fb fb fb fb fb

Antara kelestarian kebebasan media dan Titah Tuanku

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-63 pada 25 November 2023/Foto Bernama

SAUDARA PENGARANG

Beberapa hari sahaja nanti, kita akan melabuhkan tirai 2023 dan akan memulakan ambang tahun baharu dengan penantian yang ditunggu-tunggu dan kesabaran; menyaksikan gelora politik dan sosioekonomi negara tahun hadapan.

Sudah pasti cabaran-cabaran ini akan menguji keampuhan Kerajaam Perpaduan yang telah berusia setahun ini untuk mengendalikan bahtera tadbir urus negara dengan lebih baik dan cekap.

Keputusan PRN dan PRK telah  menyaksikan suatu lembaran sejarah dunia politik negara dengan penyertaan lebih ramai pengundi baharu yang pertama kali mengundi pada piliham raya kali ini.

Fenomena ini sudah tentu merancakkan lagi pelbagai strategi media untuk memancing undi anak-anak muda ini dengan pelbagai hidangan maklumat yang boleh merangsang persepsi mereka.

Fenomena ini disifatkan unik kerana tatkala negara mendepani pelbagai cabaran dan pada masa yang sama pula rakyat negara ini dihambati pula dengan  pelbagai sentimen "panas" dan "sensitif" yang selalu didendangkan dalam media kontemperori.

Persaingan merebut keyakinan dan kepercayaan para pengundi, terutamanya anak-anak muda yang pertama kali didaftarkan sebagai pengundi muda dikatakan suatu komponen penting yang menyumbang kemenangan pengaruh politik dalam kalangan anak-anak muda di negara ini.

Pada masa yang sama, keterlibatan anak-anak muda dalam kempen-kempen politik yang diuar-uarkan media sosial ternyata banyak memberi pengaruh persepsi dan rangsangan golongan ini untuk memilih dan menentukan bakal-bakal pemimpin mereka.

Biarpun hanya segelintir daripada kandungan dan mesej dalam saluran media sosial itu ditularkan, namun keterujaan golongan ini yang buat pertama kalinya mengisi peti-peti undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) telah menjadi suatu fenomena baharu yang harus diawasi oleh semua pihak.

Golongan ini yang merupakan pewaris kepimpinan negara harus didedahkan dengan pendidikan politik yang sempurna, tidak hanya disogokkan dengan maklumat-maklumat dalam media sosial yang boleh mengundang kecurigaan,kontroversi dan konfrantasi dalam kalangan mereka.

Sejujurnya, semua pihak termasuk parti-parti politik juga harus memainkan peranan utama menyampaikan maklumat yang tepat kepada anak-anak muda ini supaya mereka tidak terkeliru atau menyimpang jauh menyongsang arus yang ditularkan oleh media sosial yang tidak bertanggungjawab.

Apa yang dibimbangkan ialah  meledaknya penularan sentimen-sentimen politik yang sebahagiannya adalah berita palsu dan anarki-anarki yang boleh mengancam kesejahteraan masyarakat negara ini menerusi media sosial.

Matlamat untuk mencari pengaruh dalam kalangan bakal-bakal pengundi yang naif secara radikal ini sudah pasti akan menimbulkan kerisauan, kerimasan dan ketegangan dalam kalangan rakyat yang terpaksa menghadam  sentimen-sentimen berita palsu yang ditularkan media-media yang tidak bertanggungjawab ini.

Fenomena ini sebenarnya menjadi suatu agenda fokus untuk mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat, khususnya jika isu-isu yang dibangkitkan melibatkan kesejahteraan dan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

Lantaran itu, Titah Sultan Perak, Raja Nazrin dalam Konvokesyen Universiti Malaya baru-baru ini yang menggesa penyebaran isu-isu yang melibatkan sentuhan isu kedaulatan Diraja, isu perkauman, sanggah dan fitnah yang meluas di media harus dihentikan dengan segera bagi mengelakkan insiden-insiden buruk yang boleh merencatkan keharmonian, keselamatan dan perpaduan masyarakat hari ini.

Dalam hal ini, libat urus kerajaan menerusi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) harus dipergiatkan menerusi strategi-strategi kengkangan maklumat palsu yang boleh menyelesaikan masalah ini.

Tindakan tegas melalui peruntukan undang-undang berkaitan jenayah penyebaran berita palsu harus dikuatkuasakan bagi memerangi anarki-anarki yang boleh memporak-perandakan keamanan negara.

Dalam konteks ini, Raja Nazrin menitahkan supaya semua  pihak tidak membangkitkan sentimen-sentimen dan provokasi negatif yang boleh menganggu keharmonian masyarakat di negara ini.

Usaha-usaha tegas dan berterusan memerangi gejala penyebaran berita palsu yang boleh mengundang permusuhan kaum tidak hanya dilihat dapat diselesaikan secara perundangan tetapi harus dipimpini dengan pendidikan berteraskan nilai-nilai murni yang boleh dianggap sebagai  penyelesaian utama kepada permasalahan ini.

Cabaran inilah  harus digembeling oleh semua pihak untuk memastikan kerukunan atau praktis media akan mendorong  impak positif terhadap amalan kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat negara ini.

Justeru, ia bukanlah waktu terbaik untuk semua pihak menunjuk jari kepada kerajaan melakukan pembenterasan penularan berita palsu ini, tetapi ia menjadi tugas setiap anggota masyarakat untuk mengamalkan praktis pengawalseliaan kendiri "membedah dan menelaah maklumat" untuk menentukan hanya maklumat yang tepat sahaja dapat disajikan kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Pemeliharaan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebenarnya satu hak yang terpelihara dan boleh dikongsikan oleh semua pihak untuk membina kekuatan negara.

Perebutan kuasa, pertelingkahan politik tanpa berkesudahan sudah pasti akan menjejaskan prestasi sosioekonomi negara, merencatkan nilai pelaburan asing di negara ini dan menganggu  perancangan hala tuju negara untuk mendepani cabaran menjadikan Malaysia negara maju akan datang.

Sampai masanya sekarang, rakyat tidak seharusnya dibebani dengan  mahu kemelut akibat perspektif maklumat palsu yang boleh menganggu institusi kebebasan bersuara di negara ini.

Ia sejajar dengan gesaan Raja Nazrin  yang menzahirkan nasihat baginda kepada semua pihak supaya memberi kerjasama menyokong dan Kerajaan berganding bahu dalam menyelesaikan masalah penularan berita palsu ini dengan strategi yang berkesan untuk mengembalikan semula suasana yang aman tenteram di negara ini.

Berpaksikan kepada prinsip Rukun Negara yang berteraskan kepada keluhuran perlembagaan dan pemeliharaan semangat perpaduan nasional yang  sangat signifikasi untuk melestarikan penyatuan kesejahteraan rakyat dan membelakangkan persengketaan ideologi politik demi masa depan rakyat negara ini.

Anasir-anasir ini berusaha mengheret isu-isu penyebab paradoks dan kekacauan di negara ini boleh menimbulkan keraguan rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan untuk memacu strategi melestarikan suasana sosioekonomi positif di negara kita.

Bertepatan dengan masanya, hasrat kerajaan untuk menyalurkan citra kesejahteraan dan kemakmuran negara, bertepatan dengan saranan oleh Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Nazrin bahawa perbezaan pandangan yang boleh menjelmakan suasana polemik dalam kalangan masyarakat, harus diketepikan.

Diharapkan semua pihak menyantuni nasihat Raja Nazrin untuk memastikan tiada maklumat berita palsu yang ditularkan media  dapat menganggu jalinan kesepakatan masyarakat berbilang kaum bagi meraikan amalan demokrasi di negara ini.

Rangsangan pelan strategik kebebasan media yang pragmatik harus dilaksanakan dengan lebih sistematik. Penubuhan Majlis Media Kebangsaan dilihat harus dipercepatkan bagi memelihara hak kebebasan media secara lebih praktikal sekali gus dapat menangani isu-isu berita palsu yang mengancam keharmonian negara.

Hakikatnya, pendidikan literasi media positif dalam kalangan masyarakat harus dijadikan kerukunan dalam sistem pendidikan yang berterusan daripada bangku sekolah sehinggalah mereka berkerjaya. Hal seumpama ini akan menjelmakan sistem peradaban moden berteraskan prinsip nilai-nilai estetika yang dapat menjadi pegangan kepada setiap warganegara hari ini dan akan datang kelak.

PENULIS TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF adalah pensyarah Kanan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI