fb fb fb fb fb

Perkasa amalan kenegaraan pengundi muda

(FOTO HIASAN)

SAUDARA PENGARANG

Penetapan kerajaan menurunkan minimum tahap usia pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun di negara ini boleh disifatkan sebagai suatu tindakan yang bijak, berani dan mencabar.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh menguji golongan belia untuk mencabar diri menjadi warga negara yang bersedia menunaikan peranan mereka memilih pemerintah dengan berbekalkan rasa tanggungjawab dan bijak menafsir peradaban budaya politik di negara ini.

Dalam erti kata lain, remaja kita akan mengalami cabaran menilai kematangan diri apabila golongan muda ini terlibat secara langsung dalam arena politik dengan lebih terbuka.

Kalau dibandingkan dengan negara-negara lain seperti di Eropah,Amerika Latin dan Timur Tengah, tahap usia minimum remaja mengundi kebanyakannya dari umur 16 tahun. Malah beberapa buah negara seperti di Argentina, Austria, Brazil, Cuba, Ecuador, Nicaragua sudah pun mengamalkan tahap usia minimum pengundi ke paras 16 tahun.

Bagaimanapun, dalam konteks kebanyakan negara-negara Asia, penetapan usia remaja 18 tahun mengundi masih menjadi polemik dan menjadi bahan perdebatan dalam dasar pemerintahan sesebuah negara.

Di Malaysia, jumlah penduduk berusia diantara 18 hingga 39 tahun pada 2022 adalah seramai 10.6 juta orang dan lebih kurang 1.4 juta daripada pengundi berusia 18-21 tahun pertama kali mengundi pada PRU15 lalu.

(FOTO HIASAN)

Angka realistik ini menunjukkan betapa golongan remaja sangat penting dan berperanan sebagai penentu undi pada setiap pilihan raya yang diadakan.

Sudah pasti penetapan pengurangan ketetapan usia mengundi ini mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif dalam kalangan masyarakat.

Golongan pengundi muda yang rata-ratanya terdiri daripada generasi X, Y dan Z adalah merupakan golongan komuniti yang sentiasa dahagakan pembaharuan, reformasi kehidupan dan kebebasan bersuara.

Kebanyakan daripada suara-suara mereka diterjemahkan dalam saluran media-media sosial yang merupakan platform asas keterbukaan minda mereka hari ini.

Sejauh manakah anak-anak muda atau para pengundi muda ini dapat meraikan kebebasan mereka mengemukakan pandangan dan menyampaikan maklumat berkesan mengikut cita rasa, pegangan dan prinsip mereka selaras dengan kemajuan sains dan teknologi media hari ini?

Beberapa aspek yang perlu diperhatikan oleh kerajaan selepas melaksanakan dasar penetapan umur mengundi tersebut, termasuklah;

1. Menguji dan menilai tahap kematangan remaja kita. Tahap kematangan remaja kita boleh dipersoalkan. Ini kerana mereka terbatas kepada kandungan media sosial dan sangat bergantung kepada kuasa media tersebut untuk menyebar dan mempengaruhi pemikiran mereka menerusi lambakan maklumat yang boleh mengancam peradaban budaya mereka.

Banyak kajian membuktikan bahawa kebergantungan kepada media sosial boleh memberi implikasi negatif kerana mereka seakan tidak berpijak di dunia realti dan hanya menerima apa sahaja kandungan, terutama berkaitan dengan hal ehwal politik negara yang boleh dimanipulasilan oleh pihak-pihak tertentu untuk mempropagandakan isu.

2. Kematangan remaja dalam hal ini juga agak subjektif kerana usia sedemikian,remaja masih mencari-cari identiti mereka dan lebih terdorong kepada sifat-sifat emosi yang membolehkan mereka berfikir dan membuat keputusan. Dikhuatiri sekiranya mereka terpengaruh dengan dakyah-dakyah isu yang dihadapkan kepada mereka, maka mereka boleh terkeliru dengan keputusan yang bakal mereka ambil.

3. Pada peringkat usia sebegini juga, remaja harus terdedah dengan ilmu keorganisasian, berpersatuan,mengenali sifat parti-parti politik sebagai satu kaedah mereka mematangkan fikiran mereka sebelum membuat keputusan mengundi atau memilih kerajaan memerintah.

Justeru itu, bagi menambah baik masalah-masalah tersebut, ada beberapa langkah yang boleh diambil oleh kerajaan dalam menangani hal ini, diantaranya;

a. Reformasi pendidikan harus dilaksanakan sejak peringkat bangku sekolah lagi. Subjek kenegaraan, sejarah Malaysia, perihal dasar-dasar negara, masyarakat negara ini perlu perlu dijadikan subjek teras dalam kurikulum pendidikan negara. Para pelajar harus dibimbing supaya mereka mempunyai cukup ilmu pengetahuan dan kefahaman menyeluruh berkaitan dengan hal-hal dan isu kenegaraan.

b. Langkah Kerajaan mencadangkan penubuhan "Sekolah Pemimpin Masa Depan" (Malaysia Future Leaders School) menggantikan program PLKN suatu ketika dahulu merupakan satu langkah tepat bagi mendidik warga belia muda ini memupuk dan mengembangkan ilmu kepengurusan dan semangat patriotistme dalam kalangan mereka,terutamanya berhubung dengan hal-hal kenegaraan semasa.Namun begitu sehingga hari ini belum lagi cadangan tersebut dijelmakan ke peringkat pelaksanaannya.

Mungkin ada baiknya sekiranya kerajaan mengaturkan suatu program komprehensif untuk belia dan remaja lepasan sekolah bagi memberikan pendedahan mereka terhadap dasar-dasar kenegaraan dengan kaedah pendidikan yang lebih kreatif, inovatif dan menyeronokkan.

Program-program seperti "summer camp" yang bersifat jangka pendek boleh diperkenalkan secara meluas kepada anak-anak muda menerusi pemanfaatan kursus-kursus pembelajaran AI seperti "e-games" yang dibina untuk menguji tahap patriotik anak-anak muda, semangat kesetiaan dan kekitaan serta memupuk hubungan persaudaraan antara kaum dengan lebih aktab dan menyakinkan.

c. Disyorkan organisasi-organisasi belia seperti Majlis Belia dan persatuan-persatuan belia dapat mengembangkan usaha untuk mendidik dan memimpin golongan remaja dalam hal-hal kenegaraan dengan lebih menyeluruh seperti mengadakan kempen-kempen pendidikan kenegaraan terancang dan aktiviti-aktiviti yang boleh membina semangat patriotisme dalam kalangan golongan ini.

d. Mengembang dan memperkasa peranan remaja dalam soal-soal kemasyarakatan dan kesukarelawanan komuniti sejak bangku sekolah supaya mereka dapat memahami keperluan masyarakat setempat dan kepentingan perjuangan politik negara.

Oleh yang demikian, menjadi suatu cabaran buat Kerajaan untuk memastikan bahawa risiko yang akan dihadapi untuk membolehkan remaja kita seusia 18 tahun dipertanggungjawabkan untuk memilih kerajaan nanti akan dapat ditangani dengan bijaksana.

Sampai masanya nanti remaja kita bersedia untuk menggalas peranan dan amanah menjadi pengundi yang jujur dan memahami serta menyakini pilihan yang bakal mereka terjemahkan di peti-peti undi di kemudian hari.

PENULIS, TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF merupakan Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu