fb fb fb fb fb

Menanggapi permasalahan kehidupan dari kaca mata Islam

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Pernahkah anda ditanya soalan ini: Gelas itu separuh penuh atau separuh kosong? Apakah jawapan anda?

Kedua-dua jawapan yang diberikan menggambarkan cara fikir seseorang terhadap sesuatu isu. Dalam konteks soalan ini, ia menggambarkan bagaimana seseorang melihat, memerhati, dan menanggapi makna di sebalik penuh atau kosongnya air di dalam gelas tersebut. Situasi ini boleh dikiaskan dengan pelbagai keadaan, pilihan, dan permasalahan harian kita.

Dalam usaha menjawabnya, beberapa kefahaman penting perlu diluruskan terlebih dahulu.

Kepentingan persoalan ini

Mereka yang optimis sentiasa akan melihat gelas tersebut separuh penuh. Ini adalah kerana kecenderungan semulajadi yang mereka telah bina melalui pengalaman, ilmu, dan pergaulan mereka menjadikan mereka sentiasa positif dan sentiasa menjadikan mereka menanggapi sisi kebaikan di sebalik sesuatu yang berlaku.

Sebaliknya, mereka yang pesimis akan melihat gelas tersebut separuh kosong. Mereka sentiasa melihat kekurangan, ketidak-cukupan dan permasalahan yang berlaku dengan sudut pandang yang negatif. Sifat semulajadi mereka dan kecenderungan yang telah mereka bina menjadikan mereka tidak melihat kebaikan di sebalik sesuatu bahkan lebih cenderung menilai sudut negatif dari perkara tersebut.

Petunjuk Islam dalam isu ini

Islam adalah agama rahmah yang penuh keadilan. Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-Nya walaupun sebesar zarah sebagaimana yang telah ditekankan melalui firman-Nya dalam Surah an-Nisa’ ayat 40:

“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.”

Bahkan yang membuat kezaliman itu adalah diri kita sendiri. Ini jelas disebutkan di dalam Surah Yunus ayat 44:

“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.”

Islam juga telah meletakkan kehidupan dunia sebagai tempoh yang penuh ujian dan pancaroba. Setiap detik kehidupan kita, setiap sela nafas kita, merupakan sebuah ujian. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Anbiya’ ayat 35:

“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”

Setiap ujian, permasalahan, kesukaran dan segala bentuk kesusahan di dunia yang Allah SWT berikan kepada kita, adalah perjuangan yang perlu dilalui oleh semua manusia. Ada ketikanya kita akan merasakan seakan-akan dunia itu sudah berada di penghujungnya bagi kita, kerana dahsyatnya ujian dan permasalahan yang kita hadapi.

Ada kalanya pula kita akan merasakan dunia itu tidak akan pernah hilang dari genggaman kita, kerana bahagianya kita dengan apa yang sedang berlaku. Kuncinya terletak pada bagaimana kita menanggapi segala perkara yang terjadi kepada diri kita, sama ada secara optimis atau pesimis.

Nabi Muhammad SAW selalu menyebutkan sifat-sifat yang perlu kita tanam dalam diri kita sebagai seorang mukmin. Ia jelas menggambarkan sudut pandang Islam dalam menanggapi dan menghadapi sesebuah permasalahan di dalam kehidupan. Nabi SAW bersabda:

“Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Melalui hadis ini, dapat difahami bahawa Islam menyeru umatnya untuk sentiasa positif dalam menghadapi apa jua ujian, cabaran, permasalahan, kesukaran dan kesusahan yang ditimpanya dengan penuh kesabaran dan keinsafan.

Sentiasa berpegang dengan tali Allah dan jangan pernah berputus asa dari rahmat Allah, kerana Allah sentiasa bersama hambaNya yang beriman. Allah SWT berfirman di dalam Surah Yusuf ayat 87:

“...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.

Pengajaran persoalan ini

Setelah memahami petunjuk Islam dalam persoalan ini, maka seseorang mestilah sentiasa menapak pada asas yang betul, sentiasa menyelusuri jalan yang benar, dan sentiasa berpegang teguh dengan tali Allah SWT apabila menghadapi segala ujian dan permasalahan dalam kehidupan. Kita perlu sedar bahawa setiap ujian dan permasalahan yang menimpa seseorang merupakan satu langkah kita untuk mendekati syurga Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 214:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?

Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”

Ujian yang diberikan pula bukanlah untuk melemahkan kita, bahkan ia bertujuan menjadikan manusia itu lebih dekat dengan Allah SWT. Ingatlah, dengan setiap kesukaran, Allah SWT telah menyediakan jalan keluarnya. Allah berfirman dalam Surah al-Syarh ayat 5-6:

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

PENULIS MOHAMMAD BAIHAQI MD YUSNAN, Pensyarah di Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI