fb fb fb fb fb

Galakkan bersedekah dalam Islam, elak dorong budaya mengemis

FOTO HIASAN

SAUDARA PENGARANG

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah merupakan terjemahan kepada ungkapan dalam Bahasa Arab: Bismillahirrahmanirrahim yang diajar oleh Allah SWT kepada kita umat Islam melalui wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Ungkapan ini memulai setiap surah dalam al-Quran, kecuali satu surah sahaja iaitu Surah al-Taubah. Ini bermakna penegasan sifat Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Pemurah disebut sebanyak 113 kali. Namun jumlah keseluruhan ungkapan tersebut diulang dalam al-Quran adalah 114 kali dengan mengambil kira ayat 30 surah al-Naml.

Sifat Pemurah Allah SWT tidak terhitung dan infiniti berbanding manusia yang bersifat terbatas dan terhad dengan pelbagai kelemahan dan kekangan. Sifat Pemurah Allah SWT tiada tolok bandingnya. Konsep filantrofi dalam Islam memerlukan sifat pemurah manusia dalam menjayakannya.

Ia terangkum dalam beberapa amalan kebaikan yang digalakkan dalam Islam seperti sedekah, zakat, hibah, hadiah dan wakaf. Jika ditelusuri dalil-dalil al-Quran dan hadis, kita digalakkan untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah (Sahih Muslim: 1042). Hadis ini sering mengiringi galakan bersedekah dan infak bagi pembangunan masyarakat Islam melalui pelbagai aktiviti termasuk pendidikan, perubatan, pembangunan dan fisabilillah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji, dan Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya (Surah al-Baqarah: 261).

Ayat berkenaan menegaskan bahawa pahala yang bakal diperolehi oleh mereka yang membelanjakan harta di jalan Allah bukan terhad kepada 700 kali ganda, malah lebih lagi kerana kurnia Allah SWT tidak terbatas jumlahnya. Orang-orang yang beriman telah diseru agar membelanjakan sebahagian daripada hasil usaha untuk dikongsi dengan mereka yang berhak dan memerlukan.

Dalam Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat) padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu) kecuali dengan memejamkan mata padanya dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa terpuji (Surah al-Baqarah: 267).

Seterusnya dalam ayat 271, Allah SWT mengkhabarkan berita gembira kepada orang yang membelanjakan hartanya dengan dosa-dosa dan kesalahan mereka akan diampunkan oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui apa dilakukan oleh mereka dalam kehidupan seharian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik) dan kalau pula kamu menyembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu memberikannya kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu, dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan (Surah al-Baqarah: 271).

Dalam ayat tersebut, dinyatakan sedekah yang diberikan kepada fakir miskin adalah lebih baik disembunyikan dan tidak dizahirkan. Antara hikmahnya, ia dapat menjaga maruah para fakir dan miskin serta mengelakkan mereka merasa hina dan aib dengan kekurangan serta kedaifan yang dialami jika ditayangkan kepada khalayak ramai melalui media sosial dan sebagainya.

Di sisi lain, Islam tidak menggalakkan budaya meminta-minta atau mengemis, sebaliknya menggalakkan umatnya bekerja keras mencari rezeki serta hidup secara bermaruah dengan memiliki harta dan membelanjakannya untuk keperluan diri, keluarga dan masyarakat serta negara. Firman Allah SWT yang bermaksud: apabila kamu selesai solat, maka bertebaranlah di muka bumi dan cari rezeki yang telah disediakan oleh Allah SWT (Surah al-Jumuah: 10).

Ia juga disokong oleh sabda Nabi SAW yang bermaksud: Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu atas belakangnya untuk dijual, kemudian disedekahkan sebahagian daripada jualan kayu dan dengan baki itu dapat mencukupkan keperluannya sehingga dia tidak perlu meminta-minta adalah lebih baik baginya daripada mengemis kepada seseorang sama ada diberi ataupun tidak, demikian itu tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah dan mulai dengan orang-orang di bawah tanggunganmu (Sahih Muslim: 1042).

Selain hadis tersebut, terdapat banyak lagi hadis-hadis berkaitan dengan kelebihan berbelanja. Antaranya kelebihan seorang suami berbelanja untuk keperluan keluarganya akan mendapat ganjaran pahala yang besar sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dan dinar yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk bebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu, maka paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu belanjakan kepada keluargamu (Riwayat Muslim: 995).

Lembaran sejarah Islam telah memaparkan kegigihan para Nabi dan Rasul bekerja membanting tulang mencari rezeki serta menunjukkan contoh teladan kepada para pengikut. Contohnya Nabi Muhammad seorang penggembala kambing dan ahli perniagaan, Nabi Daud pereka baju besi dan tukang besi, Nabi Nuh pereka kapal dan tukang kayu, dan Nabi Ibrahim tukang pahat. Mereka semua mengamalkan kepimpinan melalui teladan.

Justeru, masyarakat Islam perlu rajin bekerja dan mencontohi para Nabi dan Rasul yang mulia. Firman Allah SWT (yang bermaksud): Sesungguhnya pada Rasulullah uswah (teladan/idola/inspirasi) hasanah (yang baik) bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari akhirat dan banyak berzikir kepada Allah (Surah al-Ahzab: 21).

Kesimpulannya, masyarakat Islam MADANI perlu mempunyai ciri-ciri rajin bekerja, berusaha gigih dan dedikasi dalam melaksanakan apa diusahakan seperti belajar mahupun kerjaya yang dibina serta bercita-cita untuk menjadi kaya agar dapat bersedekah dan mengejar pahala dijanjikan oleh Allah SWT.

Umat bertamadun perlu menyahaktif budaya mengemis dan mentaliti meminta-minta dalam diri.

PENULIS PROF. MADYA DR. AIZAN ALI@MAT ZIN, Profesor di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM). Beliau boleh dihubungi menerusi Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

SITI AISHAH MD ISA