fb fb fb fb fb

Menawan pemikiran dengan minda positif

(Mengorganisasi minda positif merupakan proses berterusan)

SAUDARA PENGARANG

POV: Kisah Aina
Seorang gadis yang mempunyai impian besar dan beraspirasi tinggi, namun sering diganggu dengan rasa ragu dan ketakutan. Dia sering merasakan bahawa dia bukanlah orang yang terbaik dalam segala hal yang dia impikan.

Dia inginkan kejayaan tetapi dia sering berfikir, “aku tidak layak“, “aku takut aku gagal“, “orang lain lebih hebat daripada aku“. Sehingga suatu hari dia terjumpa petikan inspirasi “Overthinking is the art of creating problems that don't exist”. Diterjemah kepada Bahasa Melayu bermaksud “Pemikiran berlebihan adalah seni mencipta masalah yang tidak wujud”. Melalui petikan ini, Aina mula        mendapat kesedaran dan merubah dirinya menjadi lebih yakin dalam mencapai impiannya. 

Seni mencipta masalah yang tidak wujud

Kisah Aina hanyalah satu analogi bahawa masyarakat kini sedang menghadapi dan melaluinya tanpa sedar, iaitu mencipta masalah berbanding menyelesaikan masalah. Contoh Aina, apabila dia merasakan tidak layak untuk sesuatu peluang yang hadir, dia tidak berusaha untuk mencapai impian tersebut, malah mencipta masalah yang tidak sepatutnya wujud, iaitu beranggapan impiannya tidak dapat dicapai. 

Pemikiran berlebihan (overthinking) yang menguasai Aina berkait rapat dengan kecerdasan minda dan juga emosi positif dan emosi negatif. Dalam kehidupan seharian kita, terdapat pelbagai situasi yang boleh menimbulkan emosi negatif. Sama ada berurusan dengan rakan sekerja yang mencabar, menghadapi rintangan, atau mengalami tekanan peribadi, unsur negatif dengan mudah menguasai pemikiran dan emosi kita.

Bagaimanapun, dengan membina kecerdasan emosi, kita dapat mengembangkan kemahiran untuk menukar aura negatif kepada sikap yang lebih positif dengan mengubah ‘skrip’ tanggapan terhadap kemampuan diri.

Membina kecerdasan emosi

Kecerdasan emosi merujuk kepada keupayaan kita untuk mengenali, memahami, dan mengurus emosi diri sendiri, serta memahami dan mempengaruhi emosi orang lain. Ia melibatkan empat komponen utama iaitu kesedaran diri, pengurusan diri, kesedaran sosial, dan pengurusan hubungan.

Kepelbagaian aktiviti bagi mengembangkan komponen-komponen ini, membolehkan kita berupaya lebih tahan lasak, empatis, dan mahir dalam mengendalikan situasi yang mencabar.

Kesedaran diri

Langkah pertama dalam menukar aura negatif adalah dengan membina kesedaran diri. Mulakan dengan memberi perhatian kepada emosi diri sendiri dan mengenal pasti apabila unsur negatif muncul.

Perhatikan punca utama dan corak yang berkaitan dengan emosi negatif ini. Kesedaran ini membolehkan kita mengambil tindakan sebelum unsur negatif menguasai diri. Kesedaran diri membawa kita kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang siapa kita sebenarnya, nilai-nilai yang  dianuti, kekuatan dan kelemahan diri, dan bagaimana berinteraksi dengan dunia di sekeliling kita.

Cabar fikiran negatif: Pemikiran negatif sering menguatkan tanggapan negatif.  Latih diri menentang dan merangka semula pemikiran negatif dengan mempersoalkan kebolehpercayaannya dengan mencari perspektif alternatif. Gantikan monolog dalaman negatif dengan peneguhan positif dan fokus kepada kekuatan dan kejayaan dalam hidup.

Misalnya apabila tidak berjaya dalam sesuatu tindakan, tukarkan skrip dalam minda kepada, “mungkin dengan kegagalan ini, menjadikan aku lebih sabar dan lebih mengenali kekuatan diriku“.

Membina emosi positif: Untuk menentang unsur negatif, secara sengaja sertai aktiviti yang membina emosi positif. Sertai aktiviti yang membawa kegembiraan, rasa syukur, atau ketenangan. Bangunkan diri dengan pengaruh positif seperti membaca buku yang menyuntik inspirasi, podcast yang memberi semangat, atau rakan yang memberi sokongan. Sambut kejayaan kecil dan hargai aspek positif setiap hari. Contohnya apabila berjaya dalam sesuatu perkara, raikan diri sendiri dengan sesuatu, kita sukai.  

Tingkatkan pengurusan diri

Pengembangan kemahiran pengurusan diri adalah penting untuk menukar unsur negatif. Ia melibatkan kawalan emosi dan tindak balas diri.

Amalkan teknik pengurangan tekanan seperti latihan pernafasan dalam, meditasi, atau aktiviti fizikal. Ambil cuti apabila diperlukan dan beri keutamaan kepada penjagaan diri untuk mengekalkan keadaan emosi yang seimbang.

Salah satu aspek penting dalam amalan pengurusan diri adalah perancangan masa. Dengan merancang dan mengatur waktu kita dengan efisien, kita dapat menghindari kejutan, mengurangkan tekanan, dan memastikan tugas-tugas penting diberi keutamaan. Ini melibatkan penyusunan jadual harian atau mingguan, menetapkan matlamat yang jelas, dan melaksanakan tugas berdasarkan prioriti.


(Perbincangan sebagai suatu kaedah mengurangkan rasa tidak pasti
dan bersikap menerima pandangan ahli kumpulan/Foto hiasan)

Membina kesedaran sosial

Kesedaran sosial membolehkan kita memahami dan berempati terhadap emosi orang lain, yang turut mempengaruhi sikap sendiri secara positif. Amalkan pendengaran aktif dan perhatikan isyarat bukan lisan untuk memahami pandangan orang lain.

Latih empati dengan meletakkan diri dalam posisi orang lain dan mempertimbangkan emosi dan pengalaman mereka.

Salah satu aspek utama dalam membina kesedaran sosial adalah memperhatikan komunikasi bukan lisan. Ia melibatkan kefahaman terhadap bahasa tubuh, ekspresi wajah, dan intonasi suara seseorang untuk difahami perasaan dan niat mereka.

Meningkatnya kesedaran sosial membolehkan kita dapat mengenali isyarat bukan lisan yang memberi petunjuk tentang perasaan seseorang, seperti kecemasan, kegembiraan, atau rasa tidak selesa, dan bertindak dengan kaedah yang bersesuaian.

Empati turut menjadi komponen penting dalam membina kesedaran sosial. Empati melibatkan kemampuan untuk memahami dan merasakan apa yang dirasakan orang lain. Dengan merasai emosi mereka, kita dapat menunjukkan perhatian, penghargaan, dan sokongan yang diperlukan.

Membina hubungan positif

Menjaga hubungan positif adalah penting dalam menukar aspek negatif kepada sikap yang lebih positif. Kelilingi diri dengan individu yang memberi semangat dan menyokong kita. Jalinkan komunikasi yang terbuka dan jujur, berkongsi perasaan dan dapatkan maklum balas daripada rakan atau mentor yang dipercayai. Berkolaboratif dengan orang lain untuk mencipta persekitaran yang menyokong dan harmoni.

Amalkan rasa syukur dan kesedaran: Rasa syukur dan kesedaran adalah “alat” yang kuat untuk menukar fokus dari negatif kepada positif. Ambil masa setiap hari untuk merenung perkara yang perlu disyukuri, walaupun kecil. Amalkan latihan kesedaran untuk mengurangkan tekanan, dan menghargai keindahan saat itu. Misalnya, aku bersyukur kerana hari ini aku dapat menjalankan tugas aku dengan baik. 

Walaupun unsur negatif mungkin tidak dapat dielakkan dalam hidup, kita mempunyai kuasa untuk menukar respon terhadapnya melalui kecerdasan emosi. Dengan membina kesedaran diri, mencabar pemikiran negatif dan mengamalkan pengurusan diri, kita dapat menukar aura negatif kepada sikap lebih positif.

Ingatlah, mengembangkan kecerdasan emosi adalah satu perjalanan berterusan, dan dengan usaha yang konsisten, kita akan dapat mencipta kehidupan lebih positif dan memuaskan. Hayati kuasa kecerdasan emosi dan gunakan ia sebagai panduan menuju masa depan yang lebih cerah dan optimistik.

PENULIS NOR ROSMAWATI ABDUL KARIM, Pensyarah, Jabatan Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu