fb fb fb fb fb

Pilihan raya: Antara titah Tuanku, perlembagaan & melestari kesejahteraan negara

(Foto hiasan)

SAUDARA PENGARANG

Beberapa hari sahaja lagi, kita akan menyaksikan kerancakan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN ke-15) melibatkan enam buah negeri serta Pilihan Raya Kecil (PRK) sekali gus meraikan penyertaan individu dan parti-parti politik bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Keputusan pilihan raya itu yang ditunggu-tunggu akan muncul dan membuka lembaran sejarah dunia politik negara dengan penyertaan lebih ramai pengundi baharu; pertama kali mengundi pada piliham raya kali ini.

PRU DUN Ke-15 dan dua PRK iaitu di Kuala Terengganu dan Pulai pada kali ini disifatkan unik kerana tatkala negara dibelenggu dengan kemelut ekonomi dunia dan terkesan di negara ini serta pada masa sama politik negara dihambat pula dengan  pelbagai isu san sentimen "panas" dan "sensitif" yang selalu “didendangkan” sama ada dalam media sosial mahu pun pentas ceramah politik.

Puncanya dikatakan bermula daripada perebutan pengaruh antara parti-parti politik yang bertanding untuk menarik minat bakal-bakal pengundi menjelang hari pengundian pada 12 Ogos nanti. Apa yang dibimbangkan ialah  meledaknya penularan sentimen-sentimen politik yang sebahagiannya adalah berita palsu ke seluruh negara menerusi media sosial mahupun kempen-kempen politik.

Matlamat untuk mencari pengaruh dalam kalangan bakal pengundi secara radikal ini sudah pasti akan menimbilkan kerisauan, kerimasan dan ketegangan dalam kalangan rakyat yang terpaksa menghadam sentimen-sentimen berita palsu.

Fenomena ini sebenarnya mengalihkan fokus sebahagian besar rakyat kita yang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup seharian apabila penyebaran berita-berita palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini  akan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat, khususnya jika isu -isu dibangkitkan melibatkan kesejahteraan dan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

Lantaran itu penyebaran isu-isu 3R yang dipantau kerajaan, melibatkan sentuhan isu kedaulatan Diraja, isu perkauman, sanggah dan fitnah yang meluas di media sosial harus dihentikan dengan segera bagi mengelak sebarang insiden buruk yang boleh mencacatkan keharmonian keselamatan dan perpaduan masyarakat pada hari ini.

Dalam hal ini, penyertaan Kerajaan menerusi PDRM memberikan suatu perspektif berbeza dalam menyelesaikan masalah ini. Tindakan tegas undang-undang berkaitan dengan jenayah penyebaran berita palsu dikuatkuasakan bagi memelihara kedaulatan Diraja dan memerangi anarki-anarki yang boleh memporak-perandakan keamanan negara.

Dalam konteks ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah mengingatkan semua parti politik untuk tidak membangkitkan sentimen-sentimen dan provokasi negatif yang boleh menganggu keharmonian masyarakat di negara ini.

Usaha tegas dan berterusan dalam memerangi gejala penyebaran berita palsu, khususnya menjelang pilihan raya boleh dianggap sebagai penyelesaian utama kepada permasalahan ini. Namun sedikit sebanyak akan memberi impak terhadap penyalahgunaan kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat negara ini.

Justeru, ini bukan waktu terbaik untuk semua pihak merelakan perebutan kuasa politik dalam kancah penularan berita palsu tatkala kempen pilihan raya berlangsung sehingga ke hari pengundian.


(Sebahagian anggota polis selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal

di pusat mengundi Dewan D' Cerana IPK Selangor, Shah Alam/Foto RTM)

Pemeliharaan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebenarnya  boleh disignifikasikan sebagai satu hak dan ruang yang boleh dikongsikan oleh semua pihak untuk menjana kekuatan negara; memasang strategi memulihkan kemelut sosioekonomi yang membelenggu rakyat dan industri pada hari ini.

Perebutan kuasa, pertelingkahan politik tanpa ada kesudahan sudah pasti akan menjejaskan nilai pelaburan asing di negara ini serta menganggu perancangan hala tuju negara untuk menghadapi kesan gelombang kemelut ekonomi dunia hari ini.

Sudah tiba masanya, rakyat tidak mahu lagi terbeban dengan kemelut politik, sebaliknya para pemimpin parti politik perlu berganding bahu mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan isu-isu kritikal masyarakat yang terkesan teruk akibat kemelut ekonomi dunia.

Ia sejajar dengan gesaan Seri Paduka Baginda yang menzahirkan nasihat kepada semua rakyat, supaya memberi kerjasama menyokong dan menyeru kerajaan serta pembangkang berganding bahu dalam menyelesaikan masalah rakyat dalam suasana aman tenteram.

Rakyat mahukan pembelaan dan pemeliharaan dari segi sosioekonomi mereka; bagaimana mereka akan meneruskan kelangsungan hidup, bukannya memperjudikan nasib mereka atas senario politik tidak menentu pada masa sekarang.

Bertepatan dengan prinsip Rukun Negara yang berteraskan kepada keluhuran perlembagaan dan pemeliharaan semangat perpaduan nasional, adalah sangat signifikan untuk melestarikan penyatuan kerjasama politik yang mampu menjelmakan keamanan dan perpaduan nasional serta membelakangkan sengketa politik demi masa depan rakyat dan negara ini.

Jika dilihat apa yang berlaku di beberapa buah negara di Asia dan Asia Barat, kegagalan mencapai persepakatan antara kerajaan dengan rakyat telah mengakibatkan keadaan huru-hara, mencetuskan implikasi buruk terhadap strategi pemulihan keamanan di negara-negara tersebut.

Perlu diingatkan juga, rakyat tidak harus mudah terpengaruh dengan pelbagai provokasi negatif, penularan berita-berita palsu yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan mereka yang 'menangguk air keruh' untuk menimbulkan kontroversi dan konfrantasi.

Anasir-anasir ini berusaha mengheret institusi raja berpelembagaan di negara ini untuk menimbulkan keraguan rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan melestarikan perpaduan nasional dan memacu strategi untuk memulihkan ekonomi negara kita.

Sudah pasti rangkaian pelaksanaan PRU DUN Ke-15 dan PRK kali ini dilihat sebagai satu ujian kritikal penyatuan agenda nasional untuk menggabungkan semua fokus usaha bagi membasmi penularan berita palsu, juga penyalahgunaan sentimen 3R.

Bertepatan dengan masanya; hasrat kerajaan untuk menyalurkan citra kesejahteraan dan kemakmuran negara, seperti disarankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa perbezaan dan polemik politik dalam kalangan semua parti harus diketepikan bagi memberi laluan kepada penumpuan strategi memulihkan ekonomi negara.

Sudah pasti juga sebarang konflik dalam politik negara tidak mempengaruhi strategi pemulihan ekonomi, keselamatan, kesihatan dan keamanan rakyat serta kemakmuran negara yang kita cintai ini.

Diharapkan semua pihak termasuk ahli-ahli politik tidak mengambil kesempatan daripada nasihat Seri Paduka Baginda untuk memastikan kelancaran perjalanan PRU DUN ke-15 dan PRK kali ini, sekali gus dapat menjalin kesepakatan serta kerjasama di antara semua parti politik sebagai meraikan amalan demokrasi negara.

Hakikatnya keadaan seperti ini pasti akan menjelmakan satu persepsi positif dalam kalangan rakyat; menunjukkan bahawa dalam kemelut nasional dihadapi kerajaan dan negara hari ini, kepentingan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dan negara menjadi keutamaan, juga teras untuk memulihkan sektor ekonomi dan masalah sosial masyarakat di negara ini.

PENULIS, TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF merupakan Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu