SAUDARA PENGARANG
Pada 13 Mac 2024 lalu, Majlis Peguam telah mengeluarkan kenyataan dengan menggesa supaya pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan termasuk mengenai status kanak-kanak terdampar dihentikan.
Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn, berkata pindaan itu disifatkan terlalu regresif dan membimbangkan kerana penghapusan hak individu tanpa kerakyatan tidak boleh dikaitkan dengan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, ia adalah hasil daripada ketidaksempurnaan, amalan birokrasi kompleks dan diskriminasi serta kurangnya ketelusan dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kenyataan yang dilemparkan oleh Karen Cheah dilihat sangat tidak matang. Kegagalan beliau menghayati sejarah negara ini serta aspirasi yang mendalam terhadap semangat mengapa pindaan ini dibuat jelas menunjukkan sikap 'ignorance' sekali gus menunjukkan betapa rapuhnya rasa cinta terhadap negara Malaysia.
Tan Sri Mohamad Apandi Ali dalam kenyataan beliau pada tahun 2016, menyatakan bahawa Kerajaan telah membuat keputusan untuk meminda Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166) dan salah satu tujuannya ialah supaya Majlis Peguam menjadi lebih telus dan demokratik.
Sebagai sebuah badan guaman yang tidak bersifat representatif, maka sudah tentulah tujuan Bar Malaysia 'untuk mempertahankan keadilan tanpa mengira kepentingan sendiri atau kepentingan ahlinya, tidak terpengaruh oleh perasaan takut atau kasihan' seperti digariskan dalam Seksyen 42 (1) (a) Akta 166 tidak akan tercapai dengan baik. Mempertahankan keadilan tugas mulia, tetapi keadilan itu untuk siapa?
Sekiranya keadilan itu cenderung untuk satu-satu pihak yang berkepentingan sahaja dan pihak itu adalah pihak yang didapati tidak layak, maka konsep adilnya tidak boleh diterima sama sekali. Kalau dirujuk makna “adil” dalam Kamus Dewan DBP “adil” membawa maksud menyebelahi pihak yang benar atau meletakkan sesuatu di tempat yang betul.
Prinsip keadilan inilah yang kerajaan buat pada hari ini kerana keadaan sosial, ekonomi dan demografi penduduk ternyata berbeza dan semakin mencabar berbanding 60 tahun yang lalu.
Adakah dek pindaan yang dibuat hanya dengan mengubah kaedah pemberian warganegara daripada Kuat Kuasa Undang-undang atau automatik (by operation of the law) kepada secara permohonan pendaftaran (registration) itu kerajaan dikatakan tidak adil?
Ya, ini hanya perubahan, bukan penghapusan kaedah. Ini adalah untuk kerajaan kita mempunyai lebih kuasa dan kawalan untuk menentukan siapa yang sepatutnya dan layak jadi warganegara Malaysia.
Pemindahan peruntukan Seksyen 19B Bahagian II Jadual Kedua PP ini ke kategori Kewarganegaraan Melalui Pendaftaran adalah perlu bagi mengelakkan kewarganegaraan diberi kepada kanak-kanak dengan cara fraud, representasi palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material atau dengan silap di mana mengikut rekod perkara ini banyak berlaku.
Jika ia diberi dengan cara begitu pelucutan kewarganegaraan masih boleh dibuat di bawah Perkara 26(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan berbanding jika ia dikekalkan dalam kategori Kewarganegaraan Melalui Kuat Kuasa Undang-Undang yang pelucutan kewarganegaraan tidak boleh dibuat.
Sebagai seorang individu yang cinta akan negara Malaysia, kita semua yakin tidak mungkin sesuatu dasar yang dirangka oleh Kerajaan bertujuan untuk meletakkan rakyatnya dalam satu situasi yang merbahaya.
Tidak pernah lagi saya mendengar mana-mana kerajaan di dunia yang merangka polisi negara mereka bagi tujuan menjahanamkan bangsa dan negara mereka, melainkan melalui jalan manipulasi dan salah guna kuasa.
Demikian juga halnya dengan pindaan yang dibuat oleh KDN di bawah pimpinan YB Datuk Seri Saifuddin Bin Nasution. Berdasarkan penelitian yang dibuat kebanyakan tohmahan yang dilemparkan kepada KDN sangat tidak berasas.
Isu ini sudah melangkaui batas politik kerana ia adalah isu keselamatan dan kedaulatan negara ini. Kita tak tahu dan tidak pasti apa tujuan serta mengapa sesetengah pihak begitu beriya-iya ke hadapan menolak pindaan ini dengan membawa naratif kemanusiaan semata-mata.
Apakah demi kemanusiaan, keselamatan dan kedaulatan negara ini perlu dikorbankan? Bahkan begitu banyak bukti di negara lain hak kemanusiaan dinafikan dan hilang akibat negara tersebut tidak lagi selamat akibat rusahan atau perang dan hilang kedaulatannya akibat dikuasai oleh kuasa serta pengaruh asing.
Kalau difikir secara logik, kenapa agaknya Bahagian III Perlembagaan Persekutuan mengenai kewarganegaraan ini diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri dan perlu mendapat perkenan Majlis Raja-raja? Penetapan ini telahpun digariskan sejak 1957 lagi, apakah yang tersirat di sebalik keputusan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin negara kita yang terdahulu?
Jika ingin berbicara mengenai soal hak asasi kanak-kanak misalnya, sebaiknya Bab III Kewarganegaraan ini sepatutnya diletakkan di bawah kementerian-kementerian lain yang memperjuangkan tentang hak kanak-kanak pada ketika Malaysia mencapai kemerdekaan lagi.
Contohnya seperti Kementerian Buruh dan Kebajikan Masyarakat (yang ditubuhkan pada 1957) atau mana-mana kementerian lain selain Kementerian Keselamatan Dalam Negeri yang diwujudkan pada tahun 1962 yang mana kementerian ini bertanggungjawab ke atas Polis DiRaja Persekutuan Tanah Melayu dan Jabatan Keselamatan Sempadan (Pada tahun 1965, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah dimansuhkan dan dicantum dengan Kementerian Dalam Negeri yang kemudian diubah namanya kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (Ministry of Home Affairs) atau sekarang dikenali sebagai Kementerian Dalam Negeri (KDN). Mengapa kepimpinan negara pada waktu pra dan pasca kemerdekaan buat keputusan begini?
Umum mengetahui bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Sudah tentu sebelum mana-mana penetapan dibuat dan seterusnya dimaktubkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan kanun tertinggi negara, satu persetujuan dasar telahpun dicapai oleh para pemimpin negara pada ketika itu.
Inilah pentingnya mempelajari sejarah Persekutuan Tanah Melayu dan penubuhan negara Malaysia serta apakah semangat yang diterapkan terhadap isu kewarganegaraan ini semasa Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan Malaysia ditubuhkan. Taraf kewarganegaraan bukanlah satu hak mutlak dan ia merupakan keistimewaan yang diberikan kepada mana-mana individu termasuk kanak-kanak terdampar atau bayi ditemui tanpa asal-usul.
Tidak pernah lagi Malaysia menidakkan hak kanak-kanak 'stateless' kerana mereka ini ramai dan dapat hidup dengan keperluan asas sebagai manusia dari segi tempat tinggal, makanan, keselamatan, pendidikan dan juga kesihatan. Tidak dinafikan wujud kekurangan dan kesusahan namun ini juga berlaku kepada rakyat Malaysia yang sah, bukan kepada mereka sahaja.
Pastinya menerusi pindaan ini, KDN akan berusaha untuk memastikan hak anak-anak ini terutamanya yang memang layak sebagai warganegara lebih terjamin dengan pelaksanaan dasar kemanusiaan yang lebih baik selepas isu keselamatan dan kedaulatan negara ini diselesaikan terlebih dahulu.
Harus diketahui juga bahawa Malaysia merupakan sebuah negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) pada tahun 1995. Perkara 7 konvensyen menyebut bahawa:
- Kanak-kanak hendaklah didaftarkan sebaik selepas dilahirkan dan hendaklah mempunyai hak sejak lahir, mempunyai hak terhadap suatu nama, hak untuk mamperoleh kerakyatan dan seboleh- bolehnya hak untuk mengetahui dan dijaga oleh ibu bapanya.
- Negara-Negara Pihak hendaklah memastikan pelaksanaan hak ini mengikut undang-undang negara mereka dan obligasi mereka di bawah surat cara antarabangsa yang berkaitan dalam bidang ini, terutama jika, kanak-kanak itu selainnya menjadi tanpa kewarganegaraan.
Jika dirujuk Perkara 7 (2) CRC, jelas memperuntukkan hak pemberian kewarganegaraan kepada kanak-kanak ini diurus mengikut perundangan negara tersebut. Tidak dinyatakan pula bahawa sesebuah negara itu wajib/mandatori mengurniakan taraf kewarganegaraan secara otomatik?
Malah menurut Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, tidak ada mana-mana negara di dunia melonggarkan kewarganegaraan negara mereka dan memberikannya secara otomatik, sebaliknya setiap permohonan perlu dinilai samada layak atau tidak bergelar rakyat sesebuah negara (Utusan Malaysia online, 14 Mac 2024).
Sekiranya dengan mudahnya negara ini memberikan kerakyatan kepada seseorang terutamanya kanak-kanak, ia boleh mendorong kepada masalah yang lebih besar seperti Malaysia berisiko menjadi hub pemerdagangan kanak-kanak dan wanita untuk aktiviti haram dan tidak bermoral.
Pastinya kita semua tak mahu hal serius ini yang sudahpun berlaku kepada negara tercinta kita ini berlaku secara tidak terkawal selepas ini dan ini pastinya lebih mencalarkan imej negara kita kelak.
Berkenaan syarat ketat kebolehan berbahasa Melayu pula, ia bukan satu perkara baharu dan KDN dilihat berusaha untuk jadi fleksibel bersyarat dalam hal ini. Kita mahukan setiap individu yang mejadi warganegara Malaysia, tak kira dari yang para pemimpin tertinggi hingga rakyat marhaen mesti boleh menghayati semangat sebagai seorang rakyat yang sah dengan penguasaan Bahasa Melayu yang baik dan dapat berdiri untuk kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara ini dalam apa jua keadaan sekalipun.
Jika kita lihat bangsa asing seperti Bangladesh, Pakistan dan lain-lain yang datang ke Malaysia di dalam tempoh 6 bulan saja sudah fasih berbahasa Melayu asas untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan. Bahkan ada antara mereka yang berkahwin dengan warga tempatan.
Kita hairan mengapa ada sesetengah rakyat yang sah, bahkan golongan pemimpin masih ada yang tidak dapat berbahasa Melayu dengan baik walau sudah berpuluh tahun tinggal di Malaysia? Adakah kerana sikap 'ignorance' atau tak mahu bercampur dengan masyarakat ataupun tidak mahu memperakui kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa berperlembagaan negara ini?
Justeru dalam hal ini hasil kajian serta penelitian yang dibuat secara holistik oleh pihak KDN dengan lebih 40 sesi libat urus di dalam merangka dan dan memberikan kefahaman sebenar pindaan kali ini membabitkan ahli parlimen dan politik, ahli akademik, tenaga pakar dan juga banyak NGO termasuk Sahabat Serantau Malaysia, langkah pindaan ini dibuat dengan tujuan menambaik kaedah pemberian taraf kewarganegaraan, bukan penafian hak kemanusiaan.
Ini kerana terdapat keperluan ia dibuat secara lebih berhati-hati kerana cabaran serta keadaan keselamatan negara harus menjadi keutamaan kepada agenda nasional iaitu memelihara rakyat dan negara dari sebarang ancaman keselamatan luar yang sekiranya tidak ditadbir urus secara ketat boleh melumpuhkan sistem pentadbiran negara.
Sesuai dengan objektif pewujudan KDN iaitu pertama mengekalkan keamanan dan keselamatan negara, kedua membanteras segala bentuk ancaman berunsur sabversif, ekstremis, spionaj, sabotaj, kekerasan dan keganasan dan ketiga ialah memastikan keselamatan dan keharmonian rakyat Malaysia seluruhnya terjamin.
Ayuh sama-sama kita mendokong pindaan ini dengan menghayati firman Allah SWT ini, “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)” - Surah Al-Maidah, ayat 2.
Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat dan perlindungan-Nya kepada kita dan negara Malaysia ini asbab usaha kita semua memperbaiki tali persaudaraan dan urusan mentadbir negara ini, seperti di dalam firman-Nya,
“Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri” - Surah Hud, ayat 117.
PENULIS M FIRDAUS BAHARUDDIN adalah Pengerusi, Pertubuhan Sahabat Serantau Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.