fb fb fb fb fb

Jangan biarkan korupsi iman menguasai diri

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Kehidupan insan di muka bumi tidak sunyi daripada kebaikan dan kejahatan. Kita menyaksikan setiap hari berita-berita kebaikan dan kejahatan serta kemaksiatan dilaporkan oleh pelbagai pihak seperti media sosial, saluran berita dan laman sesawang.

Perasaan berbaur kegembiraan, kebencian, kemarahan dan kegilaan pada kadar yang tidak sama apabila melihat, mendengar dan membacanya. Bak kata pepatah: lain dulang lain kakinya, lain orang lain hatinya.

Umum memberi reaksi berbeza. Ia bergantung kepada pegangan nilai-nilai keagamaan maupun kemanusiaan yang diimani dalam melayari kehidupan masing-masing. Bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Islam menanam nilai-nilai yang memandu ke arah kebaikan dalam hidup sesama makhluk mahupun alam semula jadi melalui wahyu Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Bagaimanapun terdapat segelintir masyarakat Islam tidak menghiraukan ajaran Islam yang murni dan membenarkan pemikiran mereka dipengaruhi logik akal dan hawa nafsu. Ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Al-Rumi pernah berpesan dalam kitabnya Mathnawi yang bermaksud: Apabila kamu tenggelam dalam hawa nafsu, sayapmu akan patah; kamu akan lemah, ditinggalkan dalam dunia fantasi. Ini selari dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: tiga perkara yang membinasakan: sifat kikir yang dituruti, hawa nafsu yang ditaati, dan keujuban seseorang terhadap dirinya (HR Al-Baihaqi No 731 dalam Syu`abul Iman). Juga firman Allah SWT yang bermaksud: dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka agar mereka tidak memalingkan kamu dari wahyu yang telah diturunkan kepada kamu (Al-Maidah: 49)

Majoriti masyarakat Islam hari ini turut menyahut seruan agar berlumba-lumba melakukan kebaikan; fastabiqul khairat sebagaimana umat terdahulu selari dengan galakan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: maka berlumba-lumba melaksanakan kebaikan, di mana saja kamu berada pasti Allah mengumpulkan kamu semua, sesungguhnya Allah Maha Berkuasa melakukan apa sahaja. (Al-Baqarah, ayat 148).

Dalam ayat yang lain, Allah SWT menceritakan kisah Nabi Zakaria A.S melalui firman-Nya yang bermaksud: maka Kami kabulkan doanya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya, dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung, sesungguhnya mereka sentiasa bersegera dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan dan cemas; dan mereka pula sentiasa khusyuk kepada Kami. (Surah Al-Anbiya, ayat 90). Ayat ini menekankan unsur kebaikan, doa dengan penuh harapan serta khusyuk ada kaitan dengan anugerah yang diperolehi.

Sahutan kepada firman Allah SWT ini terbukti apabila kutipan sumbangan dana kebajikan sering mendapat sambutan yang baik dan berjaya mengumpulkan berjuta-juta ringgit bagi membantu pelbagai pihak dalam negara mahupun luar seperti masyarakat Islam di Palestin yang dizalimi pihak zionis, dan Indonesia ketika peristiwa Tsunami melanda Acheh.

Malangnya kerakusan dan korupsi iman individu-individu tertentu telah mencengkam amalan filantrofi masyarakat Islam dengan penyelewengan dan salah laku dalam menguruskan derma dan dana awam. Terkini pertubuhan bukan kerajaan Aman Palestin telah disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan pelbagai kesalahan tatacara pengurusan kewangan, hasil aduan orang ramai. Ia suatu perbuatan yang amat mengaibkan dan mengecewakan ramai pihak.

Pada sisi lain, ada segelintir masyarakat kita yang berlumba-lumba mengikut hawa nafsu dan tidak mengendahkan teguran para mufti dan agamawan seperti menghadiri konsert Coldplay yang telah berlangsung pada 22 November 2023. Harga tiket untuk konsert itu antara RM228.00- RM3,088.00 telah habis terjual dalam masa hanya tiga jam.

Di sisi lain, masih ramai rakyat yang tidak berkemampuan dan mendambakan pelbagai subsidi atau bantuan harga rahmah untuk barangan keperluan.

Selain daripada itu, sepasang kekasih telah viral di media sosial apabila si uda bertindak melamar si dara bertudung di khalayak ramai. Ia jelas menunjukkan budaya barat telah menguasai adab dan tata susila meminang pasangan untuk membina kehidupan berumahtangga. Seolah-olah wali tidak lagi berfungsi dalam aturcara merisik dan meminang, begitu juga kaum keluarga.

Ironinya, terdapat individu yang mengaku Islam tetapi berani mengutuk serta memperkecil-kecilkan ajaran Islam di media sosial tanpa segan silu. Ternyata mereka tenggelam dalam pemikiran dan hawa nafsu serta menjauhkan diri daripada sumber al-Quran dan al-hadis.

Soalan demi soalan terbentuk di benak: Kenapa masih mengaku Islam sedangkan ajaran diketepikan malah dihina? Adakah kerana hak istimewa orang melayu-Islam dalam perlembagaan yang didambakan? Apakah pada fikiran mereka, tindakan undang-undang hanya boleh dikenakan kepada orang bukan Islam dalam isu sensitiviti agama? Para agamawan dihina secara terbuka tanpa segan silu? Apakah sebenarnya wujud Islamofobia dalam kalangan Muslim sendiri?

Solusi yang tegas perlu dikuatkuasakan oleh pihak berwajib dan bertanggungjawab bagi menghentikan penularan budaya songsang dan bercanggah dengan nilai-nilai murni semua agama di negara ini kerana ia terbukti mampu menggugat keharmonian dan kemakmuran negara ini.

Warganet bergaduh sesama sendiri, justeru tercetus perang papan kekunci di laman sosial. Ruang bersosial menjadi medan perang pemikiran tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan. Ketamadunan Malaysia terus tercalar dan adab tata susila hilang entah ke mana. Ketandusan adab terserlah di mana-mana. Sikap mementingkan diri menguasai nuansa komunikasi dan ideologi menjaga kain sendiri (‘minding your own business’) ditebalkan hari demi hari tanpa disedari.

Sesungguhnya Ibn Khaldun pernah berkata: Rakyat mengikut budaya raja mereka. Maka jangan dibiarkan korupsi iman mencengkam kerangka Malaysia MADANI yang baru sahaja mula bertatih ini.

PENULIS PROF. MADYA DR. AIZAN BINTI ALI@MAT ZIN adalah Profesor Madya di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI