fb fb fb fb fb

Teroka pendidikan pemakanan bantu kanak-kanak malnutrisi

Foto hiasan/AFP

SAUDARA PENGARANG

Pemakanan yang sihat membabitkan pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat mengikut keperluan tubuh seseorang. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kekurangan zat makanan adalah kebimbangan kesihatan awam yang ketara dalam kalangan kanak-kanak seperti di Malaysia. Malnutrisi adalah masalah kekurangan, berlebihan serta ketidakseimbangan nutrisi atau kandungan kalori seseorang.

Isu malnutrisi dilihat membimbangkan berikutan kira-kira 20 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami masalah bantut dan obesiti yang dicatatkan WHO pada tahun 2021. Di Malaysia, terdapat kajian yang melaporkan bahawa 23 peratus kanak-kanak empat hingga lima tahun mengalami kebantutan, 22 peratus malnutrisi dan 32 peratus malnutrisi tahap tinggi.

Projek Borgen yang meninjau 16 Projek Perumahan Awam kos rendah di Kuala Lumpur dan Selangor mendapati 22 peratus kanak-kanak bawah lima tahun mengalami pertumbuhan terbantut, iaitu dua kali ganda daripada kadar global. Faktor kemiskinan dan kekurangan zat makanan di Malaysia memberi kesan jangka panjang yang kritikal kepada kanak-kanak terutama melibatkan perkembangan dan pertumbuhan mereka.

Malnutrisi didapati bukan sahaja merencatkan tumbesaran, tetapi menjejaskan perkembangan otak, kemahiran motor-sensori, dan tumpuan belajar. Kanak - kanak yang mengalamai masalah malnutrisi adalah sangat lemah, tidak bertenaga untuk bermain, kerap jatuh sakit dan mengalami anemia kerana mempunyai sistem imunisasi yang rendah.

Oleh itu mereka tidak berminat untuk bermain, belajar dan tidak mempunyai ramai kawan-kawan. Oleh itu, kanak - kanak perlu diterapkan dengan Pendidikan Pemakanan yang membantu mereka untuk lebih berhati - hati dalam memilih makanan harian mereka.

Menurut Jeffrey I. Gordon, Profesor ulung dan Pengarah the Edison Family Center for Genome Sciences and Systems Biology, School of Medicine, University of Washington di St Louis, bahawa “...the damaging effects of malnutrition include impaired brain development, bone growth and immune function”. Hal ini menunjukkan bahawa kesemua kesan-kesan ini boleh menyebabkan kanak-kanak malnutrisi menjadi “disabled for life”.

Program Perlindungan Sosial bersepadu di bawah Dasar Sosial Negara (2003) telah memasukkan aspek latihan, pendidikan dan peningkatan kesedaran bertujuan meningkatkan pengetahuan pemakanan dan menggalakkan amalan pemakanan sihat untuk rakyat terutamanya melibatkan golongan sasaran iaitu keluarga B40 di Malaysia. Namun impak pandemik COVID-19 yang melanda negara kita suatu ketika dahulu, telah menyebabkan Perlindungan Sosial di Malaysia telah menurun di tahap minimum berbanding negara berpendapatan tinggi.

Laporan UNICEF Malaysia (2020) bertajuk ‘Addressing Malaysia’s nutrition crisis post COVID-19: Time for nutrition-focused social protection’ mendapati bahawa Malaysia telah melaksanakan program Perlindungan Sosial melalui pemindahan tunai untuk melindungi isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang terjejas oleh pandemik COVID-19 daripada krisis kemiskinan dan kekurangan makanan.

Bagaimanapun, penyelidikan global menunjukkan bahawa faedah pemakanan jangka masa panjang hanya dapat dicapai apabila program ini diselaraskan dengan baik bersama intervensi yang berfokus kepada pendidikan pemakanan bagi membantu memulihkan krisis malnutrisi dalam keluarga dari kelompok B40.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan pelbagai program pemakanan khusus untuk kanak-kanak. Namun, program yang dilaksanakan ini perlu diperhalusi dengan menggabungkan aspek pendidikan selain penekanan kepada nilai kalori makanan.

Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk murid-murid sekolah rendah dari golongan B40 tetapi kualiti makanan yang disediakan tidak membantu murid-murid yang mengalami malnutrisi dan akut malnutrisi secara khusus. Hal ini menyebabkan masalah malnutrisi masih belum dapat diatasi malah semakin meruncing dengan situasi wabak COVID-19 yang pernah melanda negara dahulu.

Oleh itu, terdapat keperluan membangunkan kerangka polisi pendidikan pemakanan untuk kanak-kanak khusus bagi menangani isu malnutrisi ini. Hal ini kerana, program Pendidikan Pemakanan perlu diwujudkan bertujuan untuk mendidik kanak-kanak dan keluarga mereka tentang kepentingan diet yang sihat, menggalakkan tabiat pemakanan yang sihat dan mengurangkan keadaan kekurangan zat makanan.

Pendidikan Pemakanan merupakan satu bentuk ilmu tentang cara pengambilan makanan yang sihat dan betul. Pendidikan Pemakanan hendaklah bermula ketika kanak-kanak memasuki alam persekolahan. Selain daripada didikan tentang pemakanan seimbang, mereka perlu mengetahui tentang keperluan nutrien yang penting untuk tubuh badan bagi menjalankan aktiviti setiap hari.

Dalam program pendidikan yang membabitkan kanak-kanak, sesi pengajaran adalah bersifat interaktif dan menarik kerana merangkumi aktiviti yang menyeronokkan seperti cerita, nyanyian, seni, kraf, lukisan, permainan, berkebun dan memasak. Sebagai contoh, satu kajian luar negara dijalankan kepada kanak-kanak yang berumur dua hingga lima tahun yang menerima 12 slot pelajaran ‘Color Me Healthy’ semasa cycle time dapat meningkatkan pengambilan sayur-sayuran sekitar 21 peratus.

Bagaimanapun, halangan pelaksanaan Pendidikan Pemakanan dalam kurikulum arus perdana di Malaysia melibatkan peringkat sekolah adalah membabitkan penyediaan peluang latihan kepada pendidik dan sumber pendidikan pemakanan yang kurang mencukupi untuk penyampaian yang praktikal. Oleh itu, terdapat keperluan untuk merangka polisi Pendidikan Pemakanan yang khusus dan melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa, para pendidik, serta komuniti dan masyarakat.

Pendidikan Pemakanan boleh membantu dalam meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah malnutrisi di Malaysia. Bagaimanapun, kajian membabitkan pembangunan model Pendidikan Pemakanan adalah penting bagi mengenal pasti strategi yang paling berkesan untuk menangani masalah kebantutan dalam kalangan kanak-kanak prasekolah secara khusus.

Aktiviti Pendidikan Pemakanan yang berjaya adalah yang menggunakan aktiviti yang sesuai dengan usia kanak-kanak untuk mencapai hasil bagi meningkatkan pengetahuan dan perubahan tingkah laku.

Pemakanan merupakan salah satu aspek penting dalam mengekalkan tahap kesihatan manusia. Amalan pemakanan sihat ialah dengan melibatkan pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat, tetapi mengikut keperluan individu. Hal ini kerana tidak ada satu makanan yang dapat menyediakan semua jenis nutrien yang diperlukan bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik.

Pemakanan seimbang perlu merangkumi semua jenis makanan yang diperlukan untuk kesihatan tubuh. Makanan dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan utama mengikut fungsinya yang tersendiri, iaitu makanan yang membekalkan tenaga, makanan untuk proses pertumbuhan serta makanan bagi menjauhkan dari serangan penyakit.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyarankan pengambilan pelbagai jenis makanan beserta sukatan yang perlu bagi setiap jenis makanan tersebut dalam bentuk carta Piramid Makanan Malaysia 2020. Maka, pemerolehan pengetahuan pemakanan pada peringkat awal kanak-kanak adalah sangat penting kerana akan mempengaruhi pembentukan sikap dan tabiat pemakanan kanak-kanak yang berkemungkinan kekal sehingga dewasa.

Penerapan pengetahuan pemakanan dengan cara yang menyeronokkan mampu membantu kanak-kanak menyemai tabiat pemakanan yang sihat dalam sajian harian. Oleh itu, dalam usaha merancang dasar polisi Pendidikan Pemakanan di rumah, beberapa aspek utama wajar diberikan perhatian.

Kanak - kanak pada masa kini terdedah dengan pelbagai sumber makanan sama ada sihat atau tidak. Oleh itu, kajian membabitkan penerokaan awal tentang Pendidikan Pemakanan, mengenal pasti elemen-elemen pembangunan model Polisi Pendidikan Pemakanan dan seterusnya mengformulasikan model Pendidikan Pemakanan untuk kanak-kanak prasekolah telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tujuan penerokaan ini adalah bagi mengenal pasti keperluan pembangunan model Pendidikan Pemakanan untuk kanak-kanak prasekolah yang mengalami masalah malnutris, mengenal pasti elemen-elemen yang perlu ada dalam pembangunan model Pendidikan Pemakanan tersebut dan akhirnya membentuk satu model Polisi Pendidikan Pemakanan khusus untuk kanak-kanak prasekolah yang mengalami masalah malnutrisi.

Program Pendidikan Pemakanan bertujuan untuk mendidik kanak-kanak dan keluarga mereka tentang kepentingan diet yang sihat, menggalakkan tabiat pemakanan yang sihat, dan mengurangkan kejadian kekurangan zat makanan. Penerokaan awal ini berfokuskan kepada kanak - kanak yang mengalami masalah malnutrisi seperti bantut, susut berat badan, terlebih berat badan dan obesiti.

Hasil daripada temu bual membabitkan ibu bapa dan guru prasekolah mendapati bahawa kanak - kanak mengikut corak pemakanan ibu bapa mereka di rumah. Selain itu, kanak - kanak juga mengalami masalah malnutrisi yang berpunca daripada tabiat pemakanan yang terbentuk di rumah.

Kajian mendapati guru-guru masih memerlukan pengetahuan tentang Pendidikan Pemakanan untuk kanak-kanak malnutrisi. Mereka juga sedar tentang kepentingan dan berminat untuk mendalami Pendidikan Pemakanan untuk kanak-kanak malnutrisi. Selain dari guru, ibu bapa juga perlu mempunyai kesedaran tentang pemakanan sihat dan selamat untuk kanak-kanak yang mengalami masalah malnutrisi. Kajian lepas mendapati bahawa amalan pemakanan ibu bapa di rumah tidak semestinya mempengaruhi pemakanan kanak-kanak.

Pakar perkembangan dan pemakanan kanak-kanak berpendapat bahawa terdapat tiga elemen utama yang perlu difokuskan dalam membangunkan model Pendidikan Pemakanan ini iaitu elemen di rumah, prasekolah dan komuniti. Bagi elemen di rumah, antara yang diketengahkan adalah pembabitan atau interaksi ibu bapa tentang pemakanan sihat kepada kanak-kanak.

Oleh itu, kesedaran tentang pemakanan seimbang oleh ibu bapa juga memainkan peranan yang penting kepada kanak-kanak. Amalan pemberian makanan yang tidak sihat juga akan memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak. Pakar - pakar juga mendapati bahawa ketersediaan dan kebolehcapaian makanan yang sihat di rumah penting bagi kanak-kanak. Status sosio-ekonomi keluarga dan tahap pendidikan ibu juga boleh mempengaruhi pemakanan kanak-kanak di rumah.

Kanak-kanak sememangnya mendapat pendidikan awal daripada ibu bapa di rumah. Namun, pendidikan lebih formal boleh didapati ketika kanak-kanak mula masuk ke prasekolah. Justeru, guru prasekolah perlu bersedia dan mempunyai kesedaran tentang pemakanan seimbang.

Pakar-pakar memberi penekanan terhadap aspek bagaimana guru boleh mendemonstrasi atau menjadi ‘role - model’ terhadap pengambilan pemakanan sihat yang membabitkan kanak-kanak di peringkat prasekolah. Sekiranya makanan yang disediakan tidak memenuhi nutrisi harian yang diperlukan kanak-kanak, kemungkinan akan terdapat risiko atau kesan terhadap perkembangan kanak-kanak tersebut.

Faktor persekitaran sekolah juga penting di mana kanak-kanak seharusnya mendapatkan makanan yang sihat berdasarkan kepada jadual menu harian yang ditetapkan oleh pihak pengurusan dan KKM. Akhir sekali, aktiviti dan alatan ‘hands - on’ dapat membantu kanak-kanak untuk mempelajari tentang pemakanan sihat dengan cara yang menarik dan menyeronokkan.

Pihak kerajaan dan komuniti setempat juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan kanak-kanak mendapat makanan yang sihat. Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setiap kanak-kanak harus mempunyai akses dari segi fizikal, sosial dan ekonomi kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat.

Kumpulan pakar juga mendapati bahawa servis pemakanan dan kesihatan yang ditawarkan di fasiliti selain rumah dan sekolah perlu diperketatkan serta dipantau iaitu melibatkan premis jualan makanan sama ada yang berbentuk kekal atau sementara. Pemantauan ini adalah penting bagi memastikan kanak-kanak diberikan peluang untuk mengakses makanan yang sihat dan selamat.

Pihak berkuasa juga boleh menyokong pembentukan polisi Pendidikan Pemakanan melalui program atau inisiatif yang spesifik dengan komuniti di Malaysia agar kanak-kanak mendapat lebih info berkaitan pemakanan seimbang dan sihat.

Maka, dapat dirumuskan bahawa penerokaan awal ini menunjukkan sokongan yang positif dari pihak ibu bapa dan guru bagi penyediaan makanan yang lebih sihat dan selamat kepada kanak-kanak termasuk kesedaran tentang pemakanan seimbang dengan harapan dapat membantu kanak-kanak dengan menyebarkan manfaat serta kebaikan pengambilan makanan seimbang. 

Selain itu, faktor-faktor yang menghalang kanak-kanak dari mendapatkan makanan yang berkualiti dan berkhasiat turut dikenal pasti serta cabaran penglibatan atau interaksi berkaitan pemakanan sihat bersama dengan kanak-kanak telah terungkai berdasarkan perkongsian dan pengalaman pihak ibu bapa dan guru.

Berikutan itu, pada fasa kedua kajian para penyelidik dari Pusat Penyelidikan Pedagogi dan Inovasi (CPRI), UPSI ini memberi perhatian kepada pembentukan elemen-elemen yang penting bagi membangunkan model Pendidikan Pemakanan. Hal ini penting bukan sahaja untuk membantu kanak-kanak memahami kepentingan memilih makanan sihat tetapi penekanan juga harus diberikan terhadap peranan ibu bapa, guru dan juga komuniti.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masalah malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak prasekolah ini berlaku antaranya adalah faktor persekitaran iaitu kurang kesedaran dan pengetahuan tentang kepentingan pengambilan makanan yang sihat, berkhasiat, mencukupi serta pelbagai untuk kanak-kanak.

Pihak ibu bapa bukan sekadar bertindak menyediakan hidangan sihat kepada kanak-kanak, tetapi perlu menerangkan manfaat dan khasiat di sebalik makanan yang disediakan. Sudah pasti sayur dan buah yang mengandungi vitamin serta mineral, penting dan perlu dititikberatkan selain pengambilan hidangan karbohidrat seperti nasi dan mi serta protein seperti lauk-pauk.

Maka, pemahaman ibu bapa juga adalah sangat penting membabitkan tentang faktor-faktor yang mendasari keutamaan pemilihan pemakanan oleh kanak-kanak kerana hal ini boleh menyumbang kepada penerimaan rasa baru yang tidak dikenali mereka terutamanya tentang rasa makanan sihat yang mungkin asing bagi mereka.

Selain elemen di rumah yang melibatkan pihak ibu bapa, elemen lain yang telah dikenal pasti menerusi fasa kedua ini adalah melibatkan elemen di sekolah iaitu persekitaran kedua bagi kanak-kanak. Ketika ini, kanak-kanak meluangkan waktu pagi di sekolah, ditambah pula pelbagai aktiviti luar ketika waktu petang termasuk sekolah rendah agama.

Kebanyakan masa kanak-kanak adalah di luar pemantauan ibu bapa yang menyebabkan mereka lebih bebas membuat pilihan makanan dan cenderung memilih makanan ringan tinggi pengawet. Bagi kanak-kanak prasekolah khususnya, mereka hanya berada di prasekolah sehingga pukul 12 tengah hari dan seterusnya ditempatkan di pusat transit, jika kedua-dua ibu bapa dari golongan bekerjaya.

Oleh itu, persekitaran di sekolah atau lebih spesifik iaitu prasekolah hakikatnya merupakan faktor penyumbang kepada pembentukan kecederungan pemilihan pemakanan kanak-kanak. Memandangkan penerimaan adalah pendorong utama pengambilan, strategi yang lebih kreatif diperlukan termasuk guru boleh menyediakan ganjaran dalam bentuk makanan atau bukan makanan.

Hal ini merupakan salah satu bentuk dimana kanak-kanak diberikan ganjaran jika sesuatu tugas diselesaikan atau perbuatan terpuji dilaksanakan bagi meningkatkan tingkah laku pemakanan yang baik. Contohnya, kanak-kanak hanya diberikan stiker watak yang diminati atau buku cerita kegemarannya sekiranya selesai kerja sekolah atau tugasan tertentu yang diberikan telah disiapkan.

Menurut kajian-kajian lepas, kanak-kanak yang terlibat dengan aktiviti Pendidikan Pemakanan menunjukkan inisiatif untuk merasa makanan yang diberikan dan menunjukkan sikap yang positif untuk mencuba serta meminta untuk makan lebih banyak makanan sihat.

Oleh itu, pendedahan kepada makanan sihat melalui aktiviti pengukuhan secara positif tanpa menggunakan unsur paksaan untuk kanak-kanak mengambil makanan sihat oleh pihak guru di prasekolah dilihat sebagai pendekatan yang dapat memberi kesan positif terhadap penerimaan dan seterusnya pengambilan makanan berkhasiat kanak-kanak.

Akhir sekali merupakan elemen yang melibatkan penglibatan komuniti dan masyarakat. Antara aspek yang perlu diberikan perhatian melibatkan keperluan masyarakat dan komuniti adalah sekuriti makanan yang merupakan aksesibiliti kanak-kanak Malaysia kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat.

Hal ini kerana sekuriti makanan ini bukan sahaja penting bagi kesejahteraan kepada fizikal dan sosial kanak-kanak tetapi juga memberi impak terhadap ekonomi masyarakat dari segi keterjaminan makanan untuk rakyat khususnya golongan kanak-kanak. 

Selain itu, aspek lain adalah melibatkan servis pemakanan dan kesihatan iaitu sebagai salah satu langkah bagi memastikan kanak-kanak disediakan dengan makanan yang sihat dan selamat.

Kerajaan juga perlu mengambil kira dari aspek keuntungan atau pelaburan kewangan yang dilaksanakan melalui pemakanan yang sihat dan selamat yang disediakan untuk kanak-kanak iaitu Return of Investment (ROI).

Kanak-kanak merupakan pelapis generasi akan datang yang akan mencorak negara kita. Oleh itu mereka merupakan ‘pelaburan besar’ negara terutamanya daripada aspek kesediaan makan sihat dan berkhasiat bagi kelangsungan kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Program atau Inisiatif yang spesifik dengan komuniti di Malaysia perlu dibangunkan sejajar dengan kempen Masyarakat Madani bagi memberi kesedaran tentang pemakanan sihat dan selamat.

Sehubungan itu, dalam kajian fasa kedua ini, penekanan diberikan kepada penyepaduan kesemua elemen bagi susunan langkah atau aktiviti yang dapat dilaksanakan dalam persekitaran di rumah, sekolah dan komuniti. Dengan memperhatikan kesemua aspek ini, polisi Pendidikan Pemakanan yang disediakan dapat menyediakan persekitaran pemakanan yang lebih inklusif, berkesan dan berfaedah kepada seluruh kanak-kanak di Malaysia.

Seterusnya, menerusi fasa terakhir kajian, validasi model Polisi Pendidikan Pemakanan telah dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan kanak-kanak Malaysia Madani terus diberi perhatian serius. Oleh itu, secara keseluruhannya kajian ini memberi input kepada kanak-kanak, ibu bapa, pihak guru serta agensi kerajaan khususnya KPM dan KKM untuk segera melaksanakan Pendidikan Pemakanan terutamanya di prasekolah.

Hal ini penting kerana tabiat pengambilan makanan yang lengkap nutrisi perlu dipupuk kepada kanak-kanak sejak kecil lagi. Ini bertujuan untuk mendidik kanak-kanak tentang kepentingan pengambilan sihat dan berkhasiat dalam diet harian mereka sejak mereka di alam prasekolah lagi.

PENULIS DR. INTAN FARAHANA ABDUL RANI adalah Penyelidik Pusat Penyelidikan Pedagogi & Inovasi (CPRI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI