewarganegaraan oleh seseorang yang berusia 18 tahun ke atas dan dilahirkan dalam Persekutuan sebelum Hari Merdeka.

Seterusnya, kewarganegaraan melalui kaedah penaturalisasian. Kaedah ini terbahagi kepada dua perkara iaitu Perkara 19(1) dan Perkara 19(2). Perkara 19(1) adalah permohonan bagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas dan bermastautin dalam Persekutuan.

Bagi Perkara 19(2) pula, permohonan ini adalah untuk mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas serta dalam keadaan khas.

Tuntasnya, berdasarkan kaedah-kaedah yang telah diperuntukkan dalam Pelembagaan Persekutuan, proses memperoleh kewarganegaraan bukanlah perkara yang mudah dan pastinya tidak boleh diberikan kepada mana-mana individu sesuka hati.

Proses ini kompleks dan mengambil masa yang agak panjang untuk diteliti sebelum keputusan dimuktamadkan. Jangan biarkan berita palsu seperti isu kewarganegaraan yang tular ini menjadi ‘content’ hangat di media sosial semata-mata kerana ‘likes’ dan ‘followers’ sedangkan perolehan kewarganegaraan adalah sesuatu yang amat berharga dan anugerah tertinggi kerajaan kepada pemohonnya.

NAZIHAH IBNI HAJAR, PUTRAJAYA.

Media Baharu