(Program CliqueBait yang mendedahkan pelajar kepada isu antun
kanak-kanak dan penipuan siber)
SAUDARA PENGARANG
Perkampungan global bukanlah sesuatu yang baharu buat seluruh rakyat Malaysia. Jika dahulu, apabila seseorang itu tinggal berjauhan dengan seseorang yang dikasihi maka akan wujud rasa rindu yang amat dalam.
Setelah dunia ke arah pendigitalan global, walau jauh beribu batu tetapi terasa seperti yang dikasihi itu berada dalam rumah kita. Betapa hebatnya kecanggihan teknologi masa kini. Inilah yang dikatakan sebagai adiwira. Penyelamat dan pemudah cara kepada pelbagai perkara. Segalanya terletak di hujung jari.
Disebabkan itu, kebergantungan masyarakat terhadap teknologi semakin meningkat terutama dalam kalangan remaja. Hal ini kerana, bukan sahaja dunia pendidikan, malah cara kerja pada abad ini sememangnya menuntut mereka untuk bersahabat dengan segala macam gajet yang ada seperti komputer riba, telefon dan jam pintar, tablet dan pelbagai lagi sebagai alat bantuan kepada para pelajar untuk menimba ilmu mahupun menyiapkan tugasan mereka di mana sahaja mereka berada.
Walaupun begitu, kita tidak dapat berselindung akan perkara-perkara yang kurang enak dilihat atau didengar. Kes-kes seperti buli siber, antun kanak-kanak, penipuan siber, penyebaran berita palsu, dan pelbagai lagi merupakan perkara-perkara yang amat membimbangkan.
Ianya akan lebih membahayakan jika seseorang itu tidak didedahkan dengan literasi media. Mereka akan mudah percaya dengan diayah palsu dan akan terikut-ikut dengan aliran yang tidak sihat.
Sememangnya terdapat pelbagai kempen kesedaran yang telah dilaksanakan untuk sentiasa memperingati golongan muda belia mahupun masyarakat Malaysia secara keseluruhannya akan baik buruk penggunaan teknologi media baharu. Namun, masih lagi yang terkial-kial dan acapkali menjadi mangsa kepada jenayah siber.
Oleh yang sedemikan, satu anjakan paradigma telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang telah memperkenalkan satu program dinamakan sebagai SULAM atau singkatan kepada Service-Learning Malaysia-University for Society.
SULAM merupakan satu inisiatif transformatif dan fleksibel yang merujuk kaedah pengajaran dan pembelajaran; menggabungkan hasil pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang melibatkan pelajar berinteraksi dengan komuniti, seterusnya menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran dipelajari dalam bilik kuliah.
Sebagai contoh, bawah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, program SULAM diletak bawah kursus Undang-undang Media, Peraturan dan Etika.
Oleh yang demikian, setiap pelajar yang mengikuti kursus ini diwajibkan untuk membuat program SULAM berkaitan kursus yang mereka pelajari. Seterusnya program tersebut akan dinilai bawah pentaksiran kerja kursus. Sememangnya para pelajar amat bersungguh-sungguh dalam melaksanakan program-program yang direncana.
Perencanaan program yang dibuat memperlihatkan mereka sedaya upaya memastikan segala yang dirancang dekat dengan masyarakat dan komuniti. Bermula dari membuat penjenamaan sehinggalah ke modul-modul perlaksaan, segalanya dibuat dengan rapi dan teliti.
(Program “Dok-Panic” diinspirasikan daripada tiga perkataan Bahasa Inggeris
iaitu Dogpiling, Moral Panic dan Don’t Panic)
Terdapat banyak program SULAM yang telah dilaksana dengan jaya dan gilang gemilang sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Antaranya ialah Boo-ly, SeeMeThru, CliqueBait, TRYou, Dokpanic dan pelbagai lagi. Menariknya setiap program yang belangsung sememangnya bertujuan untuk membenteras isu-isu penyalahgunaan media seperti yang telah dilaporkan di media massa.
(SULAM: Boo-ly - Hey Your Words Hurt!)
Program-program yang telah dilaksana bukan sahaja dibuat kepada komuniti dalam bandar, tetapi juga diluar bandar mahupun di kawasan pedalaman. Sebagai contoh program SULAM: SeeMeThru, bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengguna media sosial tentang penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa serta keburukannya.
Program itu telah dijalankan bersama-sama dengan para pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hidayah. Menerusi ilmu yang disampaikan, dipercayai para pelajar di sekolah itu boleh menjadi ejen perubahan kepada komuniti mereka untuk menyebarkan kepentingan adab dan etika yang wajar diamalkan oleh pengguna media sosial agar dapat mengelakkan penyebaran berita palsu dan maklumat tidak benar serta mengelak menjadi mangsa kepada maklumat palsu.
Menariknya, program yang direncana bukan sahaja bersifat satu hala, bahkan para mahasiwa dan mahasiswi juga berpeluang untuk membuka minda dan mata mereka terhadap perkara-perkara yang mereka tidak pernah alami sebelumnya.
Sebagai contoh berkenaan dengan budaya, bahasa dan cara berkomunikasi dengan kaum atau etnik berbeza. Ini akan membuatkan mereka menjadi lebih matang dalam berfikir sebelum membuat keputusan serta memberi ruang kepada mereka untuk meneroka sesuatu perkara dengan lebih jauh.
(Ahli-ahli SeeMeThru bersama dengan guru, penaja dan para pelajar
Sekolah Menengah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hidayah)
Dalam era digital yang semakin maju, masyarakat tidak dapat lagi dipisahkan dengan penggunaan media sosial yang sudah menjadi sebahagian keperluan dalam kehidupan seharian kita semua. Bagaimanapun, jika seseorang individu terlalu bergantung kepada media sosial, hal ini akan membawa kepada pelbagai masalah serius tanpa kita sedar seperti pengaruh-pengaruh toksik di media sosial.
Sebagai contoh, para atlet seringkali menjadi mangsa netizen. Jika mereka berjaya, mereka diangkat dan dijulang, tetapi sebaliknya akan berlaku jika mereka tidak mencapai apa yang telah diharapkan. Untuk tujuan ini satu lagi program SULAM yang dinamakan sebagai TRYou telah memilih sekolah sukan di negeri Selangor. Program ini pula dirangka dengan tujuan untuk mendidik pelajar-pelajar yang juga merupakan atlet negeri Selangor tentang pemahaman dan kesedaran berkenaan pengaruh negatif media sosial, tanggungjawab pengguna media sosial untuk menerima atau menolak informasi toksik daripada media sosial serta memerangi sikap tidak yakin dalam diri sendiri.
(TRYou di Sekolah Sukan Selangor)
Inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi ini merupakan satu inisiatif yang amat baik. Secara keseluruhannya, program SULAM ini telah berjaya memupuk semangat kerjasama antara kalangan mahasiswa dan mahasiswi.
Aspirasi SULAM ini bukan sahaja sejenis pendidikan pengalaman di mana pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti yang telah dirancang, tetapi diberi peluang untuk menangani keperluan masyarakat.
Tidak dapat dinafikan bahawasanya program ini berjaya menanam sikap berbakti kepada masyarakat dan negara serta memberi pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi mengenai suasana bekerja secara profesional. Selain itu, ianya juga bertujuan memberi pengajaran dan pembelajaran yang menghubungkaitkan teori dan praktis dengan penyelesaian permasalahan sebenar dalam komuniti serta berteraskan Kasih Sayang, Kebahagian dan Saling Menghormati (Love, Happiness and Mutual Respect).
PENULIS DR MOHD YUSOF ZULKEFLI merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi Liberal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.