(Foto hiasan/FB Anwar Ibrahim)
ULASAN BERITA
'Kuat berdiri pohon kerana akar, kuat akarnya kerana tanah'. Bermaksud, teguh sesebuah kerajaan itu adalah kerana kuatnya dokongan dan sokongan rakyat.
Begitulah adatnya bernegara, jika hebat rakyat, maka hebat jugalah kepimpinan negara. Apakan tidak, pemimpin yang diangkat asalnya daripada golongan rakyat juga.
Pun begitu, bukan mudah menjadi kerajaan yang mentadbir. Pelbagai cabaran perlu dihadapi. Kecaman dan kritikan, perlu masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Yang baik diambil, yang tidak, jadikan sempadan.
Bukan mudah untuk memuaskan hati segenap lapisan masyarakat. Yang penting, dasar dan hala tuju negara jelas, demi rakyat dan kemajuan negara. Bagaimanapun, semua itu tidak dapat direalisasi tanpa mandat penuh daripada rakyat yang bersatu padu.
Golongan muda terutamanya, pengguna tegar teknologi gajet terkini, terdedah dengan pelbagai maklumat. Hanya dengan satu sentuhan, segalanya terpampang di hadapan mata. Timbang dengan penuh bijaksana maklumat yang terhidang, usah mudah dipancing emosi.
Pelbagai inisiatif ketika ini sedang dan akan dilaksana kerajaan. Tumpuan utama pastilah mengembangkan ekonomi negara demi memulihkan poket orang ramai.
Kerajaan maklum, kadar gaji yang masih rendah benar-benar mengesankan, terutama golongan muda. Perkara itu didedahkan menerusi Laporan Survei Gaji dan Upah 2021. Hampir separuh pekerja golongan belia menerima kadar gaji kurang RM2,250 sebulan.
Golongan itu, khususnya lepasan universiti atau mana-mana institusi pengajian tinggi berhak menerima imbalan upah yang selayaknya. Jika tiada sebarang tindakan diambil, dibimbangi ia akan menimbulkan pelbagai masalah sosial.
Untuk itu, kerajaan perkenal pelbagai inisiatif khas, memfokus kepada pengembangan ekonomi. Sasaran pastilah golongan marhaen, terutama mereka yang terjejas, sejak menularnya virus COVID-19.
Apatah lagi, dengan kelembapan ekonomi dunia akibat krisis politik antarabangsa dan ketegangan hubungan diplomatik antara negara-negara kuasa besar dunia.
Itu belum lagi kesan domino terhadap bekalan makanan dunia akibat peperangan yang tercetus antara Rusia-Ukraine. Usaha-usaha mengembangkan ekonomi negara sedang dilaksana.
Peluncuran Ekonomi Madani, bukti kerajaan bersungguh-sungguh mahu memperkasakan rakyat. Cuma, untuk melihat hasilnya nanti pasti memakan masa. Untuk itu bersabarlah dahulu.
Dasar-dasar seperti mengangkat martabat Malaysia sebagai peneraju utama Asia memerlukan jangka masa dan kerja keras berterusan.
Bak kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya, tiada jalan pintas. Limpahan kejayaan pasti akan dikecapi rakyat juga akhirnya.
(Foto hiasan/FB Anwar Ibrahim)
Terdapat tujuh tanda aras Ekonomi Madani, sasaran jangka sederhana, perlu dicapai sebelum 10 tahun. Antaranya, Malaysia perlu berada di kedudukan ke 30 negara yang memiliki ekonomi terbesar dunia dan tempat ke-12 teratas bagi Indeks Daya Saing Global.
Selain itu, peratusan pendapatan buruh kini disasar mencapai 45% daripada keseluruhan pendapatan. Dengan... penyertaan golongan wanita dalam sektor sama mencapai 60%.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekad mahu menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga. Namun ramai yang meragukannya, mengapa? Usaha itu tidak mustahil dicapai jika segala tadbir urus negara berjalan lancar tanpa ada sebarang gangguan.
Terbaharu, kerajaan bersetuju penggunaan kad debit dan kredit digunakan bagi jalan bertol. Ia tampak biasa, namun dilihat memudahkan pengguna jalan raya, benar-benar mahu meringankan tekanan kehidupan dihadapi masyarakat.
Bantuan RM100 yang akan dikreditkan terus ke akaun rakyat berpendapatan RM100,000 setahun sedikit sebanyak diharap dapat meringankan beban. Benar, ia bukan amaun yang besar, sekurang-kurangnya bantuan tersebut merupakan permulaan kerajaan mengusahakan lebih banyak bantuan secara terus kepada golongan sasar.
Apa yang pasti, pelbagai inisiatif ekonomi yang diusahakan kini bukan mudah untuk dilaksana. Tambahan, ketika kantung kewangan negara baharu hendak terisi.
Oleh demikian, di pihak rakyat, amalan berjimat cermat perlu terus diterap dalam kehidupan seharian. Berbelanja mengikut poket, beli barangan yang perlu terlebih dahulu. Ukur baju di badan sendiri, jika ada lebih, menyimpanlah.
Di sebalik segala kesulitan yang dihadapi ketika ini, pasti akan berakhir dengan kejayaan dan kebahagiaan di masa hadapan.
Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad, Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.