(Foto Hiasan)
SAUDARA PENGARANG
Pengumuman Ekonomi Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini merupakan suatu strategi melestarikan hala tuju pembangunan ekonomi negara yang boleh dianggap komprehensif dan holistik.
Ia merupakan hasil daripada kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMke-12) yang mencerminkan peranan kerajaan melunaskan kebergantungan rakyat terhadap perkembangan ekonomi semasa bagi mengukur kemantapan kemajuan sosioekonomi dan pemerkasaan industri di negara ini.
Bermulalah era baharu mempamerkan perancangan konstruktif yang menguji cabaran menghadapi kemelut ekonomi yang rumit. Pelbagai insentif yang dijelmakan oleh Kerajaan Madani boleh disifatkan dapat melegakan pelbagai kelompok masyarakat yang menghadapi cabaran getir mengharungi kehidupan pasca pandemik COVID-19.
Banyak insentif yang merangsang pembangunan sara hidup masyarakat terutamanya di kawasan bandar, termasuk mempergiatkan lebih banyak peluang menjimatkan kos percukaian dan perbelanjaan harian, penggalakkan lebih banyak peluang perniagaan untuk SME dan peluang pekerjaan bagi graduan supaya dapat mengimbangi kos sara hidup dengan perkembangan ekonomi semasa.
Antara cabaran itu termasuk Dasar Perpaduan dan Dasar Sosial yang harus diteliti selaras dengan pendekatan kebersamaan diwarwarkan dalam pendekatan Kerajaan Madani ini.
(Dengan pemerhatian yang cekap dan berkesan, diharapkan mutu taraf
hidup komuniti B40 akan dapat ditingkatkan selari dengan perkembangan semasa)
Sehubungan dengan itu, pada penelitian saya, Dasar WKB 2030 harus diteliti semula supaya ia masih relevan dengan cabaran kerajaan menghadapi isu kegawatan ekonomi yang mengancam sosioekonomi negara.
Dalam hal ini, sasaran untuk meneruskan pencapaian Dasar Perpaduan dan Dasar Sosial ini harus bergantung kepada beberapa perkara yang mendorong kepada pencapaian dasar tersebut;
1. Memastikan penjanaan pendekatan berstrategik dapat membantu mengurangkan jurang pendapatan rakyat yang terjejas akibat pendemik, dengan memberi penekanan terhadap pemulihan sektor ekonomi dan industri supaya lebih banyak ruang pekerjaan dapat ditawarkan semua kepada rakyat. Hal ini penting bagi memastikan sektor industri tempatan dapat berkembang dengan baik apabila penawaran pekerjaan tempatan dapat membantu mengisi kekosongan pekerjaan, menggantikan pekerja upahan dari luar.
2. Memberikan lebih banyak ruang untuk sektor ekonomi mengembang dengan merancakkan lebih banyak rangsangan ekonomi domestik yang menjadi tunjang kepada pendapatan kerajaan semasa menghadapi krisis ekonomi ini dengan menyokong dan menggalakkan rakyat berbelanja produk tempatan dengan harga berpatutan.
3. Mengurangkan kerenah birokrasi pengurusan dalam pengagihan dana semua sektor bagi membolehkan pengagihan dana dapat diselaraskan dengan mekanisme yang tepat dan berkesan supaya tiada sasaran penerima dana akan tercicir.
4. Menggalakkan lebih banyak ruang ekonomi baharu wujud berasaskan teknologi digital bagi meningkatkan rangsangan inovasi pemasaran dan pelaburan baharu dan efektif, seterusnya merangsang lebih banyak ruang pekerjaan baharu berasaskan kepada teknologi digital yang boleh diterokai oleh lebih banyak orang.
5. Membangunkan mekanisme sistem sosial berteraskan kepada kurang kebergantungan rakyat terhadap kerajaan dan persekitaran mereka melalui rangsangan sosial yang boleh menjelmakan penjanaan sumber kendiri (independensi) yang mana rakyat akan memanfaatkan perolehan sumber secara optimum menggunakan teknologi yang murah tetapi dapat menjana pekerjaan dengan pantas dan memperoleh pendapatan yang lebih memberi manfaat terhadap sosioekonomi. Ini membolehkan mereka lebih bersedia pada masa hadapan untuk memelihara kehidupan mereka sekalipun mereka akan berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran akan datang.
Dalam hal ini, tatakelola dan mekanisme rangsangan peningkatan nilai tabungan rakyat harus dilaksanakan bagi membantu rakyat meneruskan kehidupan mereka lebih baik pada masa hadapan kelak.
Mekanisme ini bukan sahaja dapat mengurangkan bebanan rakyat tetapi ia juga dapat meningkatkan kematangan rakyat untuk membuat persediaan menghadapi cabaran akan datang.
Justeru, kerajaan dari semasa ke semasa harus memikirkan strategi yang terbaik untuk memulihkan taraf hidup rakyat B4 dengan menyediakan kemudahan jangka panjang yang boleh dimanfaatkan kepada golongan berkenaan seperti penyediaan rumah mampu milik dengan kemudahan asas yang mencukupi, khidmat insuran hayat,kemudahan kesihatan dan pendidikan termampu serta mendirikan lebih banyak persatuan-persatuan penduduk atau komuniti yang boleh mengakses, memantau kedudukan sosial masyarakat setempat serta menganjurkan lebih banyak program-program komuniti yang memberi manfaat kepada penduduk.
Dengan pemerhatian yang cekap dan berkesan, diharapkan mutu taraf hidup komuniti B40 akan dapat ditingkatkan selari dengan perkembangan semasa.
Sifat ketanggungjawaban setiap anggota masyarakat membantu satu sama lain menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat akan memberikan impak terhadap pelaksanaan Dasar Perpaduan dan Dasar Sosial yang kita bangunkan bagi merealisaikan impian negara menjadi negara maju makmur tidak lama lagi.
PENULIS, TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF merupakan Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.