SAUDARA PENGARANG
Halangan jantina terhadap kepimpinan telah mendorong perkembangan seluruh dunia ke arah memartabatkan keperluan mandatori perwakilan wanita dalam jawatan pengurusan. Sebahagian daripada matlamat Rancangan Malaysia Ke-10 adalah untuk meningkatkan bilangan wanita dalam lembaga korporat kepada 30 peratus.
Selain itu, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 Malaysia, selaras dengan konsep kesaksamaan, telah menjadikan wanita sebagai satu fokus utama, untuk memastikan tiada sesiapa yang dipinggirkan. Bagaimanapun, di samping kemajuan dalam sistem kuota jantina, wanita masih menghadapi diskriminasi dan merupakan minoriti yang dipertimbangkan untuk jawatan kepimpinan. Ia sering menjejaskan kebolehan dan menghalang pemerkasaan golongan wanita yang sering dikaitkan sebagai lemah dan kurang berdaya saing.
Atas kesedaran itu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) telah menjalankan pengumpulan data di Kem Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpengkalan di Lumut, Perak. Tujuan pengumpulan data tersebut adalah untuk mencapai objektif projek penyelidikan berkenaan isu memperkukuh penyertaan dan pemerkasaan wanita dalam pembangunan ekonomi di Malaysia.
Projek bertajuk “Memahami Naratif Wanita dan Memperkukuh Penyertaan dan Pemerkasaan Wanita dalam Pembangunan Ekonomi,” dibiayai melalui Skim Geran Penyelidikan Fundamental, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Impact-Oriented Interdisciplinary Research Grant (IIRG) Programme. Projek diketuai oleh Profesor Madya Dr Raida Abu Bakar dan dibantu tiga pensyarah dari Universiti sama, iaitu Profesor Madya Dr Sharmila Jayasingam, Datin Dr. Rosmawani Che Hashim dan Dr. Safiah Omar.
Konsep penyelidikan ini adalah pendokumentasian pengalaman wanita dari tempat kerja berbeza, seperti organisasi dipelopori oleh lelaki yang berorientasikan pencapaian dan kecenderungan untuk mengambil kepimpinan; dan organisasi secara tradisinya didominisasi oleh wanita yang berkaitan dengan empati dan sensitiviti emosi serta dikaitkan dengan sikap stereotaip wanita. Menurut kajian ini, mungkin terdapat jangkaan berbeza untuk pemimpin wanita; oleh itu adalah penting untuk memahami situasi dalam kedua-dua konteks.
Menurut Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Raida Abu Bakar, kajian tersebut sangat relevan dengan banyak dasar kerajaan mengenai penyertaan wanita. Sejak beberapa dekad lalu, Malaysia telah membuat pelbagai inisiatif dalam memperkasakan wanita di tempat kerja.
Kajian juga berfungsi sebagai asas dalam membimbing pindaan dasar-dasar kuota jantina semasa. Objektifnya adalah untuk menyediakan rangka kerja institusi yang memberikan pandangan holistik tentang dasar kuota jantina dan mencadangkan pelan tindakan baharu yang bersesuaian untuk kepimpinan wanita.
Bagi tujuan sampel kajian, insitusi ketenteraan telah dipilih sebagai mewakili institusi yang didominisasikan oleh kakitangan lelaki. Kajian seterusnya akan dijalankan di institusi pendidikan, kerana institusi tersebut kebiasaannya didominisasi oleh kakitangan wanita.
Satu kajian rintis telah diadakan. Para penyelidik mengadakan pertemuan dengan 40 kakitangan TLDM Lumut, Perak yang terdiri daripada 20 orang lelaki and 20 orang wanita bagi mendapatkan maklum balas tentang kuota jantina yang diamalkan dalam kalangan anggota tentera.
Setiap peserta diberi satu daripada lapan senario bertulis yang menggambarkan situasi hipotesis yang berkaitan dengan kepimpinan wanita. Selepas membaca senario tersebut, para peserta telah diminta untuk mengisi borang soal selidik yang berkisar tentang aspirasi kepimpinan mereka.
Setelah selesai, peserta lelaki dikehendaki bersurai sementara peserta wanita diminta untuk menonton video; berkisar tentang pemilihan seorang ketua dalam sesebuah organisasi dan peserta dikehendaki menjawab beberapa soalan berkenaan dengan kriteria untuk memilih seorang ketua.
Dapatan daripada kajian rintis itu telah memberi ruang kepada penyelidik untuk melihat lebih dekat persepsi mengenai kepimpinan wanita dalam kalangan anggota TLDM, selain mendapatkan input bagi menambah baik set soalan bagi siri kajian seterusnya.
Kerjasama dengan TLDM ini diharapkan dapat membina perspektif baharu dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi wanita, bukan sahaja dalam institusi ketenteraan, malah dalam institusi lain di seluruh negara.
Sesuai dengan naratif Malaysia MADANI yang turut memberi penekanan terhadap penyertaan rakyat yang saksama dalam semua aspek aktiviti ekonomi, dapatan kajian ini kelak akan kekal relevan, walaupun bermula dengan berlatar belakangkan kerangka ekonomi yang terdahulu.
PENULIS DR. ROSMAWANI CHE HASHIM antara penyelidik kajian dan merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan dan Pemasaran, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.