fb fb fb fb fb

Politik Malaysia rentas kaum: Apakah kita bersedia?

(Foto hiasan)

SAUDARA PENGARANG

Paluan gendang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN ke-15) di enam negeri dapat dirasai hari ini. Bermulalah penamaan calon daripada pelbagai parti politik, diikuti dengan pengundian awal/pos dan hari pengundian umum pada 12 Ogos nanti.

Berlumba-lumba parti-parti politik berkempen untuk menarik minat pengundi. Yang menariknya, dianggarkan 661,905 orang daripada enam buah negeri terlibat dalam PRU DUN kali ini merupakan para pengundi muda.

Ia menyumbang kepada lebih kurang 14.7% daripada keseluruhan pengundi yang berjumlah 9,773,571 pengundi pada PRU DUN  kali ini. Jumlah itu adalah sebahagian kecil daripada 10 juta pengundi muda yang mengundi pada PRU15 baru-baru ini.

Suatu jumlah yang berpotensi besar melakar sejarah perkembangan politik semasa negara buat masa ini. Ia menggambarkan bahawa betapa pentingnya golongan muda menjalankan tanggungjawab untuk memilih kerajaan mengikut acuan prinsip dan pendirian politik masing-masing.

Sangat signifikasi dengan keadaan semasa, PRU DUN kali ini diadakan dalam bulan mulia, Muharram dalam kalendar umat Islam, menganjurkan ketelusan, keikhlasan dan kesejahteraan penganjuran proses pemilihan politik pemimpin yang harus dihayati oleh setiap warga negara hari ini.

Ia seharusnya mencerminkan kematangan pertembungan idea yang lebih pragmatik dan bukannya menabur janji-janji kosong yang tidak realistik.

Politik Baharu

Sejajar dengan perkembangan pesat teknologi bermaklumat dunia dan negara ini, evolusi strategi politik telah berubah. Gagasan politik baharu yang berlandaskan kepada kebebasan bersuara, menyampaikan maklumat merupakan sebahagian daripada strategi politik baharu merentasi sempadan kaum, bangsa dan fahaman demokrasi politik rakyat masa kini.

Ini bermakna politik baharu meraikan kebebasan bersuara tanpa membatasi budaya dan pemikiran rakyat hari ini.

Kebebasan Bersuara dan Pluralisme

Liberasi media dalam dunia digital hari ini telah membuktikan bahawa setiap warganegara Malaysia bebas melontarkan fikiran, pandangan dan kritikan mereka terhadap apa juga isu dan sentimen selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip Rukun Negara dan perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, amat wajar bagi kerajaan meluluskan Akta Undi 18 pada tahun 2019 yang menyasarkan golongan belia seawal usia 18 tahun untuk mengundi, mengambil bahagian dalam pilihan raya dan juga membolehlan mereka dipilih sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.

Tidak hairanlah sekiranya pada hari ini kita menyaksikan sekurang-kurangnya 30% calon pilihan raya terdiri daripada anak-anak muda yang mahu mencuba nasib dalam siri pilihan raya yang berlangsung di negara ini. Wajar juga diperhatikan bahawa angka ini sebenarnya sudah lama menular di Eropah,  negara-negara maju dan negara Asia lain.

Jelmaan Pemimpin Masa Depan

Ia menyaksikan bagaimana pemerkasaan demokrasi terpimpin dalam kalangan anak-anak muda sudah mencapai kematangan membudayakan politik menjadi sebahagian daripada darah daging perjuangan mereka menuntut kesamarataan dan keadilan untuk membina kehidupan lebih baik.

Namun begitu, di sebalik keghairahan kebebasan penyaluran bermaklumat dan rentas sempadan budaya menggunakan media sosial hari ini, kita seharusnya sentiasa berpada-pada dengan konsep pluralisme dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini sebab ia boleh mengundang anarki-anarki yang boleh merosakkan amalan warisan budaya, kepercayaan akidah serta menganggu batasan agama serta prinsip sosial generasi kita hari ini dan akan datang.


(Antara anggota dan pegawai polis yang akan bertugas bagi memastikan kelancaran
proses penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Kulim, Kedah)

Kawal Selia Sosial

Mekanisma pengawalseliaan kendiri dalam jati diri anak-anak muda hari ini harus dididik dengan nilai-nilai sosial yang termaktub dalam Dasar Perpaduan Negara sejak dari bangku persekolahan lagi.

Tuntutan kebebasan generasi muda hari ini juga menyaksikan bahawa golongan ini menidakkan amalan penyalahgunaan kuasa, rasuah, berfikir dan bertindak lebih telus dan berpaksikan kepada  prinsip realistik dan pragmatik.

Sehubungan dengan itu, kerajaan seharusnya membuka lebih baik ruang kepada generasi pemimpin hadapan ini dengan penuh keikhlasan mendirikan sistem pendidikan moden yang lebih holistik, mendepani semua cabaran dan mengisi lebih banyak ilmu pengetahuan berasaskan kepada kemahiran sains dan teknologi.

Dengan menyasarkan kepada kematangan pemikiran dan kefahaman sosiobudaya tempatan yang lebih mantap dan berdedikasi dalam kalangan gemerasi muda hari ini, maka strultur dan hala tuju masa depan politik Malaysia juga seharusnya menggambarkan kesatuan dan kesaksamaan merentasi kaum, agama dan bangsa. Keluruhan perlembagaan, kesopanan dan kesusilaan dalam setiap jiwa anak-anak muda harus dijelmakan dengan pengamalan budaya demokrasi yang sihat.

Apakah kita akan melihat pengaruh anak-anak muda, dalam keghairahan memangkah undi nanti akan memikirkan masa depan mereka di sebalik barisan caon-calon pemimpin hari ini?

Apakah platform media yang digunakan untuk menjanakan kempen-kempen politik nanti bakal menyaksikan suatu lembaran baharu dalam sejarah politik negara? Senario inilah yang telah dijelmakan pada PRU13 hingga PRU15 baru-baru ini.

Gagasan Suara Baharu

Sesungguhnya gagasan suara generasi baharu hari ini perlu dipelihara dan disantuni dengan etika pengamalan demokrasi terpimpin dan bukannya mempergunakan mereka dengan alasan nafsu politik dan kuasa semata-mata.

Justeru, kita akan menyaksikan "remaja memilih kerajaan" bersempena musim PRU DUN yang semakin hangat dirasai ini. Apakah dorongan anak-anak muda nanti sebenarnya didasari oleh kematangan pemikiran dan ilmu pengetahuan mereka atau memilih mengikut sentimen isu semasa yang tular di media sosial?

Apakah satu hari nanti kita akan berdepan dengan dua parti terbesar yang menguasai sistem demokrasi negara dan pada ketika itu pengamalan demokrasi akan menyaksikan lebih keterbukaan dan ketelusan dalam amalan pemilihan pemimpin masa depan menerajui kerajaan?

Apakah amalan demokrasi negara akan terus subur apabila ketelusan pemilihan pimpinan parti akan datang tidak membataskan usia pemimpin, seperti mana yang kita perhatikan di beberapa negara Eropah dan New Zealand seumpamanya?

Apakah ertinya kebebasan dan keadilan sekiranya masyarakat hari ini masih dipayungi persepsi yang sering digunakan sebagai sentimen untuk memporak-perandakan kesejahteraan dan kemakmuran negara?

Apakah kita bersedia mendepani nasib masa depan dan wajah bakal pemimpin masa depan daripada generasi muda yang menagihkan kesempurnaan kehidupan mereka hari ini dengan kejujuran amalan demokrasi negara?

Kita sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab memimpin generasi hari ini meluncur jauh ke hadapan dengan penuh keyakinan dan memetai semangat patriotik cintakan tanah air, kesatunan, kerukunan bangsa dan negara tercinta.

Selamat Mengundi.

PENULIS, TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF merupakan Pensyarah Kanan Media dan KomunikasiFakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu