SAUDARA PENGARANG
Hakikatnya, ASEAN sebagai sebuah organisasi tidak banyak dikenali di luar Asia, tidak seperti Kesatuan Eropah (EU) yang dianggap sinonim dengan geopolitik global. Walaupun ASEAN mempunyai populasi seramai 680 juta, berbanding 450 juta penduduk EU, ASEAN masih kurang dikenali di persada antarabangsa.
Saiz ekonomi EU yang lima kali ganda lebih besar daripada ASEAN turut memainkan peranan penting dalam pengiktirafan antarabangsa. Namun, ASEAN sendiri memilih untuk tidak terlibat secara aktif di arena antarabangsa, selain keputusan yang perlu dibuat secara konsensus turut membataskan pergerakan ASEAN.
Negara pengerusi juga memainkan peranan penting dalam hala tuju ASEAN. Malaysia, sebagai negara kecil, sering menunjukkan ketegasan dalam geopolitik serantau mahupun global. Ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015, penglibatan ASEAN tidak begitu menyerlah kerana ketiadaan isu mendesak yang perlu ditangani. Deklarasi Langkawi dan Deklarasi Kuala Lumpur, sebagai contoh, hanya berkisar kepada usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
Namun, 2025 berbeza. Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, akan menghadapi pelbagai cabaran geopolitik, termasuk pertelingkahan di Laut China Selatan. Persetujuan Kod Tatacara (CoC) Laut China Selatan perlu dimuktamadkan, memandangkan pertelingkahan antara negara seperti China dan Filipina semakin kritikal. Beijing menolak penggunaan undang-undang antarabangsa seperti UNCLOS dalam isu ini, menjadikannya lebih rumit untuk diselesaikan.
Selain itu, Malaysia juga perlu memposisikan ASEAN dalam menghadapi persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat dan China, terutamanya dengan kewujudan kerjasama pertahanan AUKUS dan QUAD. Tugas Malaysia adalah untuk memastikan ASEAN kekal neutral walaupun terdapat kecenderungan beberapa negara ASEAN untuk berpihak kepada satu kuasa besar.
Isu Palestin juga memerlukan perhatian ASEAN. Walaupun isu ini jauh dari ASEAN secara geografi, kesannya terhadap kestabilan global turut mempengaruhi ekonomi rantau ini. Malaysia dijangka akan menggesa ASEAN untuk memainkan peranan lebih aktif dalam hal ini. Pada undi di Perhimpunan Agung PBB, semua negara ASEAN sepakat menyokong keahlian penuh Palestin dan menolak penjajahan Israel.
Begitu juga dengan isu Ukraine, walaupun ASEAN seakan-akan mengambil pendirian pasif, terdapat sokongan secara tersirat melalui undi di PBB. Tugas Malaysia sebagai pengerusi adalah untuk memastikan ASEAN lebih aktif dan sentral dalam membuat keputusan berkaitan isu global, demi memastikan organisasi ini tidak lagi dipandang sepi di peringkat antarabangsa.
PENULIS AZMI HASSAN, Felo Majlis Profesor Negara, Felo Kanan Akademi Kajian Strategik Nusantara (NASR).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.