fb fb fb fb fb

Bekalkan Gen Z, Alfa dengan keteguhan rohani menghadapi realiti

Foto Hiasan

SAUDARA PENGARANG

Generasi kita hari ini hidup dalam era baru teknologi. Generasi Z, yang dilahirkan pada tahun 1996 dan seterusnya manakala generasi Alfa dilahirkan pada tahun 2011 hingga 2026. Gen Z membesar di tengah-tengah berkembangnya teknologi, manakala Alfa ialah generasi pertama yang dilahirkan pada abad ke-21, yang mana mereka akan menjadi demografi yang paling banyak menggunakan teknologi setakat ini.

Bagi generasi muda, media sosial adalah segalanya. Pendidikan mereka akan lebih digital, visual dan kurang hitamnya putih. Tambahan pula, dengan cabaran automasi, mereka perlu membangunkan kemahiran yang lebih mendalam untuk berjaya dalam pasaran kerja yang telah berubah.

Persoalannya, selain kemahiran, apakah lagi aspek yang perlu dipertingkatkan oleh generasi kita? Kajian menunjukkan bahawa cabaran yang dihadapi oleh Gen Z adalah dalam membangunkan akhlak yang teguh. Hal ini kerana dalam dunia teknologi canggih hari ini kebebasan bersuara, kebebasan 'expression' dan kerancuan budaya membawa kepada potensi kehilangan nilai tradisi, adab dan etika sosial.

Menurut Syed Naquib Al-Attas, pendidikan seharusnya melahirkan manusia beradab. Masyarakat yang berilmu terlihat dengan adab yang baik. Sekiranya bangunan tinggi melangit, teknologi terlihat di pelbagai lapangan, namun sekiranya adab bukanlah elemen yang mendasar, kita risau ia ibarat 'boomerang' yang akan menikam kita semula.

Pelik sekali sekiranya kita menekankan keupayaan fizikal dan kemahiran luaran, tetapi jiwa mereka rapuh di dalam. Sedangkan, dunia semakin mencabar, mereka harus dibekalkan dengan nilai ampuh, cekal, dan tekal. Pintar sahaja tentu tidak cukup. Jati diri harus tertanam kuat di dalam diri. Hiburan yang pelbagai hari ini, sedikit sebanyak merosak generasi kita. Suka atau tidak, kita harus menerima hakikat ini. Salah memilih hiburan akan menjatuhkan mereka ke lingkungan yang lebih buruk.

Kita tidak mahu generasi kita tidak lagi pandai bergaul sesama manusia. Kita juga tidak mahu mereka bergaul dengan adab yang sangat lemah. Kita pasti tidak mahu mereka terpengaruh dengan segala menu beracun yang dihidangkan di media sosial. Kerana, apa yang mereka lihat sehari-hari di media sosial, akan mempengaruhi fikiran bawah sedar mereka. Mereka yang kurang didikan agama akan menyangka bahawa itulah realiti dan harus dijelmakan menjadi realiti. Walhal, dunia realiti sesungguhnya tidak serupa dengan dunia maya.

Oleh itu, penting untuk kita sebagai pendidik, orang tua, dan ibu bapa, menanam iman serta membimbing mereka akhlak, adab, dan etika yang benar. Kita harus menunjukkan mereka akhlak yang baik. Mereka perlu ada masyarakat yang mendampingi mereka dan wujud budaya saling menasihati. Maka, perlu ada inisiatif penerapan iman dan pendidikan akhlak secara khusus bagi mendidik generasi baru bagi menyeimbangkan antara fizikal, intelektual, emosi dan spiritual.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Qasas, ayat 77 (yang bermaksud): “Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan,”.

Di dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan kita sebagai manusia untuk mencari kebaikan di negeri akhirat pertamanya, sementara kebaikan di dunia tidak dilupakan. Allah memerintahkan kita menjadi orang beriman yang profesional. Maka, iman itu harus seimbang dengan profesion kita. Pendidikan iman dan akhlak perlu dititik berat bagi melahirkan keseimbangan ini. Mengejar salah satu akan menjadikan ketidakseimbangan dan kesan buruknya akan terlihat di mana-mana.

Oleh itu, sekiranya kurang penerapan iman dan kurangnya pendidikan akhlak, kita hanya akan melahirkan manusia robot. Harus diingat, Generasi Z dan Alfa juga adalah manusia. Mereka mempunyai jiwa yang mana elemen spiritual perlu diseimbangkan. Ketidakseimbangan elemen itu akan membuatkan aspek spiritual mereka rapuh. Apabila hubungan dengan sang pencipta tidak dititik beratkan, ia akan terpamer kesannya dalam hubungan sesama manusia serta hubungan mereka dengan alam.

Mari kita telusuri contoh pemuda Kahfi, yang mana mereka tetap beriman walaupun kemungkaran dan keingkaran berada di mana-mana. Jati diri dan keimanan yang kuat menjadi perisai buat mereka menghadapi cabaran akidah di zaman mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar.

Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambah pula untuk mereka petunjuk” (Surah Al-Kahfi: 13).

Maka, pentingnya pembinaan iman dalam usaha pembangunan belia hari ini. Nilai iman dan akhlak akan menjadikan generasi kita kaya jiwanya. Sebagaimana diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu ia berkata, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Kekayaan bukanlah dengan banyaknya harta, tetapi kekayaan (yang sebenarnya adalah) kekayaan jiwa” (HR Ahmad dan Tirmidzi).

Apabila kita turut menekankan aspek keimanan dan akhlak, iman menjadi perisai mereka dalam menghadapi cabaran zaman. Jati diri mereka akan kuat dan tidak mudah luntur dek warna jahiliah yang terang benderang. Oleh itu, sesuailah Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) negara kita yang menyeimbangkan.

PENULIS, DR ATIFAH AHMAD YUSOFF merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM