SAUDARA PENGARANG
Berkuat kuasa pada 18 November 2023, penduduk Muslim di India dan di luar India telah dikejutkan dengan satu langkah kontroversi diambil oleh kerajaan wilayah Uttar Pradesh yang diketuai parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP), sebuah parti fundamentalis yang mengenakan larangan ke atas pengeluaran, penyimpanan, pengedaran dan penjualan produk makanan, ubat-ubatan dan kosmetik yang disahkan halal.
Malah dikatakan bahawa kerajaan wilayah itu telah lama merancang untuk mengenakan larangan ke atas produk yang disahkan halal. Keputusan ini telah menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pelbagai masyarakat, bukan sahaja dalam kalangan umat Islam di India bahkan di luar India.
Kerajaan wilayah Uttar Pradesh menyatakan bahawa larangan/sekatan tersebut adalah berdasarkan isu kesihatan awam dan untuk mencegah kekeliruan. Malah mereka berhujah bahawa pensijilan halal, yang menjadi tanda aras pematuhan kepada undang-undang Islam, mengganggu piawaian kualiti ditetapkan mengikut Akta Keselamatan dan Piawaian Makanan India 2006.
Bagaimanapun, rasional itu telah disambut dengan keraguan dan kritikan, dengan ramai yang melihatnya sebagai percubaan untuk terus meminggirkan umat Islam di India. Tindakan kerajaan pimpinan BJP di Uttar Pradesh itu dilihat oleh banyak pihak sebagai sebahagian daripada dasar anti-Muslim yang semakin meluas.
Pensijilan halal adalah penting bagi umat Islam, kerana ia memastikan makanan dan produk lain mematuhi undang-undang pemakanan dalam Islam. Larangan itu bukan sahaja menjejaskan keperluan amalan agama tetapi pada masa sama berpotensi menyasarkan perniagaan yang dimiliki atau memenuhi keperluan orang Islam.
Sekatan atau larangan pengeluaran, penyimpanan, pengedaran dan penjualan produk makanan, ubat-ubatan dan kosmetik yang disahkan halal, sebenarnya melanggar hak orang Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan bebas.
Pengharaman produk halal ini dilihat dalam konteks peningkatan Islamofobia di India dan seluruh dunia. Dasar seperti itu, secara langsung memberi kesan kepada amalan agama Islam selain memberi kesan lebih serius mengenai sikap diskriminasi yang sudah sedia ada dan terasing dalam kalangan masyarakat Islam.
Ia juga menimbulkan persoalan tentang komitmen terhadap kebebasan beragama dan nilai sekular dalam demokrasi terbesar di dunia. Malah dasar ini menyokong dakwaan Suruhanjaya Amerika Syarikat pada tahun lalu yang mengatakan bahawa terdapat kemerosotan ketara kepada prinsip kebebasan beragama di India bawah pemerintahan nasionalis Hindu; lalu mengesyorkan sekatan yang disasarkan ke atas penindasan sedemikian.
Langkah itu adalah tahun ketiga berturut-turut suruhanjaya tersebut menegur dan meminta India diletakkan dalam senarai ‘negara yang menjadi perhatian khusus’.
Berhubung dengan alasan dikemukakan kerajaan wilayah Uttar Pradesh bahawa pensijilan halal mengganggu piawaian kualiti yang ditetapkan dalam Akta Keselamatan dan Piawaian Makanan India 2006; sejauh manakah dakwaan tersebut adalah benar?
Persijilan halal adalah perincian kepada prosedur atau suatu garis panduan yang dijadikan rujukan pihak pengusaha industri halal yang ingin memohon sijil pengesahan halal yang dikeluarkan oleh mana-mana badan persijilan halal.
Jika diteliti secara lebih mendalam, pensijilan halal adalah suatu proses untuk memastikan pengusaha industri mengamalkan konsep halalan tayyiban secara berkesan dalam penghasilan produk makanan.
Tayyiban bermaksud “baik” (tayyib) yakni bersih, suci, selamat, berkualiti dan tidak memudaratkan. Ia bukan sahaja melibatkan pemilihan bahan ramuan semata-mata tetapi juga merangkumi keseluruhan proses bermula pada peringkat penyediaan bahan, proses pengilangan, pengeluaran, penyimpanan, pemindahan, pengedaran sehinggalah produk tersebut disajikan kepada pengguna.
Sebenarnya jika diteliti terhadap prosedur sedia ada, terdapat empat elemen penting yang membuktikan pensijilan halal adalah suatu usaha berterusan mendidik pengusaha beramal dengan konsep halalan tayyiban.
Elemen tersebut termasuklah pematuhan halal terhadap ramuan makanan, amalan baik dalam keseluruhan pengendalian makanan, pelaksanaan sistem jaminan halal dan pematuhan kepada perundangan berkaitan dan kawalan yang berterusan oleh pihak pengurusan pensijilan halal.
Pematuhan kepada perundangan berkaitan, termasuklah pematuhan kepada aspek kualiti dan keselamatan makanan yang menjadi kewajiban dalam Akta Keselamatan dan Piawaian Makanan India 2006 atau perundangan berkaitan makanan di mana-mana negara sekali pun.
Oleh itu, persijilan halal telah menjadi satu sistem kualiti di peringkat global, kerana piawaian yang ditekankan dalam piawaian makanan halal adalah tinggi dan ini termasuk aspek kualiti dan kebersihan.
Jadi apabila pelanggan membeli produk yang telah mendapat pengiktirafan halal, ia juga dijamin bersih daripada segi pemprosesan dan kualiti makanan tersebut. Selain itu, produk halal terutama yang dihasilkan untuk eksport perlu mematuhi International Standard ISO 22000 Food Safety Management, iaitu piawaian makanan paling ketat.
Secara asasnya terdapat prinsip kesaksamaan dan keadilan ditegakkan dalam masyarakat yang pelbagai seperti India. Namun begitu, dasar wilayah India tersebut yang mengambil tindakan menyekat dan melarang kesemua aktiviti berkaitan produk halal adalah bertentangan dengan prinsip mereka sendiri.
Jika dilihat, hujah yang dikemukakan tentang larangan produk halal bahawa larangan itu bukan mengenai kesihatan awam tetapi mengenai lain-lain terutamanya dasar peminggiran minoriti agama yang dilihat begitu ketara di India.
Larangan ke atas produk yang disahkan halal di Uttar Pradesh adalah perkembangan amat membimbangkan, bukan sahaja untuk masyarakat Islam tetapi bagi sesiapa yang menghargai kebebasan beragama.
PENULIS PROF. MADYA DR. ZALINA ZAKARIA merupakan Pengarah, Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya dan Profesor Madya, Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.