fb fb fb fb fb

Perkasa agensi komoditi untuk kelangsungan rakyat

FOTO HIASAN

SAUDARA PENGARANG

Sesebuah negara dan komuniti khususnya terdedah kepada risiko kemiskinan, ekonomi, politik dan perubahan cuaca perlu diperkasakan supaya mereka lebih ampuh dan tahan kepada perubahan.

Masalah sering dihadapi oleh komuniti adalah kemiskinan dan pendapatan yang rendah. Ia bukan sahaja berlaku kepada komuniti luar bandar/desa tetapi juga komuniti bandar.

Isi rumah mempunyai pendapatan rendah adalah disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup. Harga barangan makanan yang sering meningkat menyebabkan mereka menghadapi masalah ketidakjaminan bekalan makanan pada peringkat isi rumah.

Dalam hal ini, sektor komoditi pertanian boleh membantu mengatasi masalah berkenaan. Walaubagaimanapun, kejayaan sektor itu memerlukan strategi yang mantap dan usaha berpanjangan daripada semua pihak.

Seperti sedia maklum, demi kelangsungan komuniti atau rakyat di mana sekalipun, jaminan bekalan makanan adalah perkara utama yang perlu diambil kira.

Masalah jaminan bekalan makanan yang dihadapi diperingkat negara disebabkan oleh beberapa perkara seperti, pertama, kadar sara diri pertanian yang masih rendah menyebabkan bekalan pertanian tidak mencukupi dan permintaan yang tinggi tidak dapat dipenuhi.

Kedua, kitaran ekonomi kurang memberangsangkan mengurangkan peluang pembelian dan konsumsi. Ketiga, perubahan cuaca, musim dan iklim yang menggangu pengeluaran dan bekalan pertanian.

Manakala faktor keempat adalah ketidaktentuan kadar inflasi, faedah dan kadar tukaran dolar Amerika Syarikat yang menyebabkan ganguan import dan eksport serta dasar dan geopolitik tidak stabil menggangu pengeluaran dan perdagangan pertanian.

Manakala pada peringkat isi rumah pula beberapa faktor seperti pendapatan isi rumah rendah dan kemiskinan menyebabkan ketidakmampuan untuk membeli makanan, ketidakupayaan untuk mengakses makanan disebabkan oleh faktor logistik dan kedudukan kawasan serta ketiadaan produk pertanian untuk dicapai dan dimiliki turut mempengaruhi kelangsungan keterjaminan makanan komuniti.

Jadi, agensi komoditi pertanian perlu memainkan peranan yang mantap untuk memastikan sektor komoditi pertanian boleh membantu kelangsungan rakyat.

Apa yang kita perlu tahu ialah agensi-agensi yang terkait dengan komoditi pertanian boleh dikategorikan kepada empat iaitu agensi penyelidikan pertanian yang berperanan melaksanakan kajian untuk meningkat mutu keluaran pertanian, agensi pengembangan pertanian yang berperanan didalam menyebarkan pengetahuan dan teknologi, menawarkan khidmat nasihat teknikal dan motivasi serta galakan kepada petani dan pengusaha pertanian.

Ini termasuklah kategori agensi pembangunan tanah dan kawasan yang berperanan dalam membangunkan kawasan pertanian dan memastikan kesejahteraan hidup komuniti serta institusi pengajian dan pendidikan pertanian yang berperanan dalam mengeluarkan modal insan yang diperlukan oleh pertanian dan melaksanakan kajian untuk menghasilkan input dan output pertanian yang berkuantiti dan berkualiti.

Dalam hal ini, agensi pertanian komoditi perlu memainkan peranan penting seperti:

  1. Membangunkan kawasan luar bandar dengan meningkatkan akses logistik dan perhubungan melalui pembangunan kawasan pertanian.
  2. Meningkatkan mutu pengurusan dan pemasaran pertanian.
  3. Memastikan perubahan amalan dan sikap petani, pengusaha dan pemegang taruh melalui penggunaan teknologi tinggi untuk kemajuan pertanian.
  4. Melonjakkan mutu pendidikan dan penyelidikan berasaskan pertanian.
  5. Menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang berasaskan pertanian secara langsung dan tidak lansung dengan menyediakan kemudahan modal sumber manusia dan modal perusahan untuk kelangsungan komuniti.
  6. Melaksanakan pertanian secara komersial dengan menghubungkan komuniti kepada komoditi untuk kepentingan bersama untuk melonjakkan ekonomi atas sumbangan sektor komoditi pertanian.
  7. Meningkatkan tahap sara diri pengeluaran bahan makanan.
  8. Memastikan bekalan makanan mencukupi selain menawarkan bahan mentah pertanian kepada industri tambah nilai yang lain.

Justeru, agensi komoditi pertanian amat diperlukan oleh negara dan komuniti kerana peranannya penting dalam mengurus bahan mentah daripada pertanian yang merupakan blok binaan teras ekonomi global. Tanpa akses kepada bahan mentah, pengeluar tidak boleh membuat produk.

Agensi turut wewujudkan rantaian bekalan yang teguh import dan eksport produk pertanian perlu diurus yang baik dan cekap. Ketidakcekapan ini boleh menimbulkan masalah hubungan perdagangan serta menjejaskan pasaran komoditi pertanian negara.

Dalam hal ini, agensi komoditi pertanian adalah penggalak kepada pembangunan ekonomi negara, pertanian memberi kesan kepada perdagangan global kerana ia terikat dengan sektor ekonomi lain, menyokong penciptaan pekerjaan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Negara yang mempunyai sektor pertanian kukuh mengalami pertumbuhan guna tenaga dalam sektor lain. Ia juga menunjukkan pertumbuhan produktiviti pertanian dan infrastruktur pertanian yang teguh juga mempunyai pendapatan per kapita lebih tinggi kerana petani dan pengusaha di negara ini menggunakan teknologi dan amalan pengurusan ladang yang bagus untuk meningkatkan produktiviti dan keuntungan pertanian mereka.

Usaha berterusan daripada komuniti pertanian dan agensi komoditi akan dapat membantu kelangsungan komuniti atau rakyat sesebuah negara seperti Malaysia daripada segi keterjaminan bekalan makanan.

PENULIS PROF. DR. NORSIDA MAN, Profesor di Jabatan Perniagaan Tani dan Ekonomi Biosumber Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau boleh dihubungi menerusi e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

SITI AISHAH MD ISA