fb fb fb fb fb

Terus perkasa “si penghayun buaian” untuk anak bangsa

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2024 kepada semua kaum wanita. Ketahuilah bahawa anda semua adalah wanita hebat. Perkataan wanita itu sendiri membawa maksud sangat mendalam kerana peranan wanita sebagai tonggak dalam pembangunan negara.

Peribadi seorang wanita yang penuh kelembutan dan keayuan tidak bermakna gagal dalam menjalankan tugas sebagai ibu, rakan sekerja, isteri dan pelbagai lagi peranan yang dimainkan.

Ketegasan dimiliki oleh wanita itu sendiri turut dikagumi kaum lelaki. Peribahasa, tangan yang menghayun buaian dapat mengoncang dunia melihat bagaimana seorang wanita itu berjaya memperkasakan diri untuk turut sama berdiri sama tinggi atau lebih tinggi dari gender yang berlawanan.

Wanita turut membuktikan mereka layak untuk menjadi seorang yang berjaya dalam bidang diceburi, walaupun pada awalnya kurang keyakinan atau perlu mencari kekuatan dalam mengasah keupayaan dalam diri. Itulah antara ciri-ciri wanita hebat.

Seringkali didengari wanita dihadapkan dengan isu dan cabaran dalam membesarkan keluarga, menyeimbangkan antara kerja dan keluarga, keperitan hidup dan keganasan rumah tangga, kurang dalam memberikan tumpuan kepada kesihatan diri dan penjagaan kendiri serta ketidaksamarataan dalam kerjaya.

Pemerkasaan wanita penting dalam memastikan negara terus diterajui oleh wanita yang menyumbang secara signifikan untuk pembangunan negara. Rancangan Malaysia ke-12 turut memberi penekanan ke arah memperkasa peranan wanita bagi membolehkan mereka bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.

Jadi apa itu pemerkasaan? Kata dasar adalah perkataan perkasa yang membawa maksud keberanian, kehebatan, kegagahan dan kekuatan. Oleh itu wanita perlu terus diperkasa melalui empat teknik yang mampu menguatkan kesejahteraan psikologi apabila berdepan dengan isu dan cabaran.

Teknik pertama adalah mempunyai kuasa atas sesuatu (power over). Ini membantu wanita untuk sedar bahawa mereka mempunyai keupayaan untuk mengubah apa yang mereka inginkan kepada sesuatu yang positif.

Seterusnya, para wanita perlu memperkasakan diri untuk bertindak (power to act) dan tidak hanya duduk diam dan membiarkan diri ditindas. Tindakan diambil perlulah sesuatu yang positif dan membolehkan mereka menjalankan kehidupan lebih sejahtera.

Selain itu, wanita juga perlu mempunyai rangkaian sosial atau hubungan yang kukuh dengan rakan atau masyarakat (power with). Ini adalah kerana, sokongan sosial amat diperlukan dalam menghadapi apa sahaja rintangan dan masalah.

Akhir sekali, wanita digalakkan untuk meneruskan dalam mencari ilmu pengetahuan (power within) kerana ini memberikan kekuatan dalaman dan pemikiran yang rasional sekiranya berdepan dengan masalah. Solusi dan langkah terbaik yang perlu diambil juga boleh dihasilkan.

Wanita yang rasional, pandai menguruskan emosi dan bijak dalam pengurusan kehidupan seharian dapat membuat keputusan yang baik dalam segala tindakan. Walaupun wanita sering dianggap lemah, kini kata-kata tersebut tidak lagi boleh diguna pakai, kerana telah terbukti wanita telah berjaya dalam segala sektor dan mampu untuk lebih ke hadapan selaras dengan tema hari wanita di Malaysia tahun 2024, Wanita Dijulang Negara Gemilang.

Selamat Hari Wanita Antarabangsa, 2024.

PENULIS DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR, Timbalan Dekan (Ijazah Dasar) Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan Ahli Lembaga Kaunselor Malaysia. Beliau dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI