fb fb fb fb fb

Teroka harmonisasi undang-undang, tiada istilah jenayah sekular & Islamik

Istana Kehakiman/Foto hiasan Bernama

SAUDARA PENGARANG

Pada 28 Ogos 2023, Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencadangkan supaya ditubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi mengkaji isu berbangkit daripada keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai kompetensi Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Secara khusus, ia menyentuh mengenai bidang kuasa negeri bawah Senarai 2 Jadual Kesembilan mengenai frasa “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.”

Menyahut titah Sultan Selangor di atas, pelbagai cadangan dikemukakan antaranya adalah dengan meminda Perlembagaan Persekutuan. Baginda turut menyarankan agar dicari jalan untuk membolehkan kuasa yang lebih luas diberi kepada Dewan Undangan Negeri dalam menggubal peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah.

Ada juga gesaan agar jenayah dimasukkan bawah Senarai Bersama. Al-Marhum Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim pernah menyarankan pemansuhan Akta 355 bagi menjadikan kesalahan hudud sebagai kesalahan terhadap agama.

Hudud adalah hukuman paling ekstrem boleh dikenakan sekiranya kaedah dan standard pembuktian yang ada menepati standard hudud. Jika tidak, hukuman takzir sahajalah yang boleh dikenakan sama ada kesalahan itu berada bawah Kanun Keseksaan atau enakmen kesalahan jenayah syariah.

Persoalannya ialah sejauh manakah pentafsiran dan parameter kesalahan terhadap perintah agama yang tidak termasuk dalam jenayah berada bawah Senarai Persekutuan? Adakah bermakna jika kesalahan itu tiada dalam statut jenayah awam, maka ia boleh menjadi kesalahan terhadap agama?

Setakat kes Iki Putra Mubarrak (2021); Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa Badan Perundangan Negeri Selangor telah memasuki kuasa Persekutuan apabila meluluskan kesalahan persetubuhan bertentangan dengan tabie bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Ertinya, ia adalah kesalahan jenayah, bukan kesalahan terhadap agama. Hukumannya ialah penjara sehingga 20 tahun dan sebatan menurut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Jika liwat menjadi kesalahan terhadap agama, hukumannya hanya kepada orang Islam sahaja. Adakah adil untuk menghukum pesalah berdasarkan agama dan diwujudkan bawah dua undang-undang?

Hakikatnya, kedua-dua hukuman sivil dan syariah yang diperuntukkan adalah hukuman takzir, justeru memadai wujud hanya satu undang-undang untuk kesalahan liwat.

Jenayah bawah Senarai Persekutuan adalah perbuatan yang dijadikan kesalahan, sama ada terhadap negara, masyarakat, harta dan sebagainya yang bertujuan menjaga kepentingan awam.

Intipati sebenar kesalahan syariah adalah kesalahan terhadap agama. Perbuatan yang dijadikan kesalahan adalah perbuatan yang dilarang oleh agama dari pelbagai sudut sama ada dari segi kepercayaan, amalan, perbuatan dan sebagainya.

Secara luaran, ia menjejaskan nama baik agama, menghina agama, merosakkan institusi agama. Ada agama melarang seperti perbuatan mengumpat, meninggalkan solat fardu, makan benda haram dan sebagainya tetapi ia tidak dijadikan kesalahan. Ia bukan lebihan kepada Senarai Persekutuan. Ia adalah selain daripada yang ada bawah Senarai Persekutuan.

Pembahagian jenayah dan kesalahan tidak dihadkan berdasarkan hukuman hudud, qisas dan takzir sahaja. Takrifan jenayah dan kesalahan boleh dilihat dari pelbagai aspek.

Daripada segi liabiliti, jenayah terbahagi kepada sengaja, separa sengaja dan tidak sengaja. Daripada segi subjek, ia terbahagi kepada kesalahan terhadap negara, harta, individu dan sebagainya. Pendek kata, takrifan jenayah umpama bawang yang perlu diselak satu persatu.

Jika Perlembagaan Persekutuan telah mengasingkan jenayah dengan kesalahan terhadap perintah agama, sepatutnya tidak timbul sebarang konflik. Jika hudud yang diharapkan, terokailah bagaimana kaedah pembuktiannya dapat ditegakkan sebelum kesalahan dan hukuman hudud dapat diadakan. Jika tidak, maka memadailah dengan hukuman takzir walau di mana sahaja kesalahan itu diletakkan.

Nabi Muhammad SAW sendiri menyarankan agar hukuman hudud dielakkan jika tidak menepati syarat. Kesalahan dan hukuman perbuatan mencuri, merompak, memfitnah, berperang melawan pemerintah sudah sesuai sebagai kesalahan awam.

Kesalahan membabitkan moral seperti liwat, pelacuran, rogol dan rogol mahram juga lebih sesuai dijadikan kesalahan awam kerana ia dapat dikuatkuasakan secara umum dengan hukuman lebih berat. Hukuman takzir bagi kesalahan tersebut adalah sesuai dengan kaedah dan standard pembuktian sedia ada.

Suatu pendekatan harmoni tanpa konflik hendaklah diambil dalam menyelesaikan perkara ini. Pentafsiran kepada preclusion clause diharap dapat dibuat ke arah yang memberi manfaat kepada agama, umat Islam dan negara, serta dalam semangat kebersamaan dan harmoni.

Rapatkan jurang antara undang-undang jenayah dan kesalahan terhadap agama agar kedua-duanya saling melengkapi. Tamatkan mentaliti dualiti dan sekularisme dalam undang-undang dengan kembali menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan. Tiada istilah jenayah sekular atau jenayah Islamik.

Tanpa menamakan sesuatu statut sebagai undang-undang Islam tidak bermakna ia tidak Islamik. Parameter baharu mengikut undang-undang harus diteroka biar pun tidak popular.

PENULIS  DR. SITI ZUBAIDAH ISMAIL adalah Prof. Madya Jabatan Syariah dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah, calon kedoktoran Universiti Malaya.

 Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI