SAUDARA PENGARANG
Memasuki suku tahun pertama 2024 dan menjelang Ramadan; masjid dan surau kini menjadi tumpuan utama. Umpama tuan rumah, masjid-masjid dan surau-surau seluruh negara sedang aktif dengan aktiviti gotong-royong kebersihan dan mengemas kini aktiviti sebulan berpuasa demi menyamput tetamu Ramadan yang bakal datang dengan penuh rahmat dan keberkatan.
Masjid mempunyai peranan penting dalam membangun masyarakat. Sebagai pusat keagamaan, masjid berperanan sebagai penghubung yang menyatukan masyarakat serta memberikan bantuan dalam menyelesaikan pelbagai masalah.
Fungsi efektif masjid akan memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat, termasuk dalam pembentukan rohani, peningkatan ilmu pengetahuan, serta menjadi pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat.
Bahkan, peranan masjid dapat diperluas untuk memajukan aspek ekonomi dan sosial masyarakat. Sebenarnya, ke semua aktiviti yang diadakan dalam rangka memperkasakan peranan masjid adalah dalam konteks mengimarahkan masjid.
Pengimarahan masjid bermaksud usaha menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid atau surau dengan pelbagai kegiatan berfaedah; biasanya berbentuk keagamaan.
Menurut Al-Qaradawi (1990) ta’mirul masajid ialah selalu menghidupkan jemaah di dalamnya, beribadat, berkhidmat, memelihara, membersih, memperbaiki yang rosak, mencukupkan mana yang kurang dan berhijrah kepadanya untuk beribadah.
Beliau menyatakan memakmurkan masjid bermaksud, mendirikan solat di dalamnya, berdoa, berzikir dan menegakkan syiar-syiarnya. Perkataan al-Imarah tidak boleh dipisahkan daripada pengertian al-umran. Ini kerana tanpa salah satu daripada keduanyaperkataan-perkataan ini tidak mempunyai erti. Tujuan al-imarah ialah untuk membina, membangun sesuatu bangunan, kawasan, alam sekitar, negara dan ummah (Ibn Khaldun,1974).
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat pengimarahan masjid boleh di kategorikan kepada dua dimensi iaitu dimensi zahir dan fizikal dan dimensi batin dan hakikat. Dimensi zahir dan fizikal mencakupi pembangunan fizikal, islah, dan menjadikan masjid sebagai tempat yang menarik untuk dikunjungi sebagai tempat beribadah.
Dimensi batin dan hakikat merujuk kepada pengisian rohani dan ilmu dalam suasana yang memenuhi makna yang asalnya sebagai tempat sujud dan ibadah. Dengan itu ia akan menarik sejumlah besar jemaah untuk memenuhi perintah Allah SWT.
Bagi umat Islam, masjid tidak hanya tempat ibadah, ia juga menjadi pusat kehidupan komuniti Muslim. Sebagai pusat aktiviti, masjid memiliki pelbagai fungsi, termasuk fungsi keagamaan, pendidikan, ekonomi, sosial, politik, dan lainnya. Pada zaman Rasulullah SAW, beliau mengadakan perbagai kegiatan untuk kepentingan umat di dalam masjid.
Selain daripada mengerjakan solat fardu lima waktu, aktiviti lain pengimarahan masjid, boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk seperti kelas tafsir Al Quran, pengajian hadith, fiqh, tajwid, kelas pengajian harian dan mingguan, sambutan hari-hari kebesaran Islam dan seminar.
Begitu juga dengan kursus jangka pendek serta kelas al-Quran dan fardu ain, kursus tahsin al Quran, tahsin solat, talaqqi kitab-kitab, masjid sebagai pusat pendidikan formal dan separa formal; one stop centre (pusat sehenti) ilmu dan masyarakat; pusat dakwah, pelindungan dan latihan saudara baharu; pusat pembangunan teknologi informasi dan komunikasi ummah; pusat dakwah luar masjid; dan pemantapan pengurusan masjid dan lain-lain.
Pelbagai aktiviti boleh dirancang oleh Ahli Jawatankuasa Masjid dan surau mengikut kesesuaian masyarakat setempat. Bagaimanapun, antara cabaran utama adalah sambutan terhadap program-program yang diadakan.
Antara faktor yang boleh menarik sambutan masyarakat setempat ke program-program yang di anjurkan adalah promosi meluas melalui media masa serta menjemput pempengaruh media sosial yang dikenali dan diminati ramai.
#Subuhmacamjumaat perkasa jati diri Islam anak muda
Dipelopori oleh seorang artis; Alif Satar, menjadikan masjid seluruh negara kembali meriah terutamanya pada waktu Subuh. Jika sebelum ini waktu solat Subuhlah yang paling kurang jemaahnya, kini ia menjadi imarah, bahkan turut membangkitkan semangat luar biasa buat kebanyakan anak muda seiring kekuatan para pejuang umat Islam di Palestin.
Dalam pelbagai ‘kekalutan’ masalah sosial yang pelbagai dan impak pandemik COVID-19 yang sedikit sebanyak melesukan pertumbuhan ekonomi dan agak menyusutkan nilai kekeluargaan, sangat wajar institusi masjid memikirkan kembali kesediaan bekerjasama dengan komuniti menerusi pendekatan lebih mesra.
Langkah sama juga boleh dilaksanakan dengan memanfaatkan dana masjid sumbangan orang ramai untuk tujuan pengimarahan masjid menerusi penganjuran pelbagai aktiviti bermanfaat dan memberi sumbangan besar kepada komuniti.
Pendekatan yang dipelopori oleh Alif Satar itu, menjadi satu fenomena apabila kempen #SubuhmacamJumaat terus berlangsung dengan meriah, walaupun tanpa penganjuran secara rasmi oleh pihak jawatankuasa masjid.
Melalui platform telegram #GengSubuhMacamJumaat yang kini mempunyai 20,771 pengikut, Alif Satar hanya perlu memaklumkan keberadaan beliau di masjid-masjid tertentu pada keesokan hari. Dan mengajak orang ramai turut serta berjemaah di masjid berkenaan.
Malah sambutan awam terus meningkat dengan aktiviti-aktiviti seperti larian selepas subuh yang mendapat sambutan luar biasa oleh penduduk-penduduk setempat. Pendekatan tersebut merupakan satu inovasi dalam pengimarahan masjid.
Penerimaan dan sambutan masjid juga kini kian harmoni apabila pihak masjid sendiri telah mengadakan program sama, menjemput orang awam menyertai program subuh berjemaah dengan beberapa aktiviti lain yang dirancang. Keterbukaan kerjasama dengan organisasi dan agensi lain pastinya dapat membina sinergi yang lebih baik dan bermanfaat.
Inovasi dan pendekatan mesra masjid
Inovasi merujuk kepada proses mencipta, membangun dan melaksanakan idea, produk, perkhidmatan, proses atau kaedah baharu yang membawa perubahan positif atau memberi nilai kepada individu, organisasi atau masyarakat secara keseluruhan.
Ia melibatkan penggunaan kreativiti, pengetahuan dan sumber untuk menangani cabaran sedia ada, menambah baik penyelesaian sedia ada atau memperkenalkan konsep baharu sepenuhnya.
Sehubungan dengan itu, Masjid Al Azhar Universiti Islam Selangor (UIS) juga telah mengadakan program 'Semarak Solat Subuh Macam Jumaat' baru-baru ini, yang di sertai kira-kira 2,700 jemaah daripada kalangan pelajar-pelajar UIS dan masyarakat sekitar.
Program tersebut bermula dengan qiamullail pada pukul 5.00 pagi yang dipimpin oleh Ustaz Malek Afifi, Mudir Madrasah Tahfiz An-Naja, Kajang, Selangor. Diikuti dengan Naib Canselor Universiti Islam Selangor, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah yang memimpin solat Subuh dan seterusnya tazkirah Subuh disampaikan oleh Ustaz Malek Afifi.
Nazir Masjid Al Azhar UIS, Ustaz Muhammad Fairuz Yusoff menyatakan antara matlamat program ini adalah membawa warga UIS dan masyarakat setempat merasai suasana subuh berjemaah, disamping memupuk semangat agar sentiasa mencintai subuh berjemaah. Beliau juga memberi komitmen program ini akan menjadi program tetap Masjid Al Azhar UIS di masa akan datang.
Semoga Solat Subuh berjemaah akan tertanam sebagai rutin harian yang dicintai oleh umat Islam seluruh negara, dan kehadiran Ramadan menjadi pengukuh jihad memimpin lebih ramai umat Islam terpaut dengan masjid dan solat fardu berjemaah di masjid, Insyaallah.
PENULIS AHMAD YANI ISMAIL & RAHMAHTUNNISAH SAILIN merupakan Pensyarah di Universiti Islam Selangor.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.