fb fb fb fb fb

Premis makanan dan pelanggan harus peka dengan status halal

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Isu mengenai ketiadaan persijilan halal di beberapa premis makanan melibatkan sistem rangkaian (francais) terkemuka negara telah mengejutkan pelbagai pihak, terutama sekali dalam kalangan pelanggan beragama Islam yang pernah mengunjungi premis makanan tersebut. Ketiadaan persijilan halal ini akan mengakibatkan timbulnya keraguan dan hilang keyakinan untuk mengunjungi premis makanan tersebut. Namun, isu syarikat premis makanan yang gagal mendapatkan sijil halal bukanlah suatu isu baharu, malahan masih berlaku dalam kalangan syarikat pengeluar produk makanan tempatan.

Sebagai negara yang dihuni masyarakat berbilang kaum dan kaya dengan pelbagai juadah hidangan atau menu makanan, tentunya syarikat premis makanan akan mengambil peluang untuk menyediakan dan menjual makanan kepada pelanggan dengan menu atau produk makanan yang sesuai untuk dimakan oleh semua pelanggan, termasuk yang beragama Islam.

Malahan, premis makanan dari sistem rangkaian francais popular ini membawa imej penjenamaan (branding) di mata pelanggan yang membuatkan pelanggan beranggapan bahawa makanan yang disediakan sudah tentu telah mendapat pengiktirafan halal, walaupun persepsi itu tenyata meleset. Jangan semudah itu; hanya dengan menilai imej penjenamaan memberi makna bahawa ke semua makanan dari premis makanan sistem rangkaian francais telah diiktiraf status halalnya.

Hakikatnya, untuk mendapatkan persijilan halal, syarikat perlu mematuhi segala undang-undang dan akta halal termasuk garis panduan penyediaan makanan halal seperti ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM. Garis panduan makanan halal ini termasuk pembelian sumber bahan mentah daripada pembekal yang diiktiraf halal, kaedah penyediaan dan pengendalian makanan, merekrut pekerja yang mengikuti garis panduan halal serta diberi kursus dan latihan halal.

Proses mendapatkan persijilan halal itu bukan suatu proses mudah, malahan ia memerlukan tanggungjawab dan komitmen yang tinggi daripada pihak pengurusan syarikat premis makanan. Selain itu, syarikat juga perlu memperuntukkan sejumlah kos yang harus ditanggung dalam proses mendapatkan sijil halal. Justeru, tidak hairan sekiranya ada syarikat atau pemilik premis makanan tidak mengambil berat dalam isu mendapatkan persijilan halal ini.

Harus difahami bahawa majoriti perniagaan dalam sektor makanan adalah dipelopori oleh peniaga bukan beragama Islam, rata-ratanya mengamalkan perniagaan berdasarkan keperluan ekonomi dan keuntungan semata-mata, tanpa memikirkan implikasi dan kesan terhadap masyarakat serta pelanggan beragama Islam khususnya.

Dalam konteks halal, ia memerlukan kefahaman terhadap konsep halal itu sendiri dan tujuan pelaksanaan untuk memenuhi tuntutan agama bagi pelanggan atau pengguna beragama Islam. Merujuk satu kajian, mendapati bahawa pengetahuan dan sikap terhadap pematuhan piawaian halal memainkan peranan penting dalam mempengaruhi syarikat terhadap pematuhan piawaian halal dalam sektor makanan, seterusnya menyumbang ke arah peningkatan prestasi organisasi tersebut.

Bagaimanapun, pihak berkuasa sijil halal seperti JAKIM juga memainkan peranan penting dalam memastikan seterusnya memantau premis makanan bawah sistem rangkaian (francais) dengan menggalakkan premis makanan mendapatkan persijilan halal. Pada masa sama perlu sentiasa mengemas kini status halal selepas tamat tempoh.

Ini kerana ramai pengunjung restoran dan premis makanan kalangan pelanggan beragama Islam sering beranggapan bahawa semua premis makanan dalam senarai sistem rangkaian (francais) menyajikan makanan yang boleh dimakan oleh pelanggan, hanya disebabkan penjenamaan premis makanan tersebut. Selain itu, pengambilan pekerja restoran beragama Islam, menambahkan lagi keyakinan para pelanggan bahawa premis makanan sistem rangkaian itu telah mendapat pengiktirafan halal oleh JAKIM.

Tanpa sijil halal, meskipun bahan mentah dibekalkan oleh pembekal yang diiktiraf halal, ia masih belum dapat memberi jaminan bahawa kualiti makanan yang disediakan adalah disahkan dan diiktiraf halal. Peniaga premis makanan seharusnya tidak mengambil jalan mudah dan bersikap tidak acuh dalam mendapatkan persijilan halal memandangkan ramai pelanggan terdiri dalam kalangan pelangan beragama Islam.

Di zaman penuh kompetitif ini, seharusnya pihak premis makanan perlu lebih peka terhadap kepentingan memperoleh persijilan halal dalam meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan di samping meningkatkan kualiti makanan dan servis pelanggan.

Dalam Islam, sebenarnya tiada halangan untuk menjalankan perniagaan demi mencapai keuntungan yang disasarkan. Namun, ia harus dijalankan dengan amalan perniagaan beretika tanpa mengetepikan nilai kemanusiaan dan meletakkan risiko serta impak kepada pihak ketiga.

Walaupun memperoleh sijil halal adalah bersifat sukarela, amalan perniagaan yang mengikut garis panduan halal adalah lebih didorong oleh faktor ekonomi, nilai dan prestasi kewangan yang memberangsangkan. Namun, harus difahami bahawa menjalankan perniagaan halal juga adalah tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, yang memenuhi gabungan aspek ekonomi, undang-undang dan etika.

Antara langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan kesedaran dalam isu status halal adalah peranan penting oleh pihak pelanggan sendiri. Dalam era kemajuan teknologi dan digital ini, seharusnya pelanggan lebih peka terhadap status halal premis makanan dengan membuat semakan status halal melalui portal JAKIM terlebih dahulu sebelum mengunjungi mana-mana premis makanan.

Manakala dari perspektif pengusaha premis makanan, sokongan kuat dan rasa tanggungjawab daripada pihak pengurusan selain mengamalkan tadbir urus halal yang baik dalam mendapatkan persijilan halal adalah sangat dititikberatkan. Tindakan ini adalah sangat wajar dan penting dalam menjaga peradaban dalam perniagaan, sebagai simbol solidariti dan rasa hormat terhadap sesama masyarakat. Ini seterusnya menyokong aspirasi dan hasrat kerajaan dalam memperkasakan rakyat sejajar aspirasi Ekonomi Madani dan Pelan Induk Industri Halal 2030 dalam meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi melalui industri halal.

PENULIS JULIANA ANIS RAMLI, Pensyarah Kanan, UNITEN Business School Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI